Munafik 2
Pengarah Syamsul Yusof
Penerbit Datuk Yusof Haslam
Penulis Syamsul Yusof
Lakon layar oleh Syamsul Yusof
Dibintangi oleh
Muzik oleh Sky Productions
Extreme Music
Sinematografi Rahimi Mahidin
Disunting oleh Syamsul Yusof
Syarikat
produksi
Pengedar
  • President Productions (Malaysia)
  • CBI Pictures (Indonesia)
Mula ditayangkan
  • 30 Ogos 2018 (Malaysia)
  • 26 September 2018 (Indonesia)
Tempoh tayangan
121 minit
Negara Malaysia
Bahasa Bahasa Melayu
Perbelanjaan RM2.8 juta
Pecah panggung RM40 juta

Munafik 2 ialah sebuah filem seram Malaysia 2018 arahan Syamsul Yusof dan merupakan kesinambungan daripada filem Munafik yang ditayangkan pada 2016[1][2] dan yang kedua dalam trilogi Munafik yang dirancang. Ia juga merupakan filem ke-40 terbitan Skop Productions[3] dan dibintangi oleh Syamsul sendiri sebagai Ustaz Adam, Fizz Fairuz, Maya Karin, Nasir Bilal Khan, Fauzi Nawawi, Mawi, Rahim Razali dan pelakon Indonesia, Weni Panca.[4] Ia mengisahkan seorang pemimpin ajaran sesat, Abu Jar yang mempergunakan ajaran Islam untuk kepentingan diri, Ustaz Adam bertekad menentang Abu Jar dan menyelamatkan Sakinah yang menjadi mangsa nafsu serakah Abu Jar.[5]

Penggambaran dijalankan pada Mac 2017 di Kuala Lumpur, Lembah Klang, Perak dan Pahang dan berakhir pada Mei 2017, filem ini ditayangkan di pawagam seluruh negara pada 30 Ogos 2018 dan di Indonesia pada 26 September 2018.[6][7][8] Munafik 2 menerima ulasan positif dan bercampur-campur daripada pengkritik dan telah meraih kutipan tertinggi sebanyak RM40 juta dalam masa 17 hari di seluruh negara, sekaligus menjadikannya salah satu filem tempatan dengan kutipan tertinggi di Malaysia bagi tahun 2018.[9][10] Kesinambungan ketiga filem ini sedang dalam perancangan dengan Syamsul kembali mengarah, menulis skrip dan menjayakan peranannya.[11]

Sinopsis

Dua tahun selepas peristiwa dalam filem pertama, lautan kehidupan Ustaz Adam (Syamsul Yusof) kembali tenang selepas dihantu oleh kematian isteri dan anaknya. Dia mula menjadi pendakwah bebas dan meneruskan tanggungjawab membantu golongan yang terkena gangguan sihir/jin di serata tempat. Ujian yang menimpa sebelum ini telah mengajarnya untuk lebih tawadhu pada Ilahi. Namun apa yang mengelirukan, Adam sentiasa dihantui dengan imbasan-imbasan silam tentang kematian Maria. Adam juga sering didatangi seorang wanita misteri yang mempersoalkan tentang keimanan dan takdir Tuhan. Dalam masa yang sama, di seberang kampung tinggal seorang wanita bernama Sakinah (Maya Karin) dan anak perempuannya, Aina.

Sakinah terpaksa menjaga ayahnya yang mengidap penyakit misteri. Kehidupan Sakinah yang daif memberi tekanan padanya ditambah pula dia dan anaknya beberapa kali diganggu syaitan. Sakinah percaya apa yang dihadapinya berpunca dari Abu Jar (Nasir Bilal Khan), seorang munafik dan ketua ajaran sesat di kampung yang sama. Abu Jar mempunyai pengikut yang ramai dan digeruni penduduk kampung. Sakinah atau sesiapa sahaja yang masih berpegang pada Islam adalah musuh Abu Jar.

Abu Jar menggunakan sihir/jin untuk menghancurkan sesiapa yang tidak mengikut ajarannya. Ini memaksa Sakinah untuk mencari Ustaz Adam. Kedatangan Ustaz Adam ke kampung seberang telah menimbulkan kemarahan Abu Jar. Adam bukan sahaja terkejut dengan apa sebenarnya berlaku pada keluarga Sakinah tetapi juga dengan ajaran sesat Abu Jar yang memesongkan akidah orang Islam di kampung itu.

Pelakon

Penerbitan

Pembangunan

Pada April 2016, Skop Productions dan Syamsul Yusof mengumumkan akan menerbitkan kesinambungan filem Munafik dan penggambarannya dijalankan pada akhir 2016 atau selewat-lewatnya pada awal 2017.[1] Majlis pelancaran filem Munafik 2 diadakan pada 9 Mac 2017 di Dataran Karyawan FINAS dan dirasmikan oleh Menteri Komunikasi dan Multimedia Malaysia ketika itu, Datuk Seri Salleh Said Keruak.[12] Pada Mac 2017, Nabila Huda yang memegang watak Maria dalam filem pertama mengumumkan menarik diri dari terlibat dalam filem ini kerana kesibukan jadual kerjanya;[13][14][15][16][17] Maya Karin dilaporkan telah dipilih untuk menjayakan peranan utama, bagi menggantikan Nabila.[18][19][20][21] Bagaimanapun, Syamsul mengesahkan secara rasmi yang Maya akan menjayakan Munafik 2.[22] Pelakon jelita Indonesia, Dian Sastrowardoyo, yang terkenal dengan filem Ada Apa Dengan Cinta? (2002) dilaporkan bakal membintangi filem ini bagi pasaran Indonesia.[23] Bagaimanapun, bagi mempromosikan filem ini di Indonesia, Syamsul memilih Weni Panca sebagai pelakon pembantu filem ini, memegang watak sebagai wanita iblis.[24]

Draf pertama skrip ini disiapkan pada Ogos 2016,[25] namun Syamsul terpaksa merombak semula skrip kerana merasakan ia tidak menepati apa yang beliau mahukan.[26] Nasir Bilal Khan yang sebelum ini bekerja dengan Syamsul menerusi Bohsia: Jangan Pilih Jalan Hitam (2009) telah menandatangani untuk menjayakan filem ini.[27] Menurut Syamsul, bapanya mencadangkan Nasir untuk menjayakan watak sebagai Abu Jar.[5] Fauzi Nawawi yang terkenal dengan peranan lakonan di televisyen dan filem, memegang watak sebagai Umar, orang kanan Abu Jar; untuk filem ini, Fauzi mendapatkan pandangan dan nasihat ibunya untuk mengelakkan sebarang masalah timbul.[28] Bekas juara Akademi Fantasia musim ketiga, Mawi yang sebelum ini berduet dengan Syamsul menerusi lagu "Kalah Dalam Menang" dan "Bukan Propaganda", menyertai barisan pelakon Munafik 2.[29] Untuk filem ini, Mawi menaiki bot untuk berlayar merentasi Tasik Chini, beliau mengakui tidak pernah menaiki bot dan terpaksa melakukannya bagi memenuhi permintaan Syamsul.[30]

Bagi mendapatkan inspirasi untuk Munafik 2, Syamsul berkurung dalam bilik hotel selama sebulan.[31][32] Kos pembikinan filem ini dianggarkan berjumlah RM2.8 juta berbanding filem sebelumnya yang hanya menelan belanja sebanyak RM1.6 juta.[33] Dalam temuramah bersama Harian Metro pada 9 Julai 2018, Syamsul berkata: "Ketika melakukan proses suntingan, saya menangis sebab jalan cerita filem ini. Apatah lagi, unsur dakwah yang diketengahkan diinspirasikan daripada kisah Nabi dan negara Islam yang ditindas. Jadi, menerusi filem ini saya nak penonton merasai ajaran Islam yang dibawa menerusi beberapa watak sedia ada dan karakter baru diperkenalkan,".[33]

Treler rasmi filem ini mengambil masa dua minggu untuk disiapkan. Syamsul berkata mengenai treler Munafik 2: "Saya mengambil masa dua minggu untuk menghasilkan treler ini tapi ayah saya kata masa tersebut terlalu lama sebab orang lain buat dalam masa 2 hingga 3 hari saja."[34] Poster Munafik 2 direkabentuk oleh Kukubesi yang sebelum ini pernah merekabentuk poster filem Mat Moto dan Desolasi (2016); Abang Long Fadil 2 (2017) dan KL Special Force (2018).

Penggambaran

Penggambaran dijalankan selama 72 hari bermula 20 Mac 2017[5][35] di Kuala Lumpur dan Lembah Kelang;[5] lokasi penggambaran juga termasuk Istana Kellie dan Lembah Kinta, Perak serta Tasik Chini dan Kuantan, Pahang;[5] dan dimuktamadkan pada 30 Mei 2017.[36][37] Penggambaran direhatkan seketika bagi membolehkan Syamsul membuat persiapan menghadapi malam kemuncak Anugerah Bintang Popular BH (ABPBH) 3.0.[38]

Gaya dan tema

Munafik 2 menggabungkan elemen islamik dan seram, sepertimana filem pertama. Hampir setiap dialog dalam filem ini dimuatkan dengan ilmu fiqh, aqidah, al-Quran dan Sunnah secara lisan. Menurut Syamsul, Munafik ialah sebuah filem seram yang diisi dengan unsur keagamaan dan bukanlah filem ‘hantu’ semata-mata.[39][40] Menurut Ifqdar Rahman dari Utusan Malaysia, Syamsul mengetengahkan kisah-kisah nabi sebagai sumber rujukan utama untuk menjadikan Munafik 2 lebih realistik dalam bentuk visual dan diterap dengan kepelbagaian elemen untuk mewujudkan pelbagai rasa.[41]

Aidil Rusli dari The Malay Mail berpendapat bahawa Munafik 2 merupakan bukti betapa "banyak pemikiran yang menjadi penyusun dan pementasan".[42] Syamsul turut menyatakan bahawa Munafik 2 menjadi "saham" akhirat beliau.[43]

Surah yang digunakan

Terdapat 10 surah di dalam Al-Quran digunakan dalam Munafik 2 yang mana ia digunakan sebagai ayat pendinding bagi mengelakkan sihir dan gangguan makhluk halus. Surah-surah tersebut ialah:[44]

  • Al-Baqarah, ayat 148
  • Al-Hijr, ayat 35
  • An-Nuur, ayat 21
  • Aaraf, ayat 117-123
  • Al-Isra, ayat 82

  • Asy-Syuraa, ayat 80
  • Taha, ayat 68-70
  • Yunus, ayat 81-84
  • Ayatul Kursi
  • Al-Hasyr, ayat 21

Keluaran

Munafik 2 ditayangkan di pawagam seluruh negara pada 30 Ogos 2018, iaitu sehari sebelum sambutan ulang tahun kemerdekaan negara ke-61.[45] Poster rasmi filem ini telah dimuat naik di akaun Instagram rasmi Syamsul pada 10 Julai 2018.[46][47] Treler rasmi filem ini dimuat naik di saluran YouTube rasmi Syamsul pada 23 Julai 2018[48] dan mencatat jumlah tontonan lebih 2 juta di Facebook dan YouTube selepas dimuat naik dalam tempoh lebih kurang 24 jam.[49][50][51][52][53] Treler rasmi Munafik 2 turut mendapat sambutan di luar negara termasuk Indonesia.[54] Di Belakang Tabir filem ini telah disiarkan di semua stesen televisyen di seluruh negara termasuk Astro Ria dan Astro Citra bermula 19 Ogos 2018.[55]

Majlis pratonton filem ini diadakan pada 28 Ogos 2018 di E-Curve, Damansara dan dihadiri oleh barisan pelakon dan pengarah. Munafik 2 menerima keluaran tayangan perdana rasmi di Indonesia, iaitu pada 26 September 2018 dan diedarkan untuk pasaran Indonesia oleh CBI Pictures.[56] Filem ini juga bakal menembusi pasaran Thailand, Kemboja dan Vietnam.[57]

Munafik 2 telah mencipta sejarah tersendiri apabila diberi slot tayangan khas, iaitu selang 15 minit berikutan permintaan tinggi yang diterima.[58][59][60] Semasa tayangannya, satu insiden berlaku apabila dikatakan terdapat segelintir penonton yang diserang 'histeria' sewaktu menonton filem ini di pawagam.[61]

Sambutan

Kutipan

Pada hari pembukaan rasmi, Munafik 2 meraih jumlah kutipan slot tayangan awal sebanyak RM2.05 juta, sekaligus mengatasi Hantu Kak Limah 3 arahan Mamat Khalid yang hanya mengumpul RM650,000.[62][63] Filem ini telah mengumpul kutipan sebanyak RM3.6 juta pada hari pertama tayangannya.[64] Munafik 2 berjaya menduduki tangga teratas di carta filem GSC sekaligus mengatasi lima lagi filem lain termasuk The Equalizer 2, Crazy Rich Asians dan Hantu Kak Limah 3.[65][66] Filem ini berjaya mencipta sejarah yang tersendiri dalam industri perfileman Melayu apabila berjaya meraih kutipan RM 21.6 juta dalam masa empat hari tayangan.[67][68][69][70] Munafik 2 berjaya meraih kutipan pecah panggung tertinggi sebanyak RM30 juta dalam tempoh 10 hari tayangan, berbanding filem terdahulu yang meraih kutipan RM17.04 juta.[71][72][73]

Sehingga 10 September 2018, Munafik 2 berjaya meraih kutipan pecah panggung tertinggi sebanyak RM35 juta, menjadikannya sebagai filem Malaysia paling laris 2018 bersama-sama Hantu Kak Limah.[74] Syamsul dipetik oleh mStar Online sebagai berkata: "Suatu fenomena luar biasa sinema Malaysia. Alhamdulillah dan terima kasih. Majulah industri filem Malaysia,".[75] Buat pertama kali dalam sejarah industri perfilaman Malaysia, Munafik 2 mengumpul kutipan pecah panggung paling tinggi, iaitu sebanyak RM40 juta sekaligus mengatasi kutipan filem Hantu Kak Limah yang meraih kutipan sebanyak RM37 juta.[9] Syamsul meluahkan rasa terharu dengan sambutan yang diberikan terhadap filem arahannya. Beliau dipetik sebagai berkata: "Mencecah kutipan RM 40 juta hanya dalam 17 hari tayangan. Suatu fenomena luar biasa sinema Malaysia. Bukan mudah untuk filem Melayu capai ke tahap ini. Tsunami filem Melayu. Alhamdulillah & terima kasih. Majulah industri filem Malaysia,".[76]

Berikutan sambutan positif, Syamsul tidak menolak kemungkinan akan memasarkan Munafik 2 di beberapa negara Asia termasuk Hong Kong dan Vietnam.[77][78]

Ulasan kritis

Filem ini menerima ulasan positif dari pengkritk filem. Mumtaj Begum dari Star2 menulis: "Munafik 2 boleh menjadi sebuah filem yang lebih baik jika hanya sedikit kehalusan yang dibuat dan aksi penjahat tidak begitu stereotaip.[79] Dalam erti kata lain, Yuzir Harafi dari Astro Awani menyatakan filem ini membawa mesej yang berbeza dan mampu menginsafkan, beliau berkata: "Mesej yang ingin disampaikan melalui filem ini agak berat tetapi jalan ceritanya boleh difahami penonton kerana ia diceritakan dengan sangat baik apabila ia disulam dengan plot dan elemen agama dengan ‘padu’ kerana banyak pengajaran yang boleh diperolehi."[80] Menulis untuk Sinar Harian, Aqmar Mustaza menyifatkan filem ini lebih baik dari prekuelnya.[81]

Arina Azlan, menulis untuk Kosmo! berkata: "Secara keseluruhannya, Munafik 2 adalah sebuah filem seram dakwah yang mampu membangkitkan keinsafan dalam diri. Ia juga naskhah wajib ditonton buat peminat yang mahukan kelainan dalam kisah hantu Melayu yang kebiasaannya sekadar berlandaskan plot cinta, cemburu dan iri hati.".[82] Shazryn Mohd Faizal dari mStar Online menakrifkan filem ini sebagai "lebih berat, berani dan terus cemerlang".[83] Bissme S. dari The Sun memuji Syamsul atas usahanya mencipta "suasana ngeri" dalam filem ini dan berkata, "Namun, filem itu jauh dari sempurna. Sebagai permulaan, saya perhatikan watak-watak itu seolah-olah menjerit dialog mereka seolah-olah bersaing untuk melihat siapa yang boleh menjerit paling kuat...".[84]

Muzik

Lagu tema bagi Munafik 2 ialah "Menangislah" dicipta oleh Syamsul manakala liriknya ditulis bersama sepupunya, Dr. Anwar Fazal dan dipersembahkan oleh Syamsul dan Mawi.[85] Ini merupakan kali ketiga mereka bekerjasama selepas dua lagu terdahulu, "Kalah Dalam Menang" (Munafik) dan "Bukan Propaganda" (Desolasi).[45] "Menangislah" juga boleh didapati untuk muat turun digital di iTunes.[86]

Kesinambungan

Dalam satu laporan media, Syamsul berkata beliau tidak menolak kemungkinan akan mengarahkan siri ketiga Munafik dan ingin menjadikannya sebagai sebuah francais media.[87][88] Beliau berkata dalam temuramah bersama Utusan Malaysia: "Skrip untuk nas­khah ketiga Munafik belum siap sepenuhnya. Namun, saya sudah ada bayangan jalan cerita yang sentiasa berlegar-legar di fikiran. Rancangan untuk menghasilkan Munafik dalam bentuk trilogi sudah ada sejak pembikinan naskhah pertama pada 2016 lagi,”.[89] Beliau kemudian mengesahkan bahawa Munafik 3 akan menjalani penggambaran pada 2019.[90]

Rujukan

  1. ^ a b "Filem seram kaut RM18j, Syamsul mahu terbitkan 'Munafik 2'". The Malay Mail. 10 April 2016. Dicapai 14 April 2016. 
  2. ^ Ramlah Zainal (12 Ogos 2018). "Munafik 2 lebih seram". Harian Metro. Dicapai 16 Ogos 2018. 
  3. ^ Tahir Alhamzah (28 Ogos 2018). "#Showbiz: Yusof Haslam confident with Munafik 2's success at box office". New Straits Times. Dicapai 18 September 2018. 
  4. ^ Amzar Anizam (21 Mac 2017). "Maya Karin, Nasir Bilal Khan, Fauzi Nawawi, and Mawi Join Munafik 2". Kr8tifexpress. Dicapai 27 Jun 2018. 
  5. ^ a b c d e Dennis Chua (20 Julai 2018). "#Showbiz: Ustaz Adam battles a deadly cult". New Straits Times. Dicapai 21 Julai 2018. 
  6. ^ "Syamsul Yusof tak akan tergesa-gesa siapkan "Munafik 2"". Cinema.com.my. 14 Mac 2018. Dicapai 11 Mei 2018. 
  7. ^ "Syamsul Yusof is moving ahead with "Munafik 2"". Yahoo! News. 11 April 2016. Dicapai 27 Jun 2018. 
  8. ^ "Ketakutan kepada yang Maha Kuasa: Syamsul Yusof". Sinar Harian. 28 Julai 2018. Dicapai 29 Julai 2018. 
  9. ^ a b Gordon Kho (16 September 2018). "'Munafik 2' crowned top-earning local film of all time". Star2. Dicapai 16 September 2018. 
  10. ^ Norhafiza Musa (16 September 2018). "Munafik 2 terus pecah rekod". Sinar Harian. Dicapai 16 September 2018. 
  11. ^ Norhana Fariza (4 September 2018). "Nantikan Munafik 3 dua tahun lagi". Sinar Harian. Dicapai 6 September 2018. 
  12. ^ "Filem 'Munafik 2' dilancarkan YB Menteri KKMM". FINAS. 10 Mac 2017. Dicapai 25 April 2017. 
  13. ^ "Nabila Huda tolak tawaran filem Munafik 2". TV14. 7 Mac 2017. Dicapai 25 April 2017. 
  14. ^ "Nabila Huda tolak berlakon Munafik 2". Media Hiburan. 7 Mac 2017. Dicapai 25 April 2017. 
  15. ^ "Nabila Huda tolak berlakon Munafik 2". Berita RTM. 7 Mac 2017. Dicapai 25 April 2017. 
  16. ^ "Munafik 2 bakal terbit tanpa Nabila Huda". Utara News. 8 Mac 2017. Dicapai 25 April 2017. 
  17. ^ "Nabila Huda Tolak Tawaran Syamsul Yusof Bintangi Munafik 2". Iluminasi. 8 Mac 2017. Dicapai 25 April 2017. 
  18. ^ Nadia Azam (12 Mac 2017). "Maya Karin bintangi Munafik 2 bukan demi anugerah". Malaysiakini. Dicapai 14 March 2017. 
  19. ^ Aleya Amri (8 March 2017). "Maya Karin Watak Utama Filem Munafik 2". Malaysiakini. Dicapai 14 March 2017. 
  20. ^ "'Giliran saya sahut cabaran'". Harian Metro. 16 Mac 2017. Dicapai 20 Mac 2017. 
  21. ^ Dennis Chua (15 Mac 2017). "Maya Karin wants action roles". New Straits Times. Dicapai 20 Mac 2017. 
  22. ^ "Syamsul Yusof confirms Maya Karin as lead in Munafik 2". Astro Awani. 19 Mac 2017. Dicapai 20 Mac 2017. 
  23. ^ Farhana Fuad (21 November 2016). "Dian Sastrowardoyo Bakal Berlakon Dalam Filem Munafik 2?". EH!. Dicapai 25 April 2017. 
  24. ^ Anita K. Wardhani (7 April 2017). Akting Weni Panca Diakui di Malaysia, Perannya Jadi Wanita Iblis Bawa Film Ini Tembus Box Office TribunNews. Dicapai pada 18 Julai 2018.
  25. ^ Angelin Yeoh (22 Ogos 2016). "Director Syamsul Yusof ripped the first draft of Munafik 2". Star2. Dicapai 25 April 2017. 
  26. ^ Angelin Yeoh (5 Ogos 2016). "Syamsul Yusof Tulis Semula Skrip 'Munafik 2'". Perak Today. Dicapai 25 April 2017. 
  27. ^ Nadia Azam (5 Ogos 2016). "Munafik 2: Naskhah Islamik tambat Nasir Bilal Khan". Malaysiakini. Dicapai 27 Jun 2018. 
  28. ^ Farhana Ab. Rahman (29 Ogos 2018). "Fauzi minta nasihat ibu berlakon Munafik 2". Berita Harian. Dicapai 31 Ogos 2018. 
  29. ^ Farhana Ab Rahman (8 Jun 2017). "Mawi serius dalam Munafik 2". Berita Harian. Dicapai 27 Jun 2018. 
  30. ^ Mumtaj Begum (20 Ogos 2018). "Mawi had to steer a boat in the dark in 'Munafik 2'". Star2. Dicapai 7 September 2018. 
  31. ^ Nadia Azam (28 Ogos 2018). "Kerana Munafik 2 Syamsul 'berkhalwat' sebulan". Malaysiakini. Dicapai 28 Ogos 2018. 
  32. ^ Dennis Chua (6 September 2018). "#Showbiz: Syamsul shuts himself in room, suffers nightmares when making 'Munafik 2'". New Straits Times. Dicapai 7 September 2018. 
  33. ^ a b Sudirman Mohd Tahir (9 Julai 2018). "Munafik 2 bukan seram semata-mata..." Harian Metro. Dicapai 10 Julai 2018. 
  34. ^ "Peminat kata trailer filem Munafik 2 hebat tapi Syamsul Yusof percaya ada kekurangan diri". Astro Awani. 25 Julai 2018. Dicapai 26 Julai 2018. 
  35. ^ Intan Suhana Che Omar (13 Mac 2017). "Munafik 2 Menemui Peminat Awal Tahun Hadapan". Youth Bernama. Dicapai 27 Jun 2018. 
  36. ^ "'Munafik 2' begins shooting on March 20". The Malay Mail. 16 Mac 2017. Dicapai 25 April 2017. 
  37. ^ "'Munafik 2' to start shooting by end-2016". The Malay Mail. 11 April 2016. Dicapai 25 April 2017. 
  38. ^ "Produksi Munafik 2 beri laluan ABPBH 3.0". Berita Harian. 14 Mei 2017. Dicapai 25 Mei 2017. 
  39. ^ Haryati Karim (28 Ogos 2018). "Syamsul dera Maya dalam Munafik 2". Kosmo!. Dicapai 6 September 2018. 
  40. ^ "Munafik 2 Mendidik Di Balik Unsur Seram". Suria FM. 29 Ogos 2018. Dicapai 6 September 2018. 
  41. ^ Ifqdar Rahman (4 September 2018). "Munafik 2 sarat variasi elemen". Utusan Malaysia. Dicapai 8 September 2018. 
  42. ^ Aidil Rusli (14 September 2018). "Munafik 2, One Two Jaga or Rise: Ini Kalilah". The Malay Mail. Dicapai 17 September 2018. 
  43. ^ "Naskhah ini, 'saham' akhirat saya - Syamsul Yusof". Utusan Malaysia. 9 September 2018. Dicapai 18 September 2018. 
  44. ^ "Terlampau keras, 10 ayat-ayat pendinding yang digunakan oleh Syamsul Yusof dalam Munafik 2". Oh My Media. 31 Ogos 2018. Dicapai 15 September 2018. 
  45. ^ a b Zulqarnain Abu Hassan (10 Julai 2018). "Syamsul Yusof umum tayangan filem Munafik 2". Sinar Harian. Dicapai 11 Julai 2018. 
  46. ^ Khaleeda Rashikin (10 Julai 2018). "Syamsul Yusof 'share' poster filem Munafik 2, ramai tak sabar". Berita Harian. Dicapai 10 Julai 2018. 
  47. ^ "Baru Keluar Gambar Poster Munafik 2, Selebriti Pun Masing-Masing Dah Tak Sabar!". Astro Gempak. 11 Julai 2018. Dicapai 15 Ogos 2018. 
  48. ^ Chandra Wulan (10 Julai 2018). "Masih Ingat Seramnya Film 'Munafik'? Film Keduanya Akan Segera Tayang!". Grid. Dicapai 24 Julai 2018. 
  49. ^ Amirul Haswendy Ashari (23 Julai 2018). "Sebak trailer Munafik 2 dapat sambutan". Harian Metro. Dicapai 25 Julai 2018. 
  50. ^ Angelin Yeoh (25 Julai 2018). "'Munafik 2' trailer promises more terror". Star2. Dicapai 25 Julai 2018. 
  51. ^ Melanie Chalil (25 Julai 2018). "'Munafik 2' trailer hits 2 million views in less than 24 hours of its release (VIDEO)". The Malay Mail. Dicapai 25 Julai 2018. 
  52. ^ Mumtaj Begum (26 Julai 2018). "Munafik 2 teaser is out and already a hit". The Star Online. Dicapai 26 Julai 2018. 
  53. ^ "Belum masuk panggung... treler 'Munafik 2' dah meletup!". Berita Harian Singapura. 28 Julai 2018. Dicapai 11 Ogos 2018. 
  54. ^ "Munafik 2: Sambutan hebat hingga ke Indonesia". Astro Awani. 25 Julai 2018. Dicapai 26 Julai 2018. 
  55. ^ "Di Belakang Tabir Munafik 2". YouTube. 20 Ogos 2018. Dicapai 25 Ogos 2018. 
  56. ^ Panditio Rayendra (21 Ogos 2018). "Munafik 2, Film Horor Malaysia Segera Tayang di Indonesia". Tabloid Bintang. Dicapai 24 Ogos 2018. 
  57. ^ Muhamad Fairoz Azizan (29 Ogos 2018). "Munafik 2 cuba pasaran Thailand, Kemboja dan Vietnam". Berita Harian. Dicapai 29 Ogos 2018. 
  58. ^ Izwan Mohd Isa (31 Ogos 2018). "Filem Munafik 2 ditayangkan selang 15 minit". Kosmo!. Dicapai 4 September 2018. 
  59. ^ Ifqdar Rahman (31 Ogos 2018). "Permintaan tinggi, Munafik 2 ditayang setiap 15 minit". Utusan Malaysia. Dicapai 4 September 2018. 
  60. ^ Amirul Haswendy Ashari (31 Ogos 2018). "'Hilang kata-kata'". Harian Metro. Dicapai 4 September 2018. 
  61. ^ "Penonton Munafik 2 terkena histeria bila ustaz Azhar baca ayat Ruqyah?". Astro Awani. 8 September 2018. Dicapai 8 September 2018. 
  62. ^ Syafil Syazwan Jefri (30 Ogos 2018). "Munafik 2 atasi HKL". Harian Metro. Dicapai 30 Ogos 2018. 
  63. ^ Ifqdar Rahman (30 Ogos 2018). "Tayangan awal Munafik 2 lebur rekod Hantu Kak Limah". Utusan Malaysia. Dicapai 30 Ogos 2018. 
  64. ^ Ifqdar Rahman (31 Ogos 2018). "Hari pertama tayangan, Munafik 2 kutip RM3.6 juta". Utusan Malaysia. Dicapai 1 September 2018. 
  65. ^ "Munafik 2 dominasi carta GSC". Astro Awani. 31 Ogos 2018. Dicapai 1 September 2018. 
  66. ^ Norhafiza Musa (31 Ogos 2018). "Munafik 2 berjaya dominasi carta GSC". Sinar Harian. Dicapai 1 September 2018. 
  67. ^ "Empat hari tayangan Munafik 2 kutip RM 21.6 juta". Sinar Harian. 3 September 2018. Dicapai 3 September 2018. 
  68. ^ Mumtaj Begum (3 September 2018). "Munafik 2 earns RM21.6 million in just four days". Star2. Dicapai 3 September 2018. 
  69. ^ Nor Eryani Yusop (3 September 2018). "Empat hari tayang, Munafik 2 catat lebih RM21 juta kutipan". Kosmo!. Dicapai 5 September 2018. 
  70. ^ Nor Eryani Yusop (4 September 2018). ""Munafik 2" Earns RM21.6 Million In 4 Days, Set To Surpass "Hantu Kak Limah's" Record". Hype. Dicapai 5 September 2018. 
  71. ^ "10 hari tayangan, Munafik 2 kutip RM30 juta". Astro Awani. 8 September 2018. Dicapai 8 September 2018. 
  72. ^ Feride Hikmet Atak (8 September 2018). "10 hari kutip RM30 juta". Berita Harian. Dicapai 8 September 2018. 
  73. ^ Ifqdar Rahman (8 September 2018). "10 hari tayangan, Munafik 2 cecah RM30 juta". Utusan Malaysia. Dicapai 8 September 2018. 
  74. ^ Norhayati Nordin (10 September 2018). "Munafik 2 buat Syamsul demam". Harian Metro. Dicapai 11 September 2018. 
  75. ^ Kemalia Othman (8 September 2018). "Fenomena 'Munafik 2' pecah rekod RM30 juta". mStar Online. Dicapai 11 September 2018. 
  76. ^ Kemalia Othman (16 September 2018). "'Munafik 2' atasi 'HKL', pecah rekod RM40 juta". mSTAR Online. Dicapai 16 September 2018. 
  77. ^ Feride Hikmet Atak (17 September 2018). "Raih RM40 juta, 'Munafik 2' ke Hong Kong dan Vietnam". Berita Harian. Dicapai 18 September 2018. 
  78. ^ Feride Hikmet Atak (17 September 2018). "#Showbiz: 'Munafik 2' collects RM40 million, off to HK and Vietnam". Berita Harian. Dicapai 18 September 2018. 
  79. ^ Mumtaj Begum (30 Ogos 2018). "'Munafik 2': Not as impactful as the first film - Movie review". Star 2. Dicapai 30 Ogos 2018. 
  80. ^ Yuzir Harafi (31 Ogos 2018). "Munafik 2 bawa mesej berbeza, mampu menginsafkan". Astro Awani. Dicapai 1 September 2018. 
  81. ^ Aqmar Mustaza (2 September 2018). "Munafik 2 lebih baik dari filem pertama". Sinar Harian. Dicapai 2 September 2018. 
  82. ^ Arina Azlan (3 September 2018). "Kuasa fenomena, keinsafan Munafik 2". Kosmo!. Dicapai 4 September 2018. 
  83. ^ Shazryn Mohd Faizal (5 September 2018). "'Munafik 2' lebih berat, berani dan terus cemerlang". mStar Online. Dicapai 6 September 2018. 
  84. ^ Bissme S. (7 September 2018). "Movie review: Munafik 2". The Sun. Dicapai 7 September 2018. 
  85. ^ Menangislah taruhan terbaru Syamsul Yusof Suria FM (4 September 2018). Dicapai pada 12 September 2018.
  86. ^ "Menangislah (From "Munafik 2") - Single". iTunes Store (MY). Apple. 14 September 2018. Dicapai 17 September 2018. 
  87. ^ Raja Nurfatimah Mawar Mohamed (31 Ogos 2018). "Lakar sejarah, Syamsul rancang sambungan Munafik 2". Berita Harian. Dicapai 2 September 2018. 
  88. ^ Dennis Chua (1 September 2018). "#Showbiz: Munafik 3 is on the way, says Syamsul Yusof". New Straits Times. Dicapai 3 September 2018. 
  89. ^ Ifqdar Rahman (4 September 2018). "Raih RM21.6 juta, Munafik 2 bakal disambung". Utusan Malaysia. Dicapai 4 September 2018. 
  90. ^ Melanie Chalil (4 September 2018). "Syamsul Yusof confirms Munafik 3 filming to start 2019". The Malay Mail. Dicapai 12 September 2018. 

Pautan luar