Teatro alla Scala di Milan, Itali. Ditubuhkan pada 1778, Teatro alla Scala ialah rumah opera yang amat berprestij dan terkenal

Opera (Tulisan Jawi: اوڤرا) ialah salah satu seni dalam cabang teater yang mana keseluruhan pementasannya disampaikan dalam bentuk nyanyian, lakonan dan memerlukan ensembel muzik yang besar seperti orkestra. Opera tidak boleh disamakan dengan teater muzikal (pementasan drama biasa) kerana terdapat banyak perbezaan di dalam corak persembahan, cara penyampaian vokal, cara penulisan and gubahan; dan juga keperluan untuk orkestra. Menurut terjemahan literal perkataan Itali, "opera" bererti kerjasama antara komposer dan penulis libreto; dan menggabungkan beberapa seni persembahan, seperti lakonan, pemandangan, kostum, dan kadang-kala berserta dengan tarian atau balet. Persembahan opera lazimnya dibuat di rumah opera, disertai dengan orkestra, yang dipimpin oleh konduktor muzik.

Opera bermula di Itali pada sekitar tahun 1600; adalah muzik klasikal tradisi Eropah atau juga dikenali sebagai muzik barat. Opera menggunakan unsur-unsur percakapan dan nyanyian, mementingkan set latar belakang pentas, kostum yang bersesuaian dengan jalan cerita opera, dan juga seni lakonan dan tarian. Berbanding dengan pementasan drama biasa, opera secara umumnya mementingkan keperluan gubahan muzik kompleks dan teknik nyanyian vokal. Selain dari penyanyi solo, opera juga disertai dengan ensambel korus diiringi dengan simfoni penuh, juga lebih dikenali sebagai orkestra. Opera juga kerap disampaikan dalam bentuk tarian, terutamanya opera Perancis.

Istilah opera

Kerjaseni opera dirujukkan kepada istilah libreto dalam bahasa Itali yang bermaksud "buku untuk kerja muzik lanjutan”. Sesetengah penggubah seperti Richard Wagner, menulis libreto sendiri manakala yang lain kebiasaannya berkerjasama dengan libretis yang lain seperti Wolfgang Amadeus Mozart dan Lorenzo da Ponte. Opera tradisional terdiri daripada 2 corak nyanyian iaitu resitatif (jalan atau jalinan sesuatu cerita disampaikan dalam bentuk bukan melodi cara opera), dan aria (cara penyampaian emosi sesebuah lagu berdasarkan jalan cerita dalam struktur melodi). Nyanyian berduet, nyanyian tiga penyanyi dan juga nyanyian berkumpulan kerap dibuat manakala nyanyian korus kebiasaannya digunakan untuk memberi ulasan kepada sesuatu aksi dalam pementasan opera. Dalam sesetengah jenis opera seperti Singspiel (pementasan muzik Jerman), opéra comique, opereta (opera berskala kecil), dan semi-opera (opera awal yang dibentuk di England antara 1673 dan 1710), kebiasaannya resitatif digantikan dengan dialog percakapan.

Penyampaian melodi atau separa melodi dibuat pada pertengahan pementasan atau daripada resitatif yang juga merujuk sebagai arioso (nyanyian solo opera di antara resitatif dan aria). Ketika era zaman barok dan era zaman klasikal, resitatif muncul dalam 2 bentuk asas: secco (resitatif dasar) ditemani hanya dengan continuo (nyanyian atau mainan muzik berterusan) yang kerap dibuat tetapi tidak lebih daripada penggunaan alat muzik harpsichord (piano Eropah); atau accompagnato (dikenali juga sebagai stromentato) yang mana ditemani oleh orkestra. Pada kurun ke-19, accompagnato mendapat populariti daripada ramai penonton dan membuatkannya dimainkan dalam bahagian yang lebih besar. Richard Wagner mula merevolusikan opera dengan menghapuskan bahagian yang membezakan aria dan resitatif dalam misinya yang dipanggil melodi yang tiada kesudahannya. Semenjak itu, ramai penggubah mula mengikut langkah Wagner kecuali beberapa penggubah seperti Stravinsky, dalam operanya yang berjudul The Rake's Progress. [1]

Sejarah

Asal

Claudio Monteverdi

Perkataan opera bermakna “kerja-kerja” dalam bahasa Itali (diambil daripada bahasa Latin, opus yang bermaksud “kerja” atau “kerja keras”) dianggap sebagai campuran seni solo dan nyanyian korus, deklamasi, lakonan dan tarian di atas pentas dengan gilang gemilang. Opera Dafne ditulis oleh penggubah Jacopo Peri dianggap sebagai gubahan opera yang terawal. Ia ditulis pada sekitar 1597, diambil daripada sumber inspirasi golongan elit Florentine Camerata, sebuah kumpulan terdiri daripada penyokong humanisme, ahli muzik, penyair dan ahli cerdik pandai.

Dafne ternyata sama sekali sebagai satu pendekatan untuk mengembalikan tragedi Greek klasik, dan juga untuk mengembangkan pengembalian ciri-ciri antikuiti era zaman pembaharuan. Pada pendapat ahli-ahli Florentine Camerata, bahagian korus dalam pementasan lakonan Greek sebenarnya ialah bahagian nyanyian dan berkemungkinan juga untuk keseluruhan teks bagi kesemua peranan. Oleh itu, Opera Dafne dibuat untuk mengembalikan kegemilangan tersebut. Namun begitu, opera Dafne kini hilang dan tidak kekal lama. Kerjaseni Peri yang berikutnya Eurice, dibuat pada sekitar 1600, ialah salah satu opera awal yang kekal sehingga ke hari ini.

Opera awal yang masih lagi kerap dilakonkan ialah Orfeo, digubah oleh Claudio Monteverdi, yang pertamakali dilakonkan di Mantua, Itali. [2]

Opera Itali

Era Barok

Opera tidak kekal lama untuk penonton bangsawan sahaja; pada tahun 1937 di Venice, cadangan untuk festival tahunan Kristian bagi opera tontonan ramai disokong hebat oleh ramai pihak dan membantu penjualan tiket yang besar. Penggubah Monteverdi berpindah daripada menetap di bandar besar ke sebuah pekan kecil, Mantua, Itali dan menggubah opera terakhirnya Il ritorno d'Ulisse in patria and L'incoronazione di Poppea, untuk teater Venetian pada 1640-an. Pengikut beliau yang terpenting, Francesco Cavalli menolong menghebahkan persembahan – persembahan opera beliau di serata Itali. Pada awal era zaman barok, pementasan opera komedi dicampur dengan elemen- elemen tragik yang juga berunsur kesedaran.

Corak ini membentuk banyak pergerakan – pergerakan opera yang ditaja oleh Venice's Arcadian Academy. Akademi tersebut bersekutu dengan pemuisi dan penulis, Pietro Antonio Domenico Trapassi, yang mana libretti beliau membantu pembentukan opera seria yang kemudiannya menjadi corak utama untuk opera Itali pada akhir abad ke-18. Setelah ideal penggubah Metastasian sudah menjadi corak opera yang diterima ramai, opera komedi pada era zaman barok kini dikenali sebagai opera buffa. [3]

Dalam opera seria, nada dipertingkatkan dan cara baru yang bermutu tinggi diperkenalkan, kebiasaannya terdiri daripada resitatif secco dicampur dengan aria de kapo yang panjang. Ia memberi peluang yang hebat untuk nyanyian virtoustik dan pada zaman kegemilangan opera seria menjadikan penyanyi-penyanyi opera sebagai bintang pujaan ramai. Watak untuk pelakon utama lelaki biasanya ditulis untuk suara kastrato, seperti Farinelli dan Senesino, begitu juga penyanyi wanita soprano seperti Faustina Bordoni. Persembahan begini mendapat permintaan meluas di seluruh Eropah, menjadikan opera seria sebagai jenis opera yang utama kecuali di negara Perancis. Opera Itali tetap dengan piawaian opera jenis era zaman barok sebagai corak utama opera mereka, walau pun ketika itu, penggubah terkenal Jerman seperti George Frideric Handel juga mula menulis corak opera seria untuk penonton di London. Libretti Itali kekal sebagai opera dominasi sehingga ke era muzik klasikal sebagai contoh, opera – opera yang ditulis oleh Mozart di Vienna pada penghujung abad tersebut. Penggubah – penggubah utama opera seria kelahiran Itali termasuklah Alessandro Scarlatti, Vivaldi dan Porpora.[4]

Reformasi Gluck

Terdapat beberapa kelemahan dan kritikan pada opera seria seperti beberapa perubahan ketara yang dibuat untuk penyanyi-penyanyi terlatih dan berpengalaman, penggunaan pemandangan (latar belakang kebiasaannya) sebagai ganti kepada nilai sejati opera yang akhirnya menimbul banyak tindak balas daripada ramai orang.

Tulisan Francesco Algarotti yang berjudul Essay on the Opera (1755), terbukti menjadi inspirasi untuk Christoph Willibald Gluck untuk membuat reformasi terhadap perubahan-perubahan yang dibuat. Beliau menyeru agar opera seria dibawa balik seperti corak opera asal yang merangkumi pelbagai elemen – elemen muzik (vokal dan instrumental), balet dan pementasan; kesemua faktor itu wajib diikuti untuk kepentingan opera.

Beberapa penggubah pada era itu seperti Niccolò Jommelli dan Tommaso Traetta, cuba meletakkan ideal ini sebagai amalan untuk opera-opera mereka. Percubaan pertama mereka mencapai kejayaan dan meninggalkan kesan yang mendalam kepada sejarah opera. Walau bagaimanapun Gluck ingin lebih daripada kejayaan, beliau ingin mencapai "beautiful simplicity" (sesuatu yang mudah dan cantik).

Hal ini diilustrasikan dalam opera beliau yang berjudul Orfeo ed Euridice, yang mana dikatakan terdapat kekurangan dalam bahagian vokal yang dianggap kurang baik daripada kerjaseni penggubah Handel yang disokong oleh harmoni mudah dan diakui sebagai terbaik untuk kebiasaan kerja muzik orkestra.

Reformasi Gluck telah menjadi sesuatu yang penting dalam sejarah opera. Kerjaseni penggubah-penggubah seperti Weber, Mozart dan Wagner contohnya, banyak dipengaruhi oleh ideal ini. Mozart, yang dianggap sebagai anak didik Gluck, menggabungkan kepintaran dan kecemerlangan seni lakonan, harmoni, melodi dan kaunterpoin untuk menulis siri-siri opera komik seperti Così fan tutte, The Marriage of Figaro, dan Don Giovanni (kerjasama dengan Lorenzo Da Ponte) yang kekal hingga ke hari ini sebagai opera yang paling diminati, popular dan dikenali ramai.

Tetapi sumbangan Mozart kepada opera seria dianggap sebagai mempunyai seni campuran; pada zaman beliau menggubah, seni itu telah mula pudar dan walaupun beliau mempunyai kerjaseni yang cemerlang seperti Idomeneo dam La Clemenza di Tito, beliau gagal untuk membawa balik seni bentuk itu untuk hidup kembali. [5]