Misa Melayu karya Raja Chulan ini tergolong dalam naskhah sastera tradisional genre sastera sejarah. Buku ini telah dikaji oleh W.E. Maxwell dan diterbitkan dalam JSBRAS 1882 dan 1884 masihi. R.O Winstedt telah merumikannya pada tahun 1919 masihi.[1] Beberapa versi lain tersimpan di Universiti Leiden, Belanda dengan judul Hikayat Salasilah Perak dan Ikatan Raja Ke Laut.

Perkataan 'Misa' diambil daripada judul cerita-cerita panji seperti Misa Perabu Jaya di kepulauan Jawa.[2] Namun, daerah Kampung Gajah tidaklah ramai orang Jawa.[perlu rujukan]

Penulis

Misa Melayu ditulis di istana oleh seorang pujangga istana bernama Raja Chulan. Nama penuhnya ialah Raja Chulan ibni Raja Abdul Hamid ibni Yang diPertuan Muda Sultan Mansur Syah bergelar Marhum Pulau Juar, Kampung Gajah, Perak.[3]

Raja Chulan mengarang Misa Melayu semasa pemerintahan Sultan Iskandar Zulkarnain dan selesai ditulis pada 1908 masihi di Mukim Bandar, 36800 Kampung Gajah, Perak. Mukim Bandar terletak di tebing kiri Sungai Perak, kira-kira 7 km dari Kampung Gajah, Perak.

Raja Chulan dianggarkan hidup sekitar 1720–1786 masihi. Datuknya Sultan Mansur Syah menjadi salah seorang Yang Dipertuan Muda Perak atau terkenal dengan nama Marhum Pulau Tiga. Sultan Mansur Syah ialah anak Sultan Mudzaffar Shah II iaitu Sultan Perak ke-10 (memerintah 1636–1653). Pada zaman Sultan Mudzaffar Shah III (1728–1752), Raja Chulan telah dianugerahi gelaran Raja Kecil Besar pada tahun 1752. Apabila Sultan Mudzaffar Shah III mangkat pada tahun 1752, baginda telah diganti oleh Sultan Iskandar Zulkarnain, iaitu Sultan Perak ke-15 (1752–1765). Apabila Sultan Iskandar Zulkarnain mangkat pada tahun 1765, Raja Kemas yang bergelar Raja Muda telah ditabalkan menjadi Sultan Perak (1765–1773).

Raja Chulan yang bergelar Raja Kecil Besar dinaikkan pangkat menjadi Raja Bendahara Perak. Raja Chulan berkhidmat dengan 9 orang sultan.[4] Raja Chulan akhirnya menjadi Raja Muda Perak pada 1773 dan mangkat pada 10 Februari 1787.

(Untuk mengelakkan kekeliruan, Raja Chulan yang disebut di atas merupakan orang yang berlainan dengan Y.A.M. Raja Sir Chulan ibni Almarhum Sultan Abdullah Muhammad Shah Habibullah.)

Bentuk

Misa Melayu ditulis dalam bentuk prosa dan puisi dalam tulisan jawi.[5] Oleh itu, ia merupakan sebuah karya yang unik. Contoh sastera sejarah prosa ialah Sejarah Melayu, Salasilah Melayu dan Bugis, Hikayat Merong Mahawangsa, dan Hikayat Raja-Raja Pasai dan. Contoh sastera sejarah bentuk puisi ialah Syair Perang Siak, Syair Perang Kompeni Welanda Dengan China, dan Syair Perang Inggeris Menyerang Kota.

Tema

Tema karya ini adalah tentang sejarah raja-raja Melayu yang memerintah negeri Perak antara tahun 1700 hingga 1780-an. Penceritaannya agak teratur menurut kronologi. Anehnya Raja Chulan tidak memuatkan unsur-unsur mitos.

Antara isi ceritanya ialah :