Kata adjektif, juga dikenali sebagai kata sifat, ialah kata yang menjadi inti dalam frasa adjektif seperti manis sekali, sudah lama sungguh, masih lebat lagi.

Kata-kata dalam golongan kata adjektif menerangkan keadaan atau sifat sesuatu nama atau frasa nama. Kata adjektif boleh dikenali jika kata berkenaan didahului atau diikuti oleh kata penguat seperti amat, sangat, sungguh, sekali, paling, agak, benar.


Jenis jenis kata adjektif

Kata adjektif terbahagi kepada 9 subgolongan:

Sifat

Ia menerangkan sifat atau keadaan sesuatu atau seseorang.

contoh: baru, baik, berani, lemah, kukuh, kemas, cantik, kuat,bijak,

Warna

Contoh: merah, jingga, ungu, putih, hitam, kuning langsat,

Ukuran

Contoh: pendek, panjang, tebal, nipis, dalam, besar, kecil, lebar, ramai, cetek

Bentuk

Contoh: bujur, lurus, lonjong, petak, segitiga, segiempat, bengkok, bulat

Waktu

Contoh: lama, lambat, lewat, segera, suntuk, lampau, lalu, silam,

Jarak

Contoh: dekat, hampir, jauh, nyaris

Cara

Contoh: selalu, jarang, kadang-kadang, kerap, lambat, deras, laju, jelas, muram, lincah, sering "

Pancaindera

Contoh:

  • rasa: sedap, lazat, manis, pedas, payau, masam, masin
  • pandang: buruk, hodoh, jelita, cantik, tampan, kacak
  • dengar: bising, sunyi, senyap
  • bau: busuk, wangi, hangit, hapak, hamis, hanyir
  • sentuh: kesat, kasar, lembap, halus, licin

Perasaan

Contoh: takut, seram, benci, rindu, marah, senang, sayang, gembira, geram, sedih

Pangkat-pangkat adjektif

Pangkat-pangkat atau tahap adjektif ada empat:

Pangkat biasa

Ia dinyatakan dengan menggunakan kata adjektif biasa. Contoh:

  • Baju ini cantik.
  • Buah betik itu manis.

Pangkat perbandingan

Ia merupakan perbandingan sama, lebih atau kurang. Contoh:

  • Tenaganya sekuat Badang.
  • Buah jambu itu semanis gula.
  • Ali lebih tua daripada ketuanya.
  • Jakarta lebih ramai penduduk daripada Kuala Lumpur.
  • Busu kurus, kurus lagi Bujang.
  • Aminah tidak secerdas kakaknya. [Nota: Perbandingan menggunakan tidak se(kata adjektif) bermaksud "kurang {kata sifat} daripada"]

Pangkat menyangat

Ia menerangkan adjektif yang keterlaluan seperti sangat, amat, terlalu, benar-benar dan sebagainya. Contoh:

  • Cuaca hari ini sangat mendung.
  • Buah rambutan ini terlalu masak.

Pangkat penghabisan

Ia menerangkan adjektif paling atau penghabisan. Contoh:

  • Gunung Kinabalu ialah gunung yang paling tinggi di Malaysia.
  • Menara KLCC bangunan yang tertinggi di Malaysia.
  • Orang yang sehabis-habis kaya di dunia pun akan menemui maut.

Lihat juga