Kemangkatan dan pemakaman Almarhum Sultan Abdul Halim Mu'adzam Shah
کمڠکتن دان ڤمقامن المرحوم سلطان عبد الحليم معظم شاه
250px
Bendera Kedah dikibar separuh tiang di hadapan Masjid Zahir.
Tarikh 11 September 2017 (kemangkatan)
12 September 2017 (pemakaman)
Lokasi Istana Anak Bukit, Alor Setar, Kedah Darul Aman
Hadirin Kerabat Diraja Kesultanan Negeri Kedah Darul Aman

Kebawah Duli Yang Maha Mulia Almarhum Al-Sultan Almu'tasimu Billahi Muhibbuddin Tuanku Al-Haj Abdul Halim Mu’adzam Shah ibni Almarhum Sultan Badlishah telah mangkat pada usia 89 tahun (1927-2017) pada 11 September 2017M bersamaan 20 Zulhijjah 1438H pada jam 2.30 petang waktu tempatan di Istana Anak Bukit.[1] Negeri Kedah Darul Aman dan Jajahan Takluknya berkabung dalam tempoh tujuh hari bermula setelah kemangkatan Almarhum. Jenazah Almarhum disemayamkan di Makam Diraja Langgar. Berita kemangkatan Sultan Kedah hanya diketahui melalui media sosial sekitar 3.30 petang Isnin dengan tiadanya sumber rasmi.[2] Kemangkatan Almarhum Sultan Abdul Halim diumumkan Menteri Besar Kedah Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah pada sidang berita khas di Wisma Darul Aman pada waktu petang 11 September 2017.[3]

Latar belakang

Baginda memerintah sebagai Sultan Kedah selama 59 tahun dan menjadikan baginda sebagai pemerintah diraja kedua paling lama memerintah ketika hidup di dunia di belakang Ratu England Ratu Elizabeth II.[4] Baginda juga telah ditabalkan sebagai Yang di-Pertuan Agong dua kali sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-5 (1970-1975) dan ke-14 (2011-2016).[5] Majlis rasmi terakhir Almarhum Sultan Abdul Halim adalah bersama dengan warga Keriang Hill Resorts untuk santapan teh pada 1 Ogos 2017 yang lalu.[6] Titah terakhir baginda pula ketika merasmikan Mesyuarat Pertama Penggal Kelima, Dewan Undangan Negeri Kedah Ke-13 pada 14 Ogos 2017 tentang adab ketika menggunakan laman sosial.[7] Sepanjang hayat baginda, ahli kaum kerabat yang telah mangkat sebelum kemangkatan baginda ialah permaisuri baginda, Almarhumah Sultanah Tunku Hajah Bahiyah binti Almarhum Tuanku Abdul Rahman, paduka kakanda baginda Almarhumah Tunku Hamidah Almarhum Sultan Badlishah, paduka adinda baginda Almarhum Tunku Abdul Malik ibni Sultan Badlishah dan adinda ipar baginda Almarhumah Tunku Hajah Raudzah Almarhum Sultan Hisamuddin Alam.

Perkabungan

Negeri Kedah Darul Aman akan berkabung pada saat kemangkatan Almarhum sehinggalah 17 September 2017 selama tujuh hari.[8] Tempoh perkabungan atas kemangkatan Almarhum untuk seluruh Negeri Kedah Darul Aman adalah selama tujuh hari dari 11 September 2017 sehingga 17 September 2017. Dalam waktu tersebut, semua bentuk hiburan, keramaian dan perayaan adalah dibatalkan. Hari pelepasan khas atas pemergian Almarhum diisytiharkan untuk seluruh Negeri Kedah Darul Aman pada 12 September 2017 kecuali calon peperiksaan Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR) 2017 dan guru yang terlibat dengan peperiksaan awam kebangsaan ini.[9] Rakyat jelata berpakaian serba hitam manakala ahli kerabat diraja memakai persalinan putih dalam istiadat pemakaman baginda. Rancangan televisyen tempatan Malaysia menyampaikan berita kemangkatan baginda dengan berpakaian tradisional Melayu hitam dan bacaan al-Fatihah sering dimainkan. Bendera negeri dan bendera persekutuan akan dikibar separuh tiang selama tiga hari semenjak kemangkatan Almarhum sehinggalah 13 September 2017 selama tiga hari.[10] Bendera negeri Perak juga akan dikibarkan separuh tiang sehinggalah selesainya istiadat pemakaman Almarhum Sultan Abdul Halim atas titah DYMM Paduka Seri Sultan Nazrin.[11] Bendera Negeri Johor Darul Takzim dan bendera daerahnya juga dikibar separuh tiang untuk menghormati kemangkatan baginda sehinggalah tamat pemakaman baginda.[12] Di seluruh Malaysia, Jalur Gemilang akan dikibarkan separuh tiang selama tiga hari bermula pada hari kemangkatan baginda sehinggalah hari Rabu 13 September 2017.[13] Di Selangor, semua bendera dikibar separuh tiang di seluruh negeri Selangor atas titah Sultan Selangor selama dua hari dari 12 September hingga 13 September.[14] Bendera Pulau Pinang juga dikibar selama dua hari bermula pada hari kemangkatan Almarhum.[15] Buku takziah juga dibuka di beberapa kedutaan Malaysia di negara-negara asing seperti Dubai.[16]

Istiadat pemakaman

Fail:Lying-in-state of late Sultan Kedah.png
Keranda Almarhum Sultan Abdul Halim diliputi panji diraja dan disemayamkan di Balai Penghadapan Baru, Istana Anak Bukit untuk penghormatan terakhir.

Istana Anak Bukit dipenuhi dengan alunan ayat suci al-Quran atas kemangkatan baginda.[17] Tepat jam 7 pagi, sebanyak 21 das tembakan meriam dilepaskan sebagai pemakluman kemangkatan Sultan Abdul Halim Mu'adzam Shah.[18] Pada jam 8 pagi, istiadat bersiram jenazah baginda dan seterusnya diikuti istiadat mengkafan dan menabur cendana di Balai Penghadapan Lama.[19] Jenazah Almarhum disembahyangkan di Balai Penghadapan Lama Istana Anak Bukit pada jam 10.30 pagi dan diimamkan Mufti Kedah, Datuk Syeikh Fadhil Awang serta disertai 22 pelajar Maahad Tahfiz Al Wustha dari Guar Chempedak. Keranda yang membawa jenazah Almarhum selamat berangkat tiba di Balai Penghadapan Baru dan disemayamkan di Istana Anak Bukit pada hari Selasa 12 September 2017 jam 10.35 pagi.[20] Penghormatan terakhir bagi orang awam pada jam 11 pagi hingga 12.30 tengah hari.[21] Jenazah Almarhum disemayamkan di Dewan Penghadapan Baru, Istana Anak Bukit, Alor Setar bagi maksud penghormatan terakhir.[22] Kira-kira 1,000 orang terdiri daripada kerabat diraja dan rakyat hadir pada istiadat pemakaman itu untuk memberi penghormatan terakhir kepada jenazah Almarhum. Pada jam 12.30 tengah hari hingga 1.30 petang pula, orang-orang kenamaan pula memberi penghormatan terakhir kepada Almarhum. Kira-kira 10,000 orang telah memberi penghormatan terakhir kepada Almarhum Tuanku.

Fail:Royal chariot carrying late Sultan Kedah.jpg
Pedati yang membawa keranda jenazah Almarhum Sultan Abdul Halim menuju ke Makam Diraja Langgar.

Kemudian, jenazah baginda diiringi menggunakan pedati dengan kelajuan 30km sejam yang ditarik dengan kenderaan khas sejauh 12.4 kilometer perjalanan pada jam 2.30 petang.[23] Jenazah Almarhum diiringi ke Makam Diraja melalui jalan-jalan Lebuh Raya Darul Aman, Jalan Tun Razak, Jalan Langgar dan terus ke Makam Diraja Langgar.[24] Dalam pengisytiharan keputusan majlis mesyuarat mengangkat raja, Raja Muda Kedah, Tunku Sallehuddin Sultan Badlishah dimasyhurkan sebagai Sultan Kedah ke-29 menggantikan Almarhum Sultan Abdul Halim Mu'adzam Shah.[25] 89 das ditembakkan menanda umur baginda bermula apabila keranda baginda dikeluarkan daripada Istana Anak Bukit dan das yang ke-89 pula ditembak apabila baginda selamat berangkat tiba di Makam Diraja Langgar dengan menggunakan 11 laras meriam yang dikendalikan oleh 41 Bateri Artileri Istiadat Rejimen Artileri Diraja yang berpangkalan di Kem Sungai Buloh.[26] Pedati ini ditemani empat pawai (kerabat) di sebelah kiri dan kanan. Pedati yang membawa jenazah Almarhum juga turut dinaiki empat pembawa payung dan tiga pembawa bintang. Terdapat juga pedati nobat mengiringi sekali yang membawa barisan 13 alim ulama diketuai Timbalan Yang Dipertua Majlis Agama Islam Kedah (MAIK), Datuk Syeikh Hasbullah Abdul Halim dan Mufti Kedah, Datuk Syeikd Fadzil Awang.[27] Antara yang berada di atas pedati nobat ialah Datuk Pengelola Bijaya Diraja yang juga Ketua Istiadat, Datuk Syed Unan Mashri Syed Abdullah. Kedua-dua pedati didahului pembawa cogan alam dan cogan agama, serta 44 pembawa tunggul, serta masing-masing 12 pembawa tombak, lembing dan pedang serta lapan pembawa bintang. Terdahulu di pekarangan Istana Anak Bukit, rombongan pedati turut melalui kawalan kehormat diraja membabitkan tiga pegawai dan 103 anggota dari Batalion Ke-6 Rejimen Askar Melayu Diraja (6 RAMD) yang berpangkalan di Kem Tok Jalai.[28] Turut mengiringi jenazah ialah Sultanah Haminah Hamidun, Tunku Sallehuddin Sultan Badlishah yang baharu dimasyhurkan sebagai Sultan Kedah ke-29 dan kerabat diraja.[29] Sepanjang perjalanan itu, lagu negeri Kedah, Allah Selamatkan Sultan Mahkota, dimainkan dengan tempo yang paling perlahan oleh pancaragam tentera.[30]

Jenazah Almarhum berangkat tiba di Makam Diraja Langgar pada jam 4 petang.[31] Almarhum kemudiannya dimakamkan di kedudukan tengah di antara makam permaisuri baginda iaitu Almarhumah Sultanah Bahiyah dan adinda baginda, Almarhum Tunku Annuar Sultan Badlishah di Makam Diraja Langgar pada hari Selasa pada 5.15 petang.[32] Seterusnya bacaan talkin dibacakan oleh Mufti Negeri Kedah dalam bahasa Arab dan bahasa Melayu manakala bacaan tahlil pula diketuai Imam Besar Masjid Zahir, Datuk Syeikh Roslan Abdul Halim Sebaik istiadat pemakaman selesai kira-kira pukul 4.45 petang.[33] Setelah bacaan talkin dibacakan, istiadat menyiram air mawar ke atas pusara Almarhum Sultan Abdul Halim dikendalikan oleh permaisuri baginda, Sultanah Haminah Hamidun, adinda baginda, Tunku Sallehuddin Sultan Badlishah dan paduka puteri baginda, Tunku Intan Shafinaz.[34] Pada malamnya selepas solat isyak, satu majlis tahlil untuk Almarhum Sultan Kedah diadakan di Balai Penghadapan Istana Anak Bukit dan majlis tahlil ini diadakan selama tujuh malam berturut-turut bermula dengan malam berkenaan.[35] Satu majlis tahlil sempena 40 hari kemangkatan Almarhum telah dihadiri kira-kira 500 orang termasuk keberangkatan kaum kerabat diraja Kedah dan kehadiran para pembesar Kedah di Istana Anak Bukit bermula dengan solat maghrib berjemaah yang diimamkan Imam Besar Masjid Zahir sebelum disusuli majlis bacaan Yasin dan doa serta solat isyak.[36]

Fail:Prayers at grave of Sultan Kedah.jpg
Orang ramai membacakan doa untuk Almarhum Sultan Kedah di makam Almarhum Tuanku.

Pada keesokan harinya, makam Almarhum Sultan Abdul Halim dibuka dari jam 7.30 pagi dan ditutup pada jam 6 petang agar rakyat jelata dapat menziarah untuk membacakan Surah Yasin dan menyedekahkan doa untuk Almarhum di Makam Diraja Langgar.[37] Paduka puteri sulung Almarhum, Tunku Soraya Sultan Abdul Halim, turut berangkat mencemar duli ke makam Almarhum paduka ayahanda baginda dengan membaca Surah Yasin selama kira-kira sejam.[38] Bekas Mufti Kedah, Datuk Syeikh Muhamad Baderudin Ahmad turut menziarahi makam Sultan Abdul Halim bersama lima pelajar tahfiz dari Maahad Tahfiz Ar-Riyaadah. Turut berangkat, Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Ibni Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail, bercemar duli menziarahi Makam Almarhum Sultan kedah pada jam 3 petang.[39] Setelah Perdana Menteri dan isteri kembali ke Malaysia, mereka menziarahi makam Almarhum kira-kira setengah jam sehingga jam 7 petang serta menyiram air bunga mawar dan menabur bunga di atas pusara Almarhum Sultan Kedah.[40]

Hadirin dan hadirat

Kerabat Diraja Kedah yang berkenan mencemar duli ke pemakaman Almarhum.[41]

  • Datuk Tengku Sarafuddin Badlishah Tunku Sallehuddin Almarhum Sultan Badlishah, Tunku Laksamana Kedah, anakanda saudara Almarhum Sultan Abdul Halim.
  • Tan Sri Tunku Abdul Hamid Thani, Tengku Bendahara Kedah, paduka adinda tiri Almarhum Sultan Abdul Halim.
  • Sultan Sharafuddin Idris Shah Al-Haj dan Tengku Permaisuri Norashikin, Sultan Selangor dan Tengku Permaisuri Selangor, anakanda buah kepada adinda ipar Almarhum Sultan Abdul Halim dan permaisurinya.

Duli-duli Yang Maha Mulia yang berkenan berangkat memberi penghormatan terakhir.[42]

Orang-orang kenamaan yang turut hadir memberi penghormatan kepada Almarhum Sultan Abdul Halim.[45]