Banjir Malaysia 2020–2021
TarikhNovember 2020 – kini
LokasiPahang
Kuantan, Temerloh, Maran, Rompin, Pekan, Bera, Raub, Jerantut, Lipis
Johor
Johor Bahru, Batu Pahat, Kluang, Kota Tinggi, Segamat, Mersing
Terengganu
Kemaman, Dungun, Hulu Terengganu, Besut
Kelantan
Pasir Mas, Tanah Merah, Kuala Krai, Gua Musang, Jeli
Perak
Hilir Perak, Hulu Perak, Kampar
Selangor
Hulu Selangor, Kuala Selangor, Hulu Langat
Sabah
Beaufort
PenyebabAngin Monsun Timur Laut
Kematian9 orang[1] (sehingga 17 Januari 2021)

Banjir Malaysia 2020–2021 ialah insiden banjir yang telah menjejaskan beberapa negeri di Malaysia sejak November 2020 sehingga awal 2021. Banjir menyebabkan lebih 40,000 orang penduduk dipindahkan ke pusat-pusat pemindahan.[2] Banjir ini juga turut meragut beberapa korban nyawa, serta menyebabkan hampir semua jenis pengangkutan darat di kawasan-kawasan yang terlibat dengan banjir terputus.

Latar belakang

Malaysia pernah mengalami episod banjir terburuk iaitu pada 15 Disember 2014 hingga 3 Januari 2015. Lebih 200,000 orang terjejas sementara 21 terbunuh. Banjir ini telah digambarkan sebagai banjir terburuk dalam beberapa dekad.[3]

Banjir telah menjadi perhatian utama dalam beberapa dekad kebelakangan ini disebabkan oleh perkembangan pesat di daerah tadahan sungai yang menyebabkan peningkatan permukaan air dan aliran sungai, peningkatan penumpukan sedimen di sungai, hakisan yang kerap di sepanjang tebing sungai. Banjir pada 2006 dan 2007 di Johor telah mengakibatkan kerugian sebanyak RM1.5 bilion dan 18 nyawa. 110,000 orang terjejas telah dipindahkan di pemindahan sementara.[4]

Geografi

Globe centred on Malaysia
Malaysia terletak di wilayah khatulistiwa, dan mempunyai iklim hutan hujan tropika.

Terletak berhampiran khatulistiwa, iklim Malaysia dikategorikan sebagai iklim khatulistiwa, panas dan lembap sepanjang tahun. Purata hujan adalah 250 sentimeter (98 in) setahun[5] dan suhu rata-rata 27 °C (80.6 °F).[6] Iklim Semenanjung dan Timur Malaysia berbeza, kerana iklim di semenanjung secara langsung dipengaruhi oleh angin dari daratan, berbanding dengan cuaca yang lebih maritim di Timur. Malaysia terdedah kepada kesan El Niño, yang mengurangkan hujan pada musim kemarau. Perubahan iklim kemungkinan besar akan mempengaruhi Malaysia, meningkatkan permukaan laut dan curah hujan, meningkatkan risiko banjir dan mengakibatkan kemarau besar.[7]

Malaysia menghadapi dua musim angin monsun, Monsun Barat Daya dari akhir Mei hingga September, dan Monsun Timur Laut dari Oktober hingga Mac. Monsun Timur Laut, yang berasal dari China dan Pasifik utara, membawa lebih banyak hujan berbanding Monsun Barat Daya, yang berasal dari padang pasir Australia.[8] Mac dan Oktober membentuk peralihan antara dua monsun.[7]

Kawasan terjejas

Banjir ini melibatkan sebahagian Semenanjung Malaysia terjejas teruk. Pahang,[9][10][11] dan Johor[12] merupakan negeri yang terjejas teruk dalam banjir kali ini. Negeri-negeri lain yang turut terlibat ialah Terengganu,[13][14] Kelantan,[15] Selangor,[16] dan Perak[17]. Banjir turut berlaku di Beaufort, Sabah.[18]

Punca banjir

Hujan lebat turun beberapa hari berturut-turut diakibatkan oleh Angin Monsun Timur Laut[19] yang melanda Laut China Selatan, merentasi Semenanjung Malaysia.[20] Hujan lebat juga turut melanda Thailand,[21] dan juga menyebabkan banjir teruk di situ.

Selain itu, pelbagai pihak turut menekankan isu penebangan hutan secara berlebihan dan haram di kawasan Pantai Timur sebagai punca utama kedahsyatan banjir pada musim ini, dengan gambar-gambar satelit pembalakan besar-besaran di kawasan itu menjadi tular dan mendapat perhatian rakyat.[22][23] Walau bagaimanapun, kerajaan-kerajaan negeri menafikan dakwaan isu penebangan hutan itu sebagai punca utama banjir lalu menetapkan hujan lebat sebagai punca.[24][25]

Kerosakan

Banjir besar menyebabkan pengangkutan darat di negeri-negeri terjejas. Terdapat kejadian tanah runtuh berlaku di Bukit Fraser, Pahang[26] yang mengakibatkan Jalan Raub-Bukit Fraser telah ditutup kepada semua kenderaan.[27] Pada 3 Januari 2021, tanah runtuh turut berlaku di Kilometer 92 Jalan Gua Musang-Lojing, Kelantan dan operasi mencari dan menyelamat (SAR) telah dilakukan untuk mencari mangsa-mangsa yang dipercayai hilang akibat tertimbus lumpur oleh kejadian tanah runtuh.[28] Lebuh raya Pantai Timur ditutup daripada sebarang kenderaan bermula dari Karak ke Lanchang[29] dan Lojing pada 4 Januari 2021. Jalan-jalan persekutuan dan negeri juga ditutup[30].

Korban

Di Kelantan, dua orang lelaki terkorban dalam banjir ini iaitu di Kampung Tasek Gong Kala, Pasir Puteh akibat lemas sewaktu cuba mengharungi banjir setelah ditemui terapung dalam parit pada 4 Disember 2020[31] manakala seorang lagi lemas apabila terjatuh daripada perahu yang didayung di Kuala Krai pada 9 Januari 2021 ketika membawa dua mangsa banjir ke pusat pemindahan banjir.[32]

Pahang pula mencatatkan angka tertinggi iaitu lima orang yang maut akibat banjir. Dua beranak terkorban selepas dihanyutkan arus deras Sungai Puas, Jerantut, Pahang.[33][34] 2 hari kemudian, seorang lagi remaja lelaki ditemui di Jerantut yang lemas akibat bermain air banjir.[35] 2 lagi maut akibat nahas banjir di Kuantan. Seorang daripadanya maut selepas terkena renjatan elektrik di Kampung Paya Kechik, Temerloh[36] manakala seorang lagi lemas akibat bot yang dinaiki terbalik.[37]

Tiga lagi korban melibatkan seorang wanita, menjadikan mangsa maut akibat banjir pertama di Kluang, Johor pada 2 Januari 2021 yang tergelincir ke dalam longkang besar setelah cuba untuk keluar dari rumahnya untuk menuju ke pusat pemindahan banjir[38] manakala dua orang lagi adalah lelaki yang ditemui lemas di Jalan Kluang-Mersing[39] dan jalan pintas Kampung Melayu Nyior ke Kampung Bentong.[40]

Tindakan

Sebelum

Pada 7 September 2020, Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Malaysia telah memperkenalkan teknologi inovatif serta sistem komprehensif iaitu Program Ramalan dan Amaran Banjir (PRAB) melalui Kempen Amaran dan Ramalan Informasi Banjir (KARIB) yang mampu memberikan ramalan seawal tujuh hari dan amaran dua hari sebelum berlaku banjir.[41]

Amaran hujan lebat dan banjir telah dikeluarkan oleh Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) sejak awal November 2020 yang akan menyebabkan empat hingga enam episod hujan lebat dalam tempoh Monsun Timur Laut bermula 11 November 2020 sehingga Mac 2021. MetMalaysia menjangkakan hujan lebat pada Januari 2021 akan lebih tertumpu di Johor, Pahang, Sabah dan Sarawak serta turut meramalkan kejadian banjir yang teruk jika hujan berlaku sewaktu air pasang besar dan luruh ribut.[42]

Semasa

Pusat pemindahan sementara (PPS) dibuka dan dikendalikan oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM)[43] berdasarkan arahan Majlis Keselamatan Negara. Selain menyelaras pembukaan PPS, JKM juga bertindak menyediakan semua keperluan asas di setiap PPS bagi kebajikan setiap mangsa banjir terbela. JKM juga menyediakan bekalan makanan kepada mangsa serta menyelaras tindakan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) norma baharu bersama pelbagai agensi berkaitan[43]. JKM juga turut mengemaskini maklumat bencana menerusi aplikasi InfoBencanaJKM[44]. Kerajaan Negeri Kelantan juga mengemas kini maklumat banjir yang berlaku di negeri tersebut dalam satu portal khas[45]. Facebook turut melancarkan portal khas maklum balas krisis di laman media sosial tersebut pada 1 Januari 2021[46].

Lihat juga