"Pekin" dilencongkan di sini. Untuk spesies baka ayam katik, sila lihat Pekin (ayam).

Pekin Ibrahim
Pekin at FFM 28.jpg
Pekin semasa memenangi anugerah Pelakon Lelaki Terbaik di Festival Filem Malaysia ke-28 pada 3 September 2016.
Kelahiran Mohd Iznan bin Ibrahim
(1981-10-25) 25 Oktober 1981 (umur 37)
Kota Bharu, Kelantan, Malaysia
Kediaman Kuala Lumpur, Malaysia
Pusat pendidikan Universiti Utara Malaysia (UUM)
Pekerjaan Pelakon, pengarah, penerbit, penari, model
Tahun aktif 1996–kini
Karya terkenal

Mohd Iznan bin Ibrahim atau lebih dikenali sebagai Pekin Ibrahim (lahir 25 Oktober 1981)[a] merupakan seorang pelakon, pengarah, penulis skrip dan penerbit filem Malaysia.[1][2] Beliau mula berkecimpung dalam bidang lakonan menerusi filem sulung lakonannya Di Ambang Misteri (2004), diikuti oleh beberapa filem berikut termasuk Cinta Terakhir (2009), Skrip 7707 (2009), Al-Hijab (2011), Bunohan (2012), Paku Pontianak (2013), Cerita Kita (2013), Coverina (2015), Kampung Drift (2016) dan Volkswagen Kuning (2016). Kredit filem beliau yang lain termasuk komedi seram Hantu Kak Limah Balik Rumah (2010), komedi muzikal Rock Oo! (2013), Lagenda Budak Hostel (2013), Tokan (2013), drama cereka sains Apokalips X (2014), Ophilia (2014), thriler seram Villa Nabila (2015),[3] Juvana 2 (2015), Jejak Warriors (2015),[4] drama aksi komedi Mat Moto (2016)[5][6] dan seram Munafik (2016).

Beliau mencapai banyak kejayaan pada 2016 apabila beliau telah memenangi Festival Filem Malaysia ke-28 melalui filemnya, Mat Moto: Kami Bukan Mat Rempit bagi Pelakon Lelaki Terbaik, menewaskan calon lain seperti Shaheizy Sam, Zizan Razak dan Aaron Aziz. Beliau juga berbakat dalam tarian dan muzik kerana pernah menganggotai kumpulan B-Boys dan Sevenwords.[7][8] Selain itu, Pekin juga bergiat aktif di teater dan telah menjayakan pementasan teater termasuk Tattoo Gestapo (2012) dan Dendam Laksamana (2017).

Kehidupan awal

Beliau dilahirkan sebagai Mohd Iznan bin Ibrahim pada 25 Oktober 1981 di Kota Bharu, Kelantan dan merupakan anak bongsu daripada 6 beradik,[9] ibu bapanya ialah Che Jah Che Mat dan Allahyarham Ibrahim Awang,[9] bapanya meninggal dunia akibat serangan jantung pada 1991 ketika Pekin berusia 10 tahun.[9] Kehilangan arwah bapa memberikan tamparan hebat kepada Pekin kerana beliau menjadi anak kesayangan bapanya. Sejak kecil, beliau gemar berangan dan suka berimaginasi, beliau meminati siri animasi adiwira Jepun seperti Satria Perkasa Hitam dan Ultraman,[9] kecenderungan Pekin mengikuti siri TV ini membuatkan beliau boleh 'menukar' dirinya kepada watak animasi yang diminati dalam sekelip mata. Beliau bersekolah di Maktab Pengajian Islam Kota Bharu.[9]

Beliau memulakan kerjaya awalnya sebagai seorang pekerja di restoran A&W, Subang Jaya[9] selepas meninggalkan kampung halamannya pada tahun 1998 untuk memulakan kehidupan baru di Kuala Lumpur.[9] Beliau berpindah ke KL bersama rakan karibnya apabila beliau berusia 16 tahun untuk mencapai impian untuk menjadi seorang pelakon.[9] Walaupun bekerja di restoran, beliau menghadiri beberapa uji bakat untuk menjayakan peranan dalam drama dan filem. Pada tahun-tahun terawal kerjayanya, beliau bekerja keras untuk menguasai bahasa Inggeris dan menggunakan loghat Kelantan tebal.[9] Beliau seterusnya melanjutkan pelajarannya di peringkat ijazah di Universiti Utara Malaysia (UUM).[10]

Kerjaya

2004–2009: Permulaan kerjaya

Semasa tahun terawal penglibatannya dalam bidang lakonan, Pekin memulakan kerjayanya dalam industri filem hanya sebagai pelakon pembantu. Beliau menjayakan peranan dalam filem pertamanya Di Ambang Misteri diarahkan oleh Silver Chung pada tahun 2004. Beliau kemudian berlakon dalam filem Cinta Terakhir arahan Along Kamaludin juga sebagai watak pembantu; Pekin kemudiannya membintangi telefilem Ombak Laut China Selatan arahan Rashid Sibir yang dibintangi oleh Eman Manan. Pada tahun 2009, beliau menerima tawaran untuk menjayakan watak penting sebagai pelakon seram dalam filem seram Skrip 7707 arahan Prof Madya A. Razak Mohaideen.

2010–2014: Kejayaan awal

Ketika menjayakan watak Bakar dalam Bunohan

Kerjaya Pekin mula meningkat selepas beliau ditawarkan untuk memegang peranan sebagai Musalman dalam filem seram komedi pecah panggung Hantu Kak Limah Balik Rumah (2010) arahan Mamat Khalid. Pada tahun 2012, beliau menjayakan peranan utama sebagai Bakar dalam Bunohan arahan Dain Said. Dalam filem ini, Pekin terpaksa bercakap dalam loghat Kelantan kerana ia bukanlah masalah besar baginya kerana beliau berasal dari Negeri Cik Siti Wan Kembang. Pada Jun tahun sama, beliau melancarkan buku biografi pertama yang mula ditulis pada 2009, Memoir Bukan Memoir terbitan Merpati Jingga yang berkisarkan tentang pengalamannya sebagai artis.[11] Bagaimanapun, tidak lama selepas buku ini dikeluarkan, buku tersebut dirampas oleh Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) dalam satu serbuan pada 12 Jun kerana dikatakan menyebarkan kandungan yang merosakkan akidah umat Islam.[12] Pekin yang pada mulanya terkejut dengan rampasan bukunya berkata,[12] salah faham yang timbul itu bagaimanapun sudah diselesaikan dan kandungan bukunya tidak mempunyai sebarang masalah kerana ia mendapat kelulusan daripada Kementerian Dalam Negeri sebelum diterbitkan.[12][13]

Pekin kemudiannya terlibat dalam pementasan teater Tattoo Gestapo yang merupakan bentuk teater yang diimpikan selama ini.[14] Pekin memegang watak sebagai Mustafa, yang mengalami konflik bersama rakan sekerja dan akhirnya konflik itu berakhir dengan hukuman mati.[14] Pementasan kedua yang dilakonkan di bawah produksi Rumah Anak Teater selepas Ju&Meo yang berdasarkan adaptasi naskah karya William Shakespeare, Romeo dan Juliet dipentaskan pada 2011,[14] yang diarahkan dan dilakonkan bersama Mislina Mustaffa.[14] Di dalam Tattoo Gestapo, Pekin digandingkan dengan Benjy yang membuat kemunculan semula selepas ditahan selama dua tahun kerana terlibat dalam kes dadah.[14]

Pada tahun 2013, beliau telah ditawarkan sekali lagi oleh Mamat untuk membawakan peranan sebagai pelakon utama dalam filem komedi muzikal, Rock Oo!: Rimba Bara Kembali yang merupakan kesinambungan filem pertama, Pekin membawakan kembali watak Slash @ Wan Sulaiman. Beliau mengikat kontrak tiga filem bersama Metrowealth Pictures dan seterusnya muncul dengan filem pertama lakonnannya bersama syarikat itu, Cerita Kita arahan Pierre Andre lakonan bersama Yana Samsudin dan Fezrul Khan,[15] filem keduanya bersama Metrowealth ialah Paku Pontianak arahan Ismail "Bob" Hasim, lakonan bersama Uqasha Senrose yang melakonkan watak utama sebagai Melati,[16] diikuti oleh filem terakhirnya bersama Metrowealth, Lagenda Budak Hostel. Nama beliau terus meningkat dalam industri perfileman Malaysia apabila beliau melakonkan peranan dalam sebuah filem fiksyen sains Apokalips X yang juga arahan Mamat. Beliau kemudian membawakan peranan yang besar dalam filem Ophilia (2014) yang diarahkan oleh Raja Mukhriz Raja Ahmad Kamaluddin sebagai salah satu daripada ahli-ahli dalam kumpulan skinhead.[17]

2015–kini: Kerjaya pengarahan dan kejayaan arus perdana

Pada 15 Januari 2015, beliau melakonkan peranan utama sebagai Asyraf, seorang kontraktor dalam filem dokumentari seram arahan Syafiq Yusof, Villa Nabila yang diinspirasikan oleh kisah benar tragedi banglo Villa Nabila.[18][19][20][21] Mencari kelainan daripada biasa, Pekin menggalas watak yang tidak pernah dilakonkannya sebelum ini iaitu menjadi perempuan, menerusi filem Coverina arahan Khalid Nazri (adik kepada Ahmad Idham). Pekin membawa watak Kamelia, gadis yang bersopan santun, tetapi sebenarnya gadis itu adalah lelaki yang bernama Kamal Ali.[22][23][24][25]

Pekin seterusnya ditawarkan oleh Syamsul Yusof untuk menjayakan peranan dalam Munafik sebagai Fazli. Filem ini ditayangkan pada 26 Februari 2016 dan merupakan satu kejayaan komersial, berjaya mencatat kutipan pecah panggung sebanyak RM 17.04 juta dalam masa 2 bulan.[26] Pekin telah mengambil langkah besar dalam portfolio kerjayanya apabila beliau mula menduduki kerusi pengarah menerusi arahan sulungnya Mat Moto yang memulakan tayangan perdana pada 14 Januari 2016.[27] Pada 22 September, beliau muncul dalam filem Volkswagen Kuning yang berdasarkan dari kisah benar.[28][29] 2016 merupakan tahun cemerlang untuk Pekin apabila filemnya berjaya membawa pulang tiga anugerah di Festival Filem Malaysia ke-28 termasuk Cerita Asal Terbaik, Pelakon Baru Terbaik untuk Falisha Crossley, dan Pelakon Lelaki Terbaik melalui Pekin sendiri.[30] Selepas kemenangannya di Festival Filem Malaysia 2016, beliau berkata:

"Mat Moto bermakna kepada saya kerana ia dekat di hati saya dan ia merupakan arahan pertama saya. Juga, saya tidak menyangka bahawa watak saya boleh menang walaupun ia sukar untuk menjayakannya, tetapi ia tidak begitu berat. Dari segi emosi, saya fikir terdapat watak-watak lain yang lebih berat di luar sana. Ini ialah kemenangan Festival Filem Malaysia pertama saya sejak berada di dalam industri ini selama lebih daripada 20 tahun. Ia juga pencalonan kedua saya dan pertama bagi saya adalah pada tahun 2012 untuk Festival Filem Malaysia ke-25 untuk filem Bunohan".[31]

Pekin kembali membawakan semula watak Slash Haji Tapah dalam kesinambungan ketiga dan terakhir filem Rock, Rock Bro! yang ditayangkan pada 27 Oktober.[32][33] Pada November 2016, Pekin bersama pelakon Idris Khan menubuhkan syarikat penerbitan Centro Pictures yang diasaskan dengan sokongan beberapa rakan kongsi lain,[34] syarikat itu menerbitkan filem sulung bertajuk KL Wangan.[34] Pekin dan Idris kemungkinan akan menerbitkan filem kedua berjudul Anarki, pada pertengahan 2017.[34] Malah, Pekin juga memberitahu beliau akan menghasilkan kesinambungan filem Mat Moto.[34][35][36]

Pada Januari 2017, Pekin mengumumkan akan menerbitkan filem dokumentari petamanya yang bertajuk Madness of Borneo bagi mempromosikan keindahan negeri Sabah yang digelar "Negeri Di Bawah Bayu", yang mana beliau bekerjasama dengan Raja Mukhriz selaku pengarah.[37] Penggambaran filem ini dijalankan pada April, di mana krew KL Media House Production memulakan penggambaran.[38] Filem kedua arahannya, KL Wangan ditayangkan pada 21 Disember 2017 dengan skrip ditulis oleh beliau sendiri dengan barisan pelakon termasuk beliau sendiri, Faizal Hussein, Emily Lim dan Kazuto Soon. Bagi mempromosikan filem ini, beliau mengetuai sesi jelajah promosi bersama barisan pelakon di 20 lokasi menarik di seluruh negara.[39][40] Pekin memegang watak sebagai Jimmy, seorang peluncur lagenda dan salah seorang ahli peluncur Trio Malaya dalam filem Surf This Love: Gelora Juara arahan Wan Haafiz yang ditayangkan pada 22 Februari 2018.[41] Beliau kembali menjayakan watak Musalman dalam filem seram komedi arahan Mamat Khalid, Hantu Kak Limah 3 yang ditayangkan pada 9 Ogos 2018.[42] Selain itu, beliau juga bakal muncul dalam filem Manap Karaoke juga arahan Mamat yang akan diumumkan tarikh tayangan rasmi.

Pekin bekerjasama dengan Raja Ahmad Alauddin menerusi drama rantaian Tuan Puteri Saadong; memegang watak sebagai Sultan Abdullah. Untuk drama ini, beliau mendalami ilmu seni mempertahankan diri terutamanya silat yang sinonim dengan era kehidupan berlatar belakangkan tahun 1660-an.[43]

Pekin bersama-sama dengan Aeril Zafrel, Johan As'ari, Riz Amin, Cristina Suzanne, Siti Saleha dan Dee Dee Nash telah menjayakan filem 7ujuh yang ditayangkan pada 8 November 2018. Yang mana beliau memegang watak sebagai Mus.[44]

Kehidupan peribadi

Pada tahun 2013, Pekin dilaporkan bercinta dengan pelakon, Uqasha Senrose yang terkenal menerusi drama Tundukkan Playboy Itu. Pekin dan Uqasha merancang untuk berkahwin pada 2014, namun tidak kesampaian.[45] Uqasha memaklumkan yang percintaan mereka telah tamat 3 Februari 2014 atas permintaan Pekin sendiri. Pekin mengakui hubungannya dengan Uqasha sudah tamat dan dia mempunyai bukti bekas tunangnya itu menjalin hubungan sulit dengan Sharnaaz Ahmad.[46] Malah Pekin juga sudah berpesan kepada Sharnaaz agar menjaga Uqasha dengan baik sekiranya memang benar mereka berdua bercinta.[47][48][49][50]

Pada Oktober 2015, Pekin menafikan khabar angin mengatakan bahawa beliau telah meninggal dunia seperti yang tersebar di laman mikro Twitter. Beliau yang terkejut dengan berita palsu tersebut memberitahu tweet mengenai berita kematiannya tersebar luas sehinggakan ada yang memuatnaik gambar untuk mengucapkan takziah.[51][52]

Pada Jun 2016, Pekin dilaporkan bercinta dengan seorang model antarabangsa yang kini menetap di London.[53] Menurutnya, wanita itu sudah pun memeluk agama Islam baru-baru ini dengan menggunakan nama Iman.[53] Bagaimanapun, mereka masih belum bersedia untuk mendedahkan hubungan istimewa berkenaan berikutan wanita itu terikat dengan beberapa kontrak.[53][54][55][56]

Pada 24 Julai 2017, Pekin mengalami kerugian lebih RM 100,000 selepas motosikal berkuasa tinggi miliknya dicuri. Motosikal jenama BMW S1000 itu disedari hilang di kawasan rumah temannya di Seksyen 30, Shah Alam.[57][58]

Abang kandung beliau, yang hanya dikenali sebagai Abang Din meninggal dunia sewaktu mengerjakan ibadah umrah di Mekah, Arab Saudi pada 14 September 2018.[59]

Filemografi

Kunci
Filem/drama yang belum dikeluarkan Menunjukkan filem/drama yang belum dikeluarkan

Filem

Tahun Tajuk Peranan Pengarah Catatan
2004 Di Ambang Misteri Vic Silver Chung Filem pertama, watak pembantu
2009 Cinta Terakhir Cat Farish Along Kamaludin
Skrip 7707 Young Burn Dato' Prof. Madya A. Razak Mohaideen
2010 Hantu Kak Limah Balik Rumah Musalman Mamat Khalid
2011 Al-Hijab Pelakon filem seram Pierre Andre Pelakon undangan
2012 Bunohan Bakar Dain Iskandar Said
2013 Rock Oo! Slash / Wan Sulaiman Mamat Khalid
Paku Pontianak Adam Ismail Bob Hasim
Cerita Kita Kamal Pierre Andre
Lagenda Budak Hostel Aaron Ismail Bob Hasim
Paku Hadi P. Rameesh Kemunculan khas
Tokan Yusof Ghaz Abu Bakar
2014 Apokalips X Lipan Mamat Khalid
Ophilia Uji Raja Mukhriz Raja Ahmad Kamaruddin
2015 Rumah Pusaka Di Simpang Jalan Rashid / Datuk Semerah Setongkol Jagung Mamat Khalid
Villa Nabila Asyraf Syafiq Yusof
Coverina Kamal Khalid Nadzri
Jejak Warriors Wan Hassan Saw Teong Hin
Juvana 2: Terperangkap Dalam Kebebasan Tok Ki Faisal Ishak
2016 Mat Moto Al Dirinya sendiri Juga sebagai penulis skrip
Munafik Fazil Syamsul Yusof
Kampung Drift Acai Nevin Hiong
Volkswagen Kuning Fuad Shadan Hashim
Rock Bro! Slash / Wan Sulaiman Mamat Khalid
Juvana 3: Perhitungan Terakhir Tok Ki Faisal Ishak Kemunculan khas
Desolasi Zahid Syafiq Yusof
2017 Lebuhraya Ke Neraka Pembantu Perubatan Mamat Khalid
KL Wangan: Bikin Gempak Ejay Dirinya sendiri Juga sebagai penerbit dan penulis skrip
2018 Surf This Love: Gelora Juara Jimmy John Waan Hafiz
Hantu Kak Limah 3 Musalman Mamat Khalid
7ujuh Mus Raja Mukhriz Raja Ahmad Kamaruddin
2019 Mat Moto 2 Filem/drama yang belum dikeluarkan Al Dirinya sendiri Juga sebagai penulis skrip, Pos-produksi
TBA Manap Karaoke Filem/drama yang belum dikeluarkan Mamat Khalid Pos-produksi
Suatu Ketika Filem/drama yang belum dikeluarkan Pos-produksi
Cerana Biduk Bu Merah Filem/drama yang belum dikeluarkan Pos-produksi

Drama

Tahun Tajuk Peranan Saluran TV Catatan
2008 Antologi Cinta Buat Rania TV1
2010 Pintu Taubat Astro Oasis Episod: "Ragutan Maut"
Nenek Kebaya TV3
2014 Tanah Kubur (Musim 8) Astro Maya HD Episod: "Dosa Susu"
Kalau Itu Jodoh Kita TV AlHijrah
Seludup Amran Astro Maya HD
2015 Bercakap Dengan Jin S1 Astro Mustika HD
2018 Tuan Puteri Saadong Sultan Abdullah

Teater

Tahun Tajuk Peranan Ruj.
2012 Tattoo Gestapo Mustafa [14]
2017 Cinta Pertama The Musical
Dendam Laksamana

Telefilem

Tahun Tajuk Peranan Saluran TV Catatan
2003 Maximum Pekin TV3
2004 Zon 606 Tiada Terus-ke-video
2005 Ombak Laut China Selatan Astro Ria Pelakon pembantu, dikreditkan sebagai Pekin
2013 Tarbiah Toyib Astro Oasis
Mengejar Neraka Fahkri TV2
Cerita Sebenar Mengenai Bibah Hazril TV9
2014 Hitam Puteh TV3
Bejat Hamzah TV2
Balqis Yamin TV3
2015 Hujan Pagi Idrus Astro Prima
Adelia Faris TV2
Misteri Ubi Kayu TV2
2016 Fatin TV3
Batas TV2
Karya 12: Wau Kasih Sani Astro Mustika HD
2017 Bayangan Emilia Rizal Astro Ria Pengarah, penulis skrip
Karya 12 Vol 2: Semerah Darah Khairul Astro Mustika HD
2018 Perahu Kecil Jamil TV1
Manikam Hati TV9

Diskografi

Single
Tahun Tajuk Penyanyi undangan
2017
"KL Wangan"
Altimet dan Faizal Hussein

Bibliografi