Syamsul Yusof
Syamsul Yusof.jpg
Syamsul sewaktu menerima trofi Anugerah Khas Juri di Festival Filem Malaysia ke-21 pada 9 Ogos 2008.
Kelahiran Mohd Syamsul bin Mohd Yusof
(1984-05-21) 21 Mei 1984 (umur 34)
Kuala Lumpur, Malaysia
Kediaman Taman Melawati, Shah Alam, Selangor
Pendidikan Penyiaran dan Kewartawanan
Pusat pendidikan Akademi TV3 (kini Institut Media Integratif Malaysia)
Pekerjaan Pelakon, penyanyi, penulis skrip, pengarah, penerbit
Tahun aktif 2005–kini
Karya terkenal Evolusi KL Drift
Bohsia: Jangan Pilih Jalan Hitam
Khurafat
KL Gangster
Aku Bukan Tomboy
Munafik
Pasangan Puteri Sarah Liyana (berkahwin 2014)
Ibu bapa Datuk Yusof Haslam (bapa)
Datin Patimah Ismail (ibu)
Saudara Syafiq Yusof (adik)
Faizal Yusof (abang tiri)
Sabrina Ali (sepupu)
Rizal Ashreff (sepupu)
Anugerah Lihat senarai penuh
Kerjaya muzik
Genre Hip hop, R&B, Nasyid
Instrumen Vokal
Kegiatan berkaitan
Dr. Anwar Fazal, James Baum, Mawi

Mohd Syamsul Mohd Yusof atau lebih dikenali sebagai Syamsul Yusof (lahir 21 Mei 1984) ialah seorang pelakon, pengarah dan penyanyi lelaki Malaysia. Beliau terkenal menerusi filem-filem bercorak aksi di Malaysia dan mencipta rekod sebagai pengarah termuda memenangi anugerah Festival Filem Malaysia ke-23 iaitu pada usia 26 tahun.

Masyarakat umum mengenali dirinya sebagai anak kepada pengarah tersohor yang pernah mendapat jolokan Six Million Dollar Man iaitu sutradara Dato' Yusof Haslam. Hasil kejayaan bapa beliau diteruskannya dengan cemerlang setelah penghasilan beberapa filem yang pecah panggung dan digelar The Twenty Million Man.[1] Secara keseluruhannya, sembilan filem yang diarahkan oleh beliau telah berjaya mengumpul kutipan sebanyak RM 54.36 juta, filem-filem arahannya seperti Evolusi KL Drift (2008), KL Gangster dan Aku Bukan Tomboy (2011) menjadi kejayaan komersial dan mendapat sambutan yang menggalakkan, tawaran berlakon drama TV juga tetap diperolehinya, antara drama lakonannya ialah Cik Ah Cik Nin (2009), Ameera (2012) dan Gerak Khas (2015–kini).[2]

Sebagai penyanyi, beliau telah mengeluarkan tiga single kolaborasinya bersama Mawi - "Kalah Dalam Menang" yang merupakan lagu tema filem Munafik arahannya, lagu "Bukan Propaganda" yang menjadi lagu tema filem Desolasi lakonannya, serta "Menangislah" yang menjadi lagu tema filem Munafik 2 arahannya. Beliau juga dilantik sebagai duta jenama motosikal, SYM Motors bersama peman bola sepak, Safee Sali.

Syamsul telah menerima pelbagai anugerah dan penclaonan dalam kerjaya lakonan dan sinematografi, termasuk Festival Filem Malaysia ke-23 bagi Pengarah Terbaik, Anugerah Skrin ke-10 bagi Lakon Layar Terbaik, Anugerah Blokbuster 2012 bagi Tuan Direktor Terhebat dan Festival Filem Asia Pasifik ke-57 bagi Pengarah Terbaik.[3][4][5] Pada Jun 2018, Harian Metro menyenaraikan beliau sebagai salah seorang dari 10 pelakon popular yang meraih pengiktirafan di peringkat global.[6]

Kehidupan awal

Syamsul dilahirkan pada 21 Mei 1984 di Kuala Lumpur dan merupakan anak kedua daripada empat beradik. Merupakan seorang yang berdarah seni, beliau mewarisi bakat seni daripada bapanya, pelakon-pengarah-penerbit dan orang kuat Skop Productions, Dato' Yusof Haslam. Sepupunya ialah dramatis Sabrina Ali dan Rizal Ashreff dan pelakon sinetron popular Indonesia iaitu Miller Khan dan Aliff Alli, adiknya Syafiq juga bergiat aktif dalam bidang lakonan dan pengarahan, dua lagi adik-beradiknya ialah abang tirinya Faizal Yusof dan adik perempuan, Nur Syamin. Beliau berkelulusan dalam bidang Penyiaran dan Kewartawanan di Akademi TV3 yang kini dikenali sebagai Insitut Media Integratif Malaysia atau MIIM.

Kerjaya

2005–2007: Permulaan kerjaya dan kejayaan komersial

Walaupun beliau lahir dalam keluarga yang mempunyai syarikat perfileman gergasi di Malaysia, Skop Productions, beliau tetap menerima cabaran yang berat, yang datang daripada bapanya sendiri, Yusof Haslam. Bapa beliau ingin menguji kemampuan anaknya dengan memberi tugasan mengarah drama arahan bapanya, Gerak Khas, untuk beberapa episod. Selepas berjaya mengharungi cabaran tersebut, hasrat beliau untuk duduk di kerusi pengarah filem akhirnya tercapai. Tetapi, cabaran lain pula tiba. Skrip yang dihasilkan beliau bersama sepupunya, Rizal Ashreff, ditolak oleh bapanya dan menyuruh menilai semula skrip tersebut. Setelah penyemakan semula, akhirnya projek filem pertamanya diluluskan dengan bajet bernilai RM 1.35 juta sebagai kos dan tarikh siap selama 35 hari. Agak membebankan apabila beliau yang baru mula mengarah terpaksa berhadapan situasi yang begitu memberi tekanan kepada beliau. Pada masa pembikinan filem tersebut, beliau terpaksa berbalah dengan bapanya soal kos filem yang terpaksa dinaikkan sehingga RM 2 juta.[7] Beliau menangis dan timbul rasa serik untuk mengarah filem. Tetapi, anak kepada Six Million Dollar Man ini tidak mengenal penat setelah filem pertamanya, Evolusi KL Drift yang ditayangkan pada 3 April 2008 berjaya di pawagam.[8][9] Sejak itu, beliau giat mengarah beberapa filem pecah panggung dan melangkaui kejayaan yang diukir oleh bapanya sendiri.

2008–2011: Evolusi KL Drift 2, Khurafat dan Pengarah Terbaik

Syamsul bersama trofi Festival Filem Malaysia yang dimenanginya.

Selepas mengarah filem Evolusi KL Drift, beliau meneruskan langkah dengan mengarah filem bercorak aksi kontroversi, Bohsia: Jangan Pilih Jalan Hitam. Filem ini mendapat perhatian ramai apabila tajuk filem ini yang kurang sesuai untuk tatapan umum. Tetapi beliau mempunyai alasan tersendiri.[10] Beliau masih mengekalkan tanda dagangan beliau dengan mengarah filem-filem aksi. Filem ini dilihat berjaya. Seterusnya, beliau meneruskan kesinambungan trilogi Evolusi KL Drift menerusi Evolusi KL Drift 2.[11] Kali ini, penceritaan yang dilakukan kelihatan agak kemas dan begitu baik. Filem yang dibintangi oleh dirinya sendiri, Farid Kamil, Aaron Aziz, Scha Al-Yahya dan Remy Ishak ini mendapat kutipan yang membanggakan. Dengan filem tersebut, bermulanya langkah cemerlang apabila menggondol anugerah Pengarah Terbaik di Festival Filem Malaysia ke-23.[12] Kejayaan yang beliau kecapi ini telah melampaui apa yang pernah dicapai bapa beliau.

Beliau ingin mewarnai portfolio seorang pengarah dengan mengarah pelbagai jenis genre filem. Percubaan pertama beliau berhasil. Tahun 2011 menunjukkan kebangkitan sentuhan filem beliau apabila filem seram pertamanya, Khurafat: Perjanjian Syaitan lakonan beliau bersama Liyana Jasmay menjengah pawagam dan mencipta rekod baru apabila mencapai kutipan RM 8 juta. Kejayaan ini merupakan satu kejutan bagi industri perfilem di Malaysia.[13] Pengkritik memberi pujian kepada percubaan pertama beliau dalam mengarah filem seram.[14]

Keganasan filem arahan beliau tidak terhenti di situ. Beliau mengganas semula dengan filem aksi pertarungan, KL Gangster yang ditayangkan pada 9 Jun 2011. Filem ini membuka mata semua pihak yang sering memperlekeh filem Melayu. Beliau begitu teliti dalam penghasilan filem ini yang dibuat khas untuk tontonan semua.[15] Kejayaan filem ini begitu mengejutkan apabila mendapat kutipan hampir RM 12 juta,[16] dua kali ganda apa yang dicapai oleh bapanya melalui Sembilu II.[16] Filem ini berjaya memberi saingan kepada filem-filem luar yang ditayangkan di Malaysia.[16] Beliau turut menyatakan kesusahan untuk mengumpulkan senarai pelakon yang dikehendaki beliau untuk filem ini. Beliau turut meraih kejayaan pada Festival Filem Malaysia ke-24 apabila berjaya menggondol anugerah Pengarah Terbaik untuk dua tahun berturut-turut menerusi filem KL Gangster.[17]

Pada 14 September 2011, Syamsul bersama penyanyi Aizat Amdan telah terpilih sebagai penerima anugerah Tokoh Muda Negara 2011 yang disampaikan oleh Perdana Menteri, Najib Tun Razak bersempena sambutan Hari Kemerdekaan negara ke-54.[18]

Filem keenam arahannya, Aku Bukan Tomboy menemui penonton di pawagam pada 17 November 2011, filem ini memperlihatkan Syamsul ingin lari dari kebiasaanya terhadap filem bergenre aksi, apabila beliau mencuba genre komedi romantik untuk filem ini yang mana skrip asalnya ditulis oleh bapanya, filem lakonan Scha Al-Yahya, Shaheizy Sam dan dirinya sendiri mendapat sambutan dan menerima ulasan positif dari pengkritik filem meskipun menjadi kegagalan komersial.[19][20][21]

2012–2014: Anugerah Blokbuster dan KL Gangster 2

Pada 2012, filem ketujuh arahannya, Jalan Kembali: Bohsia 2 yang merupakan kesinambungan daripada filem Bohsia: Jangan Pilih Jalan Hitam ditayangkan pada 7 Jun, beliau sendiri turut berlakon dalam filem ini dengan melakonkan kembali watak Mus bersama-sama pelakon asal, Nabila Huda (Tasya) dan Salina Saibi (Amy).[22] Beliau kemudiannya membintangi filem psiko-thriller romantik SAM: Saya Amat Mencintaimu arahan adiknya, Syafiq yang ditayangkan pada 19 Ogos 2012, dalam filem yang turut dibintangi oleh Shaheizy Sam dan Lisa Surihani sebagai pelakon utama, beliau memegang watak Jeffri yang merupakan rakan sekerja Sam dan Lisa.[23] Beliau bergandingan bersama Rita Rudaini sebagai pelakon utama drama Ameera yang disiarkan di Slot Samarinda TV3, ini merupakan penampilan pertama beliau menerusi drama di TV3 selepas kemunculannya di dalam drama Airmata Maria terbitan Skop Productions pada 2007.

Syamsul juga berjinak-jinak untuk menjadi penyanyi[24][25] apabila beliau pernah menghasilkan sebuah album EP bersama Dr. Anwar Fazal yang bertajuk The Love Legacy yang mengandungi empat lagu yang terdiri daripada Bidadari, Apakah Semuanya Itu, Ya Robbi dan Hingga Hujung Dunia.[26]

Syamsul (kiri), bersama bapanya, Yusof Haslam (tengah) dan adiknya, Syafiq (kanan).

Beliau membintangi telefilem Asmara Beijing arahan bapanya, Datuk Yusof Haslam, bersama Salina Saibi dan Norman Hakim, telefilem yang disiarkan di Astro Citra mengisahkan tentang Dira yang membawa dirinya ke Beijing, China selepas merajuk dengan cintanya kepada Rizal, telefilem ini menjalani penggambaran di Beijing dan selebihnya dilakukan di Kuala Lumpur.[27] Syamsul bergandingan bersama Kamal Adli dan Hanis Zalikha sebagai pelakon utama filem aksi komedi arahan bapanya, Datuk Yusof Haslam dan Ahmad Idham,[28] Gangster Celop yang merupakan gabungan daripada filem KL Gangster dan drama Apa Celop!, filem yang ditayangkan pada 21 Februari 2013 ini berkisarkan berkisar mengenai dua orang bekas gangster iaitu Adam (Syamsul Yusof) dan Aman (Kamal Adli) yang baru selesai menjalani hukuman penjara selama lima tahun, bertekad untuk menjadi insan yang lebih baik.[29] Filem ini turut dibintangi oleh Yus Raja Lawak, Azad Jazmin, Usop Wilcha dan Reen Rahim. Selepas Gangster Celop, beliau berlakon dalam filem Oh Mak Kau! arahan Ain Nordin yang ditayangkan pada 16 Mei 2013.[30] Pada Oktober, beliau meraih kemenangan besar dengan membawa pulang lima trofi termasuk filem arahannya, KL Gangster merangkul kategori Filem Terhebat Anugerah Blokbuster, yang julungkali diadakan.[31] Selain itu, filem Khurafat arahannya turut memenangi Anugerah Filem Takut Terhebat, KL Gangster menerusi Filem Aksi Terhebat, Anugerah Tuan Direktor Terhebat serta Anugerah Khas PFM daripada penganjur majlis anugerah ini iaitu Persatuan Penerbit Filem Malaysia (PFM).[31][32]

Filem kelapan arahannya, KL Gangster 2[33] menemui penonton di pawagam, masih mengekalkan Aaron Aziz, Adi Putra, Soffi Jikan dan Zizan Razak serta dirinya sendiri dan juga Rosyam Nor. Namun, dua bulan sebelum ditayangkan, industri filem negara telah dikejutkan dengan dengan penyebaran filem ini secara haram menerusi internet.[34] Beliau mengambil langkah segera dengan membuat laporan kepada pihak berkuasa bagi membendung penyebaran meluas filem ini,[35] sambil memberi amaran keras kepada pihak yang bertanggungjawab melakukan perkara tersebut. Meskipun kontroversi itu, filem ini mendapat sambutan meluas daripada penonton dan mencatat kutipan sebanyak RM4.96 juta, jumlah kutipan yang agak terendah daripada filem KL Gangster.[36] Insiden ini menyebabkan Syamsul berasa tertekan dan kecewa hingga tidak menghadiri majlis pratonton dan tayangan perdana serta mempromosikan filem ini,[37][38][39][40] sehingga beliau nekad untuk berhenti mengarahkan filem.[41] Syamsul sekali lagi berlakon di bawah arahan adiknya, Syafiq Yusof menerusi filem Abang Long Fadil yang merupakan terbitan turunan dari filem KL Gangster, dalam filem yang dibintangi oleh Zizan Raja Lawak dan Kamal Adli, beliau memegang tiga watak – iaitu Zack (watak lakonannya dalam Evolusi KL Drift), Mus (dari Bohsia: Jangan Pilih Jalan Hitam) dan Shark (KL Gangster), filem ini merupakan satu kejayaan komersial dan mendapat sambutan positif dari penonton dan pengulas filem serta meraih kutipan kasar sebanyak RM 4.61 juta.[42]

2015–kini: Kebangkitan semula, Gerak Khas dan Munafik

Pada Mei 2015, Syamsul membintangi watak utama sebagai Supritendan Jefri dalam Gerak Khas musim ke-15,[43][44] sebelum ini beliau pernah menjayakan beberapa episod Gerak Khas sebagai pelakon undangannya.[45] Selepas tiga tahun menyepi dari kerusi pengarah akibat terjejas dengan nasib yang menimpa filem KL Gangster 2 arahannya yang bocor di internet sebelum tayangan perdana rasminya, Syamsul bangkit semula[46] menerusi filem terbaru beliau Munafik ditayangkan di pawagam pada 27 Februari 2016,[47][48] Syamsul sendiri turut berlakon dalam filem kesembilan arahannya dengan menjayakan watak utama sebagai Ustaz Adam, seorang ustaz yang dikurniakan ‘kelebihan’ kerana setiap pesakit yang mengalami ‘gangguan’ sering berjaya diubatinya mengikut cara perubatan Islam.[49][50] Filem yang turut dibintangi oleh Nabila Huda, Pekin Ibrahim dan Fizz Fairuz ini melayakkan Syamsul menerima anugerah Pengarah Terbaik dan Suntingan Terbaik di Festival Filem Malaysia ke-28.[51]

Pada 26 Februari 2016, beliau muncul dengan lagu "Kalah Dalam Menang" yang menggandingkan beliau bersama Mawi; ia merupakan lagu tema filem seram arahannya, Munafik.[52] Selang beberapa bulan selepas itu, lagu tema untuk filem Desolasi pula keluar bertajuk "Bukan Propaganda" menggabungkan kolaborasi kedua bersama Mawi.[53][54] Pada tahun sama, Syamsul memegang watak sebagai Aiman dalam filem cereka sains Desolasi arahan adiknya, Syafiq Yusof.[55] Dikeluarkan pada 8 Disember 2016, Desolasi mengisahkan tentang Aiman, seorang pelukis jalanan yang mencari jawapan dalam persoalan hidupnya dan melalui pelbagai ujian serta dugaan sehingga membuatkan dirinya hilang arah.[56] Filem ini turut dibintangi oleh Pekin Ibrahim, Bella Dally dan Datuk Jalaluddin Hassan.[57][58]

Syamsul dilaporkan bakal menghasilkan kesinambungan filem itu yang menjalani penggambaran pada hujung 2016[59][60] yang dilaporkan bakal dibintangi oleh Mawi dan Maya Karin serta pelakon jelita Indonesia, Dian Sastrowardoyo.[61] Ia telah dilaporkan yang Nabila Huda tidak akan terlibat dalam Munafik 2 dan skrip filem ini juga ditulis semula oleh Syamsul walaupun ia hampir disiapkan kerana merasakan skrip berkenaan tidak melangkaui apa yang pernah dihasilkan menerusi filem pertama sebelum ini.[62] Pada 30 Julai 2017, Syamsul telah dinamakan Pengarah Terbaik di Festival Filem Asia Pasifik ke-57 yang diadakan di Phnom Penh, Kemboja menerusi filem arahannya, Munafik, beliau bagaimanapun tidak dapat menghadiri majlis berprestij itu.[63][64][65] Kemenangan beliau sekali gus mengulangi kejayaan Allahyarham Tan Sri P. Ramlee dan Allahyarhamah Yasmin Ahmad yang pernah memenangi kategori sama.[66][67] Beliau juga mengumumkan berhasrat untuk mengarahkan filem epik sejarah pahlawan negara.[68]

Pada 1 Februari 2018, Syamsul membintangi filem drama romantik, Makrifat Cinta[69] arahan Kamal G.[70] Bagaimanapun, ketika menjalani penggambaran filem itu, Syamsul mengalami kecederaan di bahagian kiri bahunya ketika melakonkan babak letupan.[71][72][73] Beliau bagaimanapun berada dalam keadaan stabil selepas mendapat rawatan di sebuah hospital di ibu negara.[74][71][75][76] Turut berlakon dalam filem ini ialah Nora Danish dan Puteri Balqis.[77]

Meneruskan rentetan kerjasama bersama adiknya, Syafiq, Syamsul membintangi filem aksi KL Special Force bersama Rosyam Nor dan Fattah Amin yang ditayangkan di pawagam pada 8 Mac 2018.[78] Dalam filem ini, Syamsul memegang watak Asyraff, ketua kumpulan Geng Anarkis. Filem ini merupakan kejayaan komersial.[79] Selain itu, beliau turut menyumbangkan lagu tema filem ini yang bertajuk "Selamat Tinggal Masa" yang menampilkan duet bersama Black Hanifah.[80]

Pada Mac 2018, semasa malam gala filem KL Special Force lakonannya di Petaling Jaya, Syamsul mengumumkan akan mengarahkan filem biografi sejarah yang berkisarkan tentang pahlawan Melayu, Mat Kilau.[81] Filem ini memulakan penggambaran pada 1 April 2018.[82] Ia diterbitkan oleh Studio Kembara dan pertama arahan Syamsul yang mana beliau tidak berlakon, dibintangi oleh Datuk Adi Putra selaku watak utama dan dibantu pelakon Fattah Amin, Beto Kusyairy, Johan As'ari, Farid Amirul, A. Galak, Yayan Ruhiyan, Nadiya Nisaa dan bintang baru, Ali Karimie.[83] Syamsul dilaporkan enggan mengarah filem bersama adiknya, Syafiq bagi mengelakkan percanggahan pendapat dan idea.[84][85][86] Syamsul dipetik oleh Astro Awani sebagai berkata: "Saya tidak mempunyai perancangan untuk mengarah bersama Syafiq kerana saya percaya sesebuah filem itu tidak boleh diarahkan oleh dua orang individu."[87] Beliau turut mengakui kejayaan Syafiq sebagai persaingan sihat buatnya.[88]

Syamsul bersama-sama dengan Nam Ron, Zahiril Adzim, Bront Palarae, Shaheizy Sam, Chew Kin Wah, Maya Karin dan Puteri Balqis telah disenaraikan sebagai salah seorang dari 10 pelakon popular yang berjaya meraih pengiktirafan di peringkat global oleh Harian Metro pada Jun 2018.[6] Filem ke-10 arahan beliau, Munafik 2, kesinambungan dari filem pertama yang ditayangkan pada Februari 2016, menerima keluaran tayangan rasmi pada 30 Ogos 2018. Syamsul memuatnaik poster rasmi filem ini di laman Instagram beliau.[89] Dalam temuramah bersama Harian Metro, Syamsul berkata: "Ketika melakukan proses suntingan, saya menangis sebab jalan cerita filem ini. Apatah lagi, unsur dakwah yang diketengahkan diinspirasikan daripada kisah Nabi dan negara Islam yang ditindas. Jadi, menerusi filem ini saya nak penonton merasai ajaran Islam yang dibawa menerusi beberapa watak sedia ada dan karakter baru diperkenalkan,"[90][91]

Beliau mengumumkan pada September 2018 yang Munafik 2 akan disambung untuk siri ketiga.[92][93] Syamsul dilaporkan akan kembali ke set penggambaran filem Mat Kilau pada pertengahan Disember 2018 di mana penggambaran dihentikan seketika untuk memberi laluan kepada promosi Munafik 2.[94]

Kehidupan peribadi

Perkahwinan

Syamsul di hari perkahwinannya dengan Puteri Sarah.

Beliau berkahwin dengan pelakon Puteri Sarah Liyana pada 8 Mac 2014. Majlis perkahwinan Syamsul dan Puteri Sarah telah berlangsung di Masjid Al-Mukarramah, Bandar Sri Damansara, pasangan ini diijabkabulkan sebagai pasangan suami isteri yang sah oleh Penolong Pendaftar Nikah Kariah Masjid Al-Mukarramah, Mat Syaharuddin Ar Rashid pada jam 11:30 pagi dengan hanya sekali lafaz bersertakan mas kahwin berjumlah RM 1,111. Majlis perkahwinan Syamsul dan Puteri Sarah dihadiri oleh kedua-dua ahli keluarga pengantin lelaki dan perempuan, sahabat handai dan sanak saudara serta rakan-rakan artis.[95][96] Sekitar 2007 hingga 2009, beliau dilaporkan pernah menjalin hubungan dengan pelakon Diana Danielle (kini isteri Farid Kamil) yang juga pernah berlakon dalam dua filem arahannya.[97][98]

Pada November 2016, Syamsul berkongsi khabar gembira apabila isterinya, Puteri Sarah disahkan hamil anak lelaki.[99] Perkara gembira itu diketahui ketika membawa isterinya membuat pemeriksaan kehamilan, dua minggu lalu.[99] Menurutnya, dia masih belum membuat sebarang persiapan kelengkapan bayi memandangkan mereka baru sahaja mengetahui jantina bayi mereka.[99] Syamsul dan Puteri Sarah pada awalnya merahsiakan berita baik itu termasuk kepada ahli keluarga kerana mahu kandungan itu betul-betul kuat.[100] Syamsul memberitahu, isterinya turut mengalami alahan muntah dan cepat penat.[100] Pada 19 April 2017, pasangan itu menyambut kedatangan cahaya mata sulung mereka — anak lelaki bernama Syaikhul Islam.[101][102][103][104] Pada Julai 2018, Syamsul dan Puteri Sarah mengumumkan bakal menimang cahaya mata kedua.[105][106]

Kontroversi tuduhan ciplak

Pada 17 Februari 2016, Syamsul dan bapanya Yusof Haslam dan syarikat mereka, Skop Productions menang dalam kes saman yang dikemukan oleh penulis novel Aku Bohsia, Elias Idris yang mendakwa filem Bohsia: Jangan Pilih Jalan Hitam arahan Syamsul diciplak dari novelnya, Aku Bohsia yang diterbitkan pada 1995.[107] Elias yang menggunakan nama pena Anne Natasha Nita telah diarahkan membayar ganti rugi RM100,000 dan kos berjumlah RM40,000 kepada ketiga-tiga defendan. Keputusan itu dibuat oleh Hakim Mahkamah Tinggi Datin Azizah Nawawi selepas mendapati plaintif gagal membuktikan defendan melanggar hak cipta terpelihara novel Aku Bohsia dalam filem yang diterbitkan pada 2009.[108][109][110]

Pada masa sama, Syamsul juga melahirkan rasa syukur apabila namanya telah dibersihkan dan memberitahu Mahkamah Tinggi di sini hari ini bahawa beliau tidak pernah membaca dan memiliki novel Aku Bohsia sebelum Bohsia: Jangan Pilih Jalan Hitam diterbitkan.[111] Syamsul berkata beliau mendapat idea untuk menghasilkan skrip filem itu daripada isu semasa iaitu isu "mat rempit".[111]

Kolaborasi

Syamsul mempunyai beberapa pelakon yang berlakon di dalam lebih daripada satu filem arahannya. Aaron Aziz ialah pelakon paling kerap berkolaborasi, muncul dalam lima filem. Sementara Adam Corrie Lee dan Salina Saibi, masing-masing muncul dalam empat filem.

Filemografi

Kunci
Filem/drama yang belum dikeluarkan Menunjukkan filem/drama yang belum dikeluarkan

Filem

Melakonkan watak sebagai Johan dalam filem Khurafat, bersama Liyana Jasmay (Aishah).
Tahun Tajuk Peranan Pengarah Catatan
2005 Gila-Gila Pengantin Popular Ijam Aziz M. Osman
2008 Evolusi KL Drift Zack Dirinya sendiri Arahan dan lakonlayar sulung
2009 Bohsia: Jangan Pilih Jalan Hitam Muz Juga sebagai penulis skrip dan penyunting
2010 Evolusi KL Drift 2 Zack
2011 Khurafat: Perjanjian Syaitan Johan
KL Gangster Shark
Aku Bukan Tomboy Burn
2012 Jalan Kembali: Bohsia 2 Muz
SAM: Saya Amat Mencintaimu Jefri Syafiq Yusof
2013 Gangster Celop Adam Ahmad Idham
KL Gangster 2 Shark Dirinya sendiri Juga sebagai penulis skrip dan penyunting
2013 Oh Mak Kau! Lutfan Nurul Ain Nordin
2014 Abang Long Fadil Zack/Shark/Mus Syafiq Yusof
2016 Mat Moto Mus Pekin Ibrahim
Syafiq Yusof
Penampilan istimewa
Munafik Ustaz Adam Dirinya sendiri Juga sebagai penulis skrip dan penyunting
Desolasi Aiman Syafiq Yusof
2017 Abang Long Fadil 2 Inspektor Wahab
2018 Makrifat Cinta Mahathir Kamal G.
KL Special Force Asyraff Syafiq Yusof
Blok 404 Azma Aizal Yusoff Pelakon undangan
Munafik 2 Ustaz Adam Dirinya sendiri Juga sebagai penulis skrip, penyunting dan penerbit bersama.
2019 Mat Kilau Filem/drama yang belum dikeluarkan Juga sebagai penulis skrip dan penyunting. Pos-produksi.
Abang Long Fadil 3 Filem dan drama yang belum dikeluarkan Inspektor Wahab Syafiq Yusof Pos-produksi
2020 Munafik 3 Filem dan drama yang belum dikeluarkan Ustaz Adam Dirinya sendiri Juga sebagai penulis skrip, penyunting dan penerbit bersama. Dalam pembangunan.

Drama

Tahun Tajuk Peranan Saluran TV Catatan
2006 Gerak Khas (Musim 8) TV2 Episod: "Dendam Remaja", pelakon undangan
2007 Airmata Maria TV3
2008 Farah Syafikah Syamil TV2
2009 Cik Ah Cik Nin[112] Astro Prima
2012 Tanah Kubur (Musim 4) Malek Astro Oasis Episod: "Bunga Haram", pelakon undangan
Ameera Ameer TV3
Evolusi KL Drift: The Series[113] Zack TV2
2015–kini Gerak Khas Supt. Jefri TV2 Juga sebagai penerbit bersama
2018 Sejadah Untuk Dia Astro Maya HD Idea asal

Telefilem

Tahun Tajuk Peranan Saluran TV Catatan
2009 Maisara Mus Astro Prima
2012 Asmara Beijing Rizal Astro Citra

Televisyen

Tahun Tajuk Peranan Saluran TV
2016 Gempak Superstar Dirinya sendiri/juri jemputan Astro Ria
LePakNil Dirinya sendiri

Diskografi

EP

Tajuk Maklumat album Catatan
The Love Legacy
  • Dikeluarkan: 2012
  • Label: Red Room Studio
Bersama Dr. Anwar Fazal

Single

Tahun Tajuk Catatan
2016 "Kalah Dalam Menang"[114][115] Duet bersama Mawi (OST filem Munafik)
"Bukan Propaganda"[116][117] Duet bersama Mawi (OST filem Desolasi)
2017 "Senorita" Duet bersama Dato' AC Mizal & Shuib Sepahtu (OST filem Abang Long Fadil 2)
2018 "Selamat Tinggal Masa" Duet bersama Black Hanifah (OST filem KL Special Force)
"Menangislah" Duet bersama Mawi (OST filem Munafik 2)

Endorsmen