Untuk kegunaan lain, sila lihat Plasma.
Lampu plasma yang menampilkan beberapa fenomena plasma yang lebih rumit, termasuk filamentasi.

Dalam fizik dan kimia, plasma biasanya ialah gas terion yang dianggap sebagai satu fasa jirim yang berasingan, dan yang berbeza dengan pepejal, cecair, dan gas, disebabkan sifat-sifatnya yang unik. "Terion" bermaksud bahawa sekurang-kurang sebiji elektron berpisah daripada sesetengah atom-atom atau molekul-molekul. Cas elektrik yang bebas menyebabkan plasma itu menjadi konduktif secara elektrik dan supaya plasma itu dapat bertindak balas dengan kuat terhadap medan-medan elektromagnet.

Keadaan jirim yang keempat ini dikenal pasti di dalam sebatang tiub nyahcas (atau tiub Crookes) dan dinamakan sebagai "jirim sinaran" oleh Sir William Crookes pada tahun 1879. [1] Sifat jirim sinar katod di dalam tiub Crookes kemudian dikenal pasti oleh Sir J.J. Thomson, ahli fizik Inggeris, pada tahun 1897 [2] dan digelarkan "plasma" oleh Irving Langmuir pada tahun 1928 [3], mungkin kerana jirim itu mengingatkannya tentang plasma darah [4]. Langmuir menulis:

"Kecuali dekat elektrod-elektrod di mana terdapat sarung-sarung yang mempunyai amat sedikit elektron, gas terion mengandungi bilangan ion yang hampir sama banyak dengan bilangan elektron dan oleh itu, cas ruangnya adalah amat kecil. Kita akan menggunakan nama plasma untuk menghuraikan kawasan ini yang mengandungi cas ion dan elektron yang seimbang." [5]

Plasma biasanya mengambil bentuk awan-awan seakan-akan gas atau alur-alur ion bercas, tetapi mungkin juga termasuk debu dan butir-butir (dipanggil debu plasma ). [6] Plasma ini biasanya dibentuk dengan memanaskan dan mengionkan sesuatu gas. Elektron-elektron yang dilucutkan daripada atom-atom membolehkan cas-cas positif dan negatif untuk bergerak dengan bebas.

Plasma umum

Plasma merupakan fasa jirim yang paling umum. Sesetengah anggaran menentukan bahawa 99% daripada keseluruhan alam semesta nampak terdiri daripada plasma. [7] Disebabkan ruang di antara bintang-bintang diisi dengan plasma, meskipun dalam keadaan yang amat jarang (lihat medium antara najam dan ruang antara galaksi), namun seluruh isi padu alam semesta pada dasarnya juga terdiri daripada plasma (lihat plasma astrofizik). Di dalam sistem suria, planet Musytari merupakan jirim bukan-plasma yang paling banyak, iaitu hanya kira-kira 0.1% daripada jisim dan 10−15% daripada isi padunya di dalam orbit Pluto. Hannes Alfvén, ahli fizik plasma yang terkenal, juga memperhatikan bahawa disebabkan cas elekrik butiran-butiran yang amat kecil, butiran-butiran itu juga bertindak sebagai ion dan merupakan sebahagian plasma (lihat debu plasma).


Bentuk-bentuk plasma
Plasma Buatan Plasma Daratan Plasma Ruang dan Astrofizik