Tsunami akibat gempa bumi Lautan Hindi 2004 melanda pantai Thailand.
Animasi tsunami berikutan gempa 26 Disember 2004.

Tsunami (daripada bahasa Jepun 津波, "ombak besar di pelabuhan", Kunrei-shiki: Tunami), sering kali disalahtakrifkan sebagai gelombang pasang surut (tidal wave), merupakan satu siri ombak yang berlaku selepas gempa bumi (dalam laut), tanah runtuh, aktiviti gunung berapi, letupan, atau hentaman meteor yang berlaku di dalam atau berhampiran laut. Tenaga setiap tsunami adalah tetap dari segi fungsi ketinggiannya dan kelajuannya. Oleh itu, apabila gelombang menghampiri pantai, ketinggiannya meningkat sementara kelajuannya menurun. Gelombang tersebut bergerak pada kelajuan tinggi, hampir tidak disedari apabila melintasi air dalam, tetapi boleh meningkat kepada ketinggian 30 meter atau lebih. Tsunami boleh menyebabkan kerosakan teruk pada kawasan persisiran pantai dan kepulauan.

Kebanyakan bandar di sekitar Lautan Pasifik, terutamanya di Jepun tetapi juga di Hawaii, mempunyai sistem amaran dan prosedur pemindahan sekiranya tsunami yang serius berlaku. Tsunami boleh dijangka dengan pelbagai institusi seismologi di sekeliling dunia dan perkembangannya dipantau melalui satelit.

Bukti menunjukkan tidak mustahil berlakunya megatsunami, yang disebabkan oleh sebahagian besar pulau yang runtuh ke dalam laut. Lebih ramai orang dibunuh oleh tsunami daripada gempa bumi.

Asal-usul nama

Perkataan tsunami adalah pinjaman daripada perkataan bahasa Jepun, 津波 (tsunami): tsu bererti pelabuhan, dan nami bererti gelombang. Nama ini dikatakan berasal daripada para nelayan Jepun yang memerhati kapal-kapal dan bangunan di pelabuhan yang rosak akibat fenomena ini sekalipun mereka tidak merasakan sebarang gelombang besar ketika berada di laut.[1] Masyarakat awam kadangkala menyebut tsunami sebagai "gelombang pasang". Namun begitu, istilah ini ditolak oleh para pakar kerana fenomena ini tidak ada kaitan dengan fenomena pasang surut yang berlaku akibat tarikan graviti Matahari dan Bulan.[2] Para pakar lebih menyukai istilah tsunami walaupun fenomena ini tidak hanya berlaku di pelabuhan.[3]

Tsunami dalam sejarah

Berikut merupakan kejadian tsunami utama dalam sejarah:

  • 2011: Gempa bumi berukuran 8.9 di utara Jepun
  • 2004: Gempa bumi di Lautan India menyebabkan tsunami melanda banyak negara dan mengorbankan lebih 150,000 orang.
  • 1998: Gempa bumi berukuran 7.0 di perairan Papua New Guinea menghasilkan ombak setinggi 10 m, dan membunuh lebih 6,000 orang.
  • 1976: Tsunami yang melanda Filipina mengorbankan lebih 5,000 orang.
  • 1960: Gempa bumi paling besar dalam sejarah (berukuran 9.5) di selatan perairan Chile menghasilkan tsunami di Lautan Pasifik dan membunuh lebih 3,000 orang di Chile dan Hawaii.
  • 1946: Gempa bumi berukuran 7.8 berhampiran Alaska, Amerika Syarikat menghasilkan ombak besar setinggi 35 m, dan membunuh sebanyak 165 orang.
  • 1883: Letupan gunung berapi Krakatoa di Selat Sunda menghasilkan tsunami setinggi 35 m, dan mengorbankan 36,000 orang.
  • Pembentukan tsunami ketika merentasi kawasan air cetek; kelajuan ombak berkurang dan ketinggian ombak meningkat.

    Tsunami terhasil oleh gangguan di dasar laut yang menyebabkan penyesaran sejumlah besar air.[4] Dalam proses penyeimbangan air yang terganggu ini, suatu gelombang dapat terbentuk dan tersebar meninggalkan pusat gangguan, sehingga menyebabkan tsunami.[5] Punca-punca yang dapat menyebabkan perpindahan air seperti ini meliputi gempa bumi bawah laut, keruntuhan yang terjadi di dasar laut, atau jatuhnya sesuatu objek ke dalam air seperti letusan gunung berapi, meteor atau ledakan senjata nuklear.[6][7]

    Punca tsunami paling umum ialah gempa bumi yang mengakibatkan sekitar 80%–90% tsunami.[8] Gempa yang paling berpotensi menimbulkan tsunami adalah gempa yang terjadi di zon benam yang dangkal. Namun, tidak semua gempa bumi seperti ini menyebabkan tsunami. Selain itu, jenis gempa bumi lain juga boleh menyebabkan tsunami, tetapi jarang berlaku dan hanya pernah berlaku pada gempa-gempa bumi dengan kekuatan yang amat besar.[9] Biasanya, hanya gempa bumi dengan kekuatan skala magnitud momen bernilai 7.0 dan ke atas yang memiliki kebolehan ini. Semakin kuat suatu gempa, semakin besar peluang tsunami untuk terbentuk akibat gempa bumi tersebut.[10] Selain itu, tsunami seperti ini ialah satu-satunya yang dapat bertahan jauh, bahkan boleh menyeberangi lautan sehingga membahayakan kawasan yang lebih luas.[11]

    Pada 1950-an, kajian menunjukkan bahawa tsunami dengan ketinggian yang amat tinggi boleh terbentuk akibat tanah runtuh berskala besar. Dalam kejadian ini, tenaga dipindahkan dengan kadar yang lebih tinggi daripada kadar yang boleh diserap oleh badan air lalu menyebabkan penyesaran air yang besar. Peristiwa ini pernah direkodkan dua kali dalam sejarah moden: peristiwa tanah runtuh di Teluk Lituya di Alaska, Amerika Syarikat pada 1958 yang membentuk ombak terbesar yang pernah direkodkan dengan ketinggian mencecah 524 meter,[12] dan peristiwa tanah runtuh di takungan air Empangan Vayont di Itali pada 1963.[13]

    Kesiapsiagaan

    Pegawai sistem amaran tsunami Badan Meteorologi, Klimatologi, dan Geofisika dari Indonesia memerhati perkembangan gempa bumi dan tsunami Tōhoku 2011.

    Sistem amaran

    Sistem peringatan dini tsunami berfungsi untuk mengesan risiko tsunami, mengenal pasti kawasan yang berisiko terkena tsunami, dan mengeluarkan pengumuman agar masyarakat awam dapat mengambil tindakan untuk mengurangkan kematian dan kecederaan.[14] Amaran tsunami biasanya bermula dari terjadinya gempa bumi berkekuatan besar (lazimnya berskala 7.0 atau lebih).[15][16] Saat gempa seperti ini terjadi, penduduk kawasan berisiko dapat diberi amaran secara langsung serta perkiraan kasar ukuran atau waktu kedatangan tsunami. Sementara itu, pusat sistem amaran mengumpulkan data-data lain seperti perubahan pada permukaan laut, serta kedalaman dan ciri-ciri dasar laut setempat.[17][18]

    Kesiapsiagaan infrastruktur

    Reka bentuk bangunan

    Arus tsunami boleh memiliki tenaga tinggi yang dapat menghancurkan atau merosakkan bangunan-bangunan di kawasan pesisir.[19] Namun begitu, bangunan-bangunan dengan rancangan tertentu memiliki peluang lebih besar untuk bertahan. Bangunan dengan ruangan terbuka yang luas, yang boleh dilalui oleh air tanpa banyak halangan sering mampu bertahan ketika dilanda tsunami.[20] Bangunan bestruktur konkrit diperkukuhkan juga sering tidak hancur dalam tsunami, meskipun dinding-dinding bangunannya boleh hancur.[20] Jika bangunan dengan struktur ini cukup tinggi, tingkat-tingkat atasan dapat dirancang sebagai zon perpindahan kecemasan kepada penduduk yang tidak sempat berpindah ke kawasan tanah tinggi.[19]

    Pembinaan penghadang

    Tembok-tembok laut dan pemecah gelombang lazimnya dibina di kawasan berisiko tsunami untuk mengurangkan kesan ombak di kawasan pesisir.[21] Sebagai contoh, kawasan pesisir Jepun dilindungi oleh tembok laut atau struktur-struktur lain untuk membendung kesan tsunami serta bencana-bencana lain seperti taufan.[22] Tembok-tembok ini mungkin tidak cukup tinggi dan kuat untuk menghalang tsunami daripada membadai kawasan pesisir, tetapi masih berperanan untuk melemahkan arus ombak.[20] Oleh itu, tembok laut boleh memperlahankan dan mengurangkan ketinggian tsunami, tetapi tidak semestinya menghalang kerosakan yang besar serta kehilangan nyawa.[23]

    Kesiapsiagaan kendiri

    Ada beberapa panduan jika seseorang berhadapan dengan tsunami. Individu dan keluarga perlu dipindahkan ke zon yang lebih jauh selepas amaran tsunami dibunyikan; dan individu perlu bergerak dengan teratur, tenang dan cara yang selamat. Individu tersebut perlu mematuhi arahan pihak berkuasa dan pemantau kecemasan.

    Individu di pantai atau berhampiran laut yang merasai bumi bergegar sepatutnya bersegera ke kawasan lebih tinggi tanpa perlu menunggu amaran kehadiran tsunami. Individu mesti menjauhi kawasan pantai, tepi laut, sungai dan saliran yang bercantum ke laut. Individu tidak patut pergi ke pantai untuk menyaksikan tsunami.

    Selain itu, bangunan tinggi dan hotel turut dibina di kawasan rendah di sepanjang pantai. Justeru, jika berlaku tsunami, individu perlu naik ke tingkat atas bangunan berkenaan. Individu tidak patut sekali-kali berada dalam rumah atau bangunan kecil bila ada amaran kemunculan tsunami.

    Jika ada dalam bot, jangan sekali-kali balik ke pangkalan. Kehadiran tsunami mampu mengakibatkan kemusnahan serius di pelabuhan dan pangkalan. Hubungi pihak berkuasa pangkalan atau pelabuhan bagi mengetahui keadaan sebelum bercadang pulang ke sana.

    Rujukan

    Pautan luar