Sumatera
سوماترا
Geografi
LokasiAsia Tenggara
Koordinat0°00′N, 102°00′E
KepulauanKepulauan Sunda Besar
Pentadbiran
Indonesia
Demografi
Populasi50,365,538 juta (2010)

Sumatera (tulisan Jawi: سوماترا )(b. Indonesia rasmi: Sumatra) ialah sebuah pulau yang terletak di sebelah barat Indonesia, iaitu bahagian paling barat dari Kepulauan Sunda. Ia adalah pulau terbesar yang seluruhnya berada di wilayah Indonesia (pulau yang lebih besar, Borneo, dikongsi bersama antara Indonesia dan negara-negara lain), dan merupakan pulau keenam terbesar di dunia, dengan keluasan 473,480 km2. Penduduk pulau ini sebanyak 50,365,538 juta orang (2010). Bandar terbesar ialah Medan dengan jumlah penduduk 3,418,645 orang.

Peneroka koloni diperkirakan tiba di Sumatera pada 500 SM dan beberapa kerajaan besar berkembang di sana. I-Tsing, seorang sami China Buddha, pernah belajar bahasa Sanskrit dan menghabiskan empat tahun dalam hidupnya di Palembang. Penjelajah Itali Marco Polo juga melawat Sumatera dalam tahun 1292.

Sumatera mempunyai spesies tumbuhan dan haiwan dalam julat yang besar, tetapi telah kehilangan 48% hutan hujan tropikanya dalam tempoh 35 tahun terakhir serta banyak spesies telah terancam genting (critically endangered), seperti Harimau Sumatera, Badak Sumatera, dan Orang utan Sumatera.

Etimologi

Sumatera dikenali pada zaman kuno dengan nama Sanskrit Swarnadwipa ("Pulau Emas") dan Swarnabhumi ("Tanah Emas"), kemungkinan kerana deposit emas pada dataran tinggi pulau ini.[1] Kata Sumatera pertama kali disebutkan dalam gelar seorang raja Srivijaya Haji Sumatrabhumi ("Raja dari tanah Sumatera"),[2] yang menghantar utusan ke China pada tahun 1017.

Pendapat lain menyatakan bahawa nama Sumatera menjadi popular di akhir abad ke-14 untuk menyebut kepada kerajaan Samudera Pasai, yang kemudian digantikan oleh Kesultanan Aceh. Sultan Aceh Alauddin Shah, dalam surat yang ditujukan kepada Ratu Elizabeth I dari England pada tahun 1602, menyebut dirinya sebagai "Raja Aceh dan Samudera".[3] Kata Samudra (समुद्र) berasal dari bahasa Sanskrit, yang terdiri dari akar kata saṃ- iaitu "bersama" dan -udra iaitu "air", yang bermaksud "lautan".[4]

Petualang Maghribi Ibnu Battuta yang melawat pulau ini pada tahun 1345, mengucapkan kata Samudera sebagai Samatrah, yang kemudian menjadi Sumatera atau Sumatra. Nama-nama ini selanjutnya dinyatakan di dalam peta yang dibuat orang Portugis sejak abad ke-16 untuk merujuk kepada pulau ini, sehingga dikenal secara luas sampai sekarang.[5]

Sejarah

Orang yang bercakap bahasa Austronesia mula tiba di Sumatera sekitar 500 SM, sebagai sebahagian daripada perluasan migrasi Austronesia dari Taiwan ke Asia Tenggara. Dengan kedudukannya dalam laluan perdagangan laut India-China, beberapa bandar-bandar perdagangan berkembang terutamanya di pantai timur Sumatera dan dipengaruhi oleh agama Hindu dan Buddha. Salah satu kerajaan yang paling awal diketahui ialah Kantoli, yang berkembang di abad ke-5 Masihi di selatan Sumatera. Kantoli digantikan oleh Kerajaan Srivijaya dan kemudian oleh Kerajaan Samudra.

Srivijaya merupakan monarki Buddha, berpusat di apa yang kini adalah bandar Palembang. Empayar ini menguasai kepulauan Melayu menerusi perdagangan dan penaklukan dari abad ke-7 hingga ke-9, serta membantu menyebarkan kebudayaan Melayu ke seluruh Sumatera, Semenanjung Melayu, dan bahagian barat Borneo. Empayar Srivijaya merupakan suatu kuasa maritim (thalassocracy) yang memperluaskan pengaruhnya dari pulau ke pulau. Palembang pada masa itu merupakan pusat pembelajaran yang termasyhur, dan ia merupakan tempat sami China Buddha I-Tsing belajar bahasa Sanskrit sebelum berlepas ke India dalam 671 Masihi. Dalam perjalanan kembalinya ke China, beliau juga menghabiskan masa selama empat tahun di Palembang untuk menterjemahkan teks agama Buddha dan menulis dua manuskrip.

Peta Sumatera abad ke-16

Pengaruh Srivijaya berkurangan dalam abad ke-11 selepas ia ditewaskan oleh serangan empayar Chola yang ketika itu memerintah di India Selatan. Sumatera seterusnya tertakluk kepada penaklukan dari kerajaan-kerajaan di Jawa, iaitu pertama oleh Singhasari dan kemudian oleh Majapahit. Pada masa yang sama Islam masuk ke Sumatera di abad ke-6 dan ke-7 Masihi melalui saudagar Arab dan India.[6] Menjelang akhir abad ke-13, raja-raja kerajaan Samudra telah memeluk agama Islam. Ini disaksikan oleh Marco Polo yang melawat pulau ini di tahun 1292 dan oleh Ibnu Battuta yang melawat dua kali sepanjang 1345-1346. Kerajaan Samudera digantikan oleh Kesultanan Aceh yang kuat, yang kekal hingga abad ke-20.

Kedatangan Belanda telah membuat banyak negeri-negeri di pulau Sumatera secara beransur-ansur jatuh di bawah kawalan mereka, namun Kesultanan Aceh di utara pulau merupakan halangan utama, yang menyebabkan Belanda terlibat dalam Perang Aceh (1873-1903) yang lama dan mahal. Kebanyakan Sumatera jatuh di bawah kawalan kerajaan Hindia Timur Belanda, dan menjadi pengeluar utama lada, getah, dan minyak. Pada awal dan pertangahan abad ke-20, ahli akademik dan pemimpin Sumatera termasuk pada tokoh-tokoh penting dalam pergerakan kemerdekaan Indonesia.

Pembahagian pentadbiran (Provinsi)

Pembahagian pentadbiran Sumatera (termasuk pulau-pulau berhampirannya) adalah: