Hikayat Ghulam juga dikenali sebagai Hikayat Raifa 'Aifami Azabakh, atau Hikayat Zadabakhtin merupakan sebuah hikayat lama Melayu yang terpengaruh oleh corak kesusasteraan Parsi.

Tajuk hikayat ini telah tersenarai dalam daftar Werndly yang disediakan pada T. M. 1736. Ini bererti ia wujud sebelum tarikh itu lagi. Hikayat Ghulam ini terjumlah ke dalam golongan cerita-cerita berbingkai, dengan kisah putera raja itulah yang menjadi cerita bingkainya.

Hikayat ini ia­lah salinan daripada hikayat Arab yang berasal daripada hikayat Parsi jua. Menurut catitan di dalam sebuah naskah yang tersimpan di dalam kutub-khanah Leiden , bahawa hikayat ini telah di salin ke bahasa Melayu dari bahasa Arab oleh 'Abdul Wahab Siantan.

Ringkasan

Bentuk cerita yang menjadi bingkai atau pokok cerita hikayat ini ada berbeza sedikit daripada bingkai cerita Hikayat Bakhtiar. Ringkasan bingkai cerita Hikayat Ghulam itu ialah demikian:

Permulaan

Raja Azabakh di negeri 'Ajam (Parsi) ada mempunyai sepuluh orang wazir dan seorang shah bandar. Dalam suatu temasya, Raja Azabakh telah terpandang kepada wajah anak perempuan shah bandar yang cantik paras­nya itu, menyebabkan baginda jatuh asyik dan akhirnya baginda telah kahwin dengannya; tetapi dari peristiwa per­kahwinan ini telah membukakan jalan bagi shah bandar itu merampas takhta kerajaan baginda.

Bersama-sama dengan isteri baginda yang pada masa itu dalam keadaan hamil, Raja Azabakh telah meninggal­kan negeri dengan tujuan hendak mencari perlindungan di sebuah negeri lain. Dalam pelarian itu, pada suatu malam isteri baginda telah melahirkan seorang putera; tetapi kerana baginda suami isteri itu sentiasa terancam oleh bahaya kelaparan maka kanak-kanak itu terpaksa di­tinggalkan. Tuhan maha mengasihani, kanak-kanak ini telah dijumpai oleh seorang kepala peyamun lalu di­peliharanya hingga besar.

Kesenangan

Ada pun Raja Azabakh itu, selang tiada berapa lama­nya telah mendapat bantuan daripada seorang raja, lalu merampas kembali takhta kerajaan negeri 'Ajam itu.

Tersebut pula kisah kepala penyamun itu pada suatu hari ia telah ditewaskan oleh kafilah seorang saudagar dan tertangkap bersama-sama dengan sekalian orang-orang­nya termasuk juga Ghulam; mereka telah dibawa mengadap Raja Azabakh. Baginda amat tertarik hati melihat Ghulam dengan tiada mengetahui bahawa anak itu ialah puteri baginda sendiri, lalu disuruh baginda ia bekerja di dalam istana.

Mengalami bencana

Makin lama semakin pula mesra kasih baginda akan Ghulam hingga ia dikurniakan jawatan tinggi dalam istana; kerana itu dengkilah sekalian menteri-menteri akan dia, masing-masing mencari jalan hendak membinasakannya. Akhirnya maka dapatlah juga mereka menyusun tipu muslihat hingga menjadikan seolah-olah ada perhubungan sulit di antara Ghulam dengan permaisuri; tetapi permaisuri, dengan mengikut helah yang diajarkan oleh menteri-men­teri kianat itu, dapatlah melepaskan dirinya dengan mengatakan Ghulam yang mencuba memujuknya.

Mencari jalan melepaskan diri

Menteri-menteri yang dengki itu berulang-ulang mengasut raja supaya Ghulam dihukum bunuh. Ghulam tetap tiada mengaku berdosa, diberinya alasan dengan jalan bercerita.

Tiada lama kemudian kepala penyamun pun telah menceritakan satu persatu kepada raja bagaimana per­istiwa ia menemui dan mengambil Ghulam dijadikannya anak angkat, serta diterangkannya bukti-buktinya sekali. Setelah mendengarkan cerita itu barulah raja mengetahui bahawa yang sebenarnya Bakhtiar ialah putera baginda sendiri yang telah ditinggalkan di dalam hutan dahulu.

Hikayat Ghulam mengandungi sembilan cerita, iaitu:

  1. Cerita saudagar yang malang
  2. cerita saudagar yang membuangkan dua orang anak laki-lakinya ke laut
  3. cerita Abu Sabar
  4. cerita raja yang gopoh
  5. cerita raja yang membunoh enam orang wazirnya
  6. cerita Bakhtin Azmaya
  7. cerita Raja Yaman
  8. cerita Abu Tamman
  9. cerita permaisuri dengan dua orang anaknya.

Pautan luar


Senarai Kesusasteraan Melayu
A - B - C - D - E - F - G - H - I - J - K - L - M - N - O - P - Q - R - S - T - U - V - W - X - Y - Z