Rencana ini ialah mengenai anjing bela jinak. Untuk spesies berkaitan yang dikenali sebagai "anjing", sila lihat Canidae. Untuk kegunaan lain, sila lihat Anjing (nyahkekaburan).

Anjing (bela jinak)
انجيڠ (بلا جينق)
Julat zaman: Sekurang-kurangnya 14,200 tahun lalu–kini[2]
Collage of Nine Dogs.jpg
Kepelbagaian baka anjing terpilih
Status pemuliharaan
Dibelajinakkan
Pengelasan saintifik e
Alam: Haiwan
Filum: Kordata
Klad: Synapsida
Kelas: Mamalia
Order: Carnivora
Suborder: Caniformia
Keluarga: Canidae
Genus: Canis
Spesies:
Subspesies:
C. l. familiaris[1]
Nama trinomial
Canis lupus familiaris[1]
Linnaeus, 1758
Sinonim

Canis familiaris Linnaeus, 1758[3][4]

Anjing menunjukan variasi morfologi yang besar.

Anjing bela jinak (Tulisan Jawi: انجيڠ بلا جينق; Canis lupus familiaris apabila dianggap sebagai subspesies bagi serigala atau Canis familiaris apabila dianggap sebagai spesies tersendiri)[5] merupakan salah satu anggota bagi genus Canis, yang membentuk sebahagian daripada canid-canid keserigalaan,[6] dan merupakan karnivor darat yang paling banyak.[7][8][9][10][11] Anjing dan serigala kelabu yang ekstan merupakan takson-takson bersaudara[12][13][14] kerana serigala moden tidak berkait rapat dengan serigala yang pertama kali dibelajinakkan,[13][14] yang menandakan bahawa leluhur langsung bagi anjing telah pupus.[15] Anjing merupakan spesies pertama yang dibelajinakkan[14][16] dan telah dibiakbakakan secara terpilih selama beralaf-alaf untuk pelbagai tingkah laku, kemampuan deria, dan sifat fizikal.[17]

Hubungan panjangnnya dengan manusia telah menyebabkan anjing menjadi sesuai secara unik terhadap tingkah laku manusia[18] dan anjing mampu berkembang atas pemakanan yang kaya dengan kanji yang sepatutnya tidak cukup untuk spesies canid lain.[19] Anjing sangat berbeza-beza dari segi rupa bentuk, saiz, dan warna.[20] Anjing memainkan banyak peranan untuk manusia, seperti perburuan, penggembalaan, penarikan muatan, perlindungan, pembantu polis dan ketenteraan, teman, dan, lebih kini, pembantu individu kurang upaya dan peranan terapi. Pengaruh ini terhadap kemasyarakatan manusia telah memberinya nama gelaran "sahabat baik manusia".

Etimologi dan peristilahan berkaitan

Istilah "anjing bela jinak" pada amnya digunakan untuk kedua-dua keragaman bela jinak dan jalang.

Istilah "anjing" merupakan kata bahasa Melayu yang asli dan wujud dalam loghat bahasa Melayu yang lain seperti anjiang bahasa Minangkabau. Istilah ini telah menggantikan "asu" sebagai perkataan umum untuk binatang ini dalam bahasa Melayu di Malaysia, di Singapura, di Brunei mahupun di Indonesia. Perkataan "asu" pula merupakan perkataan umum untuk "anjing" dalam bahasa-bahasa Austronesia dan berpunca daripada "*(w)asu" dalam bahasa Proto-Austronesia[21][22] dan sepunca dengan bahasa lain seperti aso bahasa Tagalog, asu bahasa Jawa dan asèë bahasa Aceh.

"Anjing", seperti binatang lain, mempunyai penjodoh bilangan yang sama, iaitu "ekor".

Kumpulan anjing, terutamanya yang liar seperti serigala, dipanggil "kawanan".

Istilah "anak anjing" pula digunakan kepada anjing muda berumur dari kelahiran sehingga satu tahun, manakala sekumpulan anak anjing seibu dan biasanya sebapa pada satu kelahiran dipanggil perinduk.

Untuk kegunaan lain istilah anjing, lihat Anjing (nyahkekaburan).

Taksonomi

Pada tahun 1999, satu kajian terhadap DNA mitokondrion menandakan bahawa anjing bela jinak mungkin berasal daripada berbilang populasi serigala kelabu dan "baka" dingo dan anjing menyanyi New Guinea berasal pasa masa apabila populasi-populasi manusia lebih terasing daripada satu sama lain.[23] Dalam edisi ketiga bagi Mammal Species of the World yang diterbitkan pada tahun 2005, ahli mamalogi W. Christopher Wozencraft menyenaraikan subspesies-subspesies liar bagi serigala di bawah Canis lupus dan mencadangkan dua subspesies tambahan: "familiaris Linneaus, 1758 [anjing bela jinak]" dan "dingo Meyer, 1793 [anjing bela jinak]". Wozencraft menyertakan hallstromi – anjing menyanyi New Guinea – sebagai sinonim taksonomi untuk dingo. Wozencraft merujuk kajian mDNA sebagai salah satu panduan dalam pembentukan keputusannya.[1] Penyertaan familiaris dan dingo di bawah klad "anjing bela jinak" telah diperhatikan oleh ahli mamalogi lain.[24] Pengelasan oleh Wozencraft ini diperbedatkan sesama ahli zoologi.[25]

Asal usul

Asal usul anjing bela jinak terdiri daripada pencapahan evolusi anjing daripada serigala, pembelajinakannya, dan perkembangannya kepada jenis anjing dan baka anjing. Anjing merupakan salah satu anggota bagi genus Canis, yang membentuk sebahagian daripada canid-canid keserigalaan, dan merupakan spesies pertama dan satu-satunya karnivor besar yang telah dibelajinakkan.[14][26] Anjing dan serigala kelabu yang ekstan merupakan takson bersaudara[12][13][14] kerana serigala moden tidak berkait rapat dengan populasi serigala yang pertama kali dibelajinakkan.[14]

Pencapahan genetik antara anjing dengan serigala berlaku pada sekitar 40,000–20,000 tahun lalu, sejurus sebelum Maksimum Glasier Terakhir atau semasa itu.[27][2] Jangka masa ini mewakili had masa atasan untuk permulaan pembelajinakan kerana ini merupakan masa pencapahan dan bukan masa pembelajinakan, yang berlaku kemudian pula.[27][28] Pembelajinakan binatang bermula pada lebih daripada 15,000 tahun lalu, bermula dengan serigala kelabu (Canis lupus) oleh para pemburu-pemungut nomad.[27] Catatan arkeologi dan analisis genetik menunjukan bahawa tinggalan bagi anjing Bonn–Oberkassel yang dikebumikan bersebelahan dengan manusia pada 14,200 tahun lalu merupakan anjing pertama tanpa pertikaian, dengan tinggalan-tingalan berpertikaian lain dari 36,000 tahun lalu.[2] Hanya mulai 11,000 tahun lalu, manusia yang tinggal di Timur Dekat memasuki hubungan dengan populasi liar bagi aurochs, babi hutan, biri-biri, dan kambing.[27]

Tempat kejadian pembelajinakan anjing kekal diperdebatkan. Cadangan-cadangan paling munasabah menjangkau Eropah Barat,[9][28] Asia Tengah[28][29] dan Asia Timur.[28][30] Hal ini telah dijadikan lebih rumit oleh cadangan terkini bahawa sebuah populasi serigala awal berpisah lalu menjadi kelompok Eurasia Timur dan kelompok Eurasia Barat. Kedua-dua kelompok ini, sebelum pupus, dibelajinakkan secara terasing lalu menjadi dua populasi anjing tersendiri pada antara 14,000 dengan 6,400 tahun lalu. Populasi anjing Eurasia Barat secara beransur dan bahagian demi bahagian digantikan oleh anjing Asia Timur yang diperkenalkan oleh manusia pada sekurang-kurangnya 6,400 tahun lalu.[28][2] Cadangan ini turut diperdebatkan.[2]

Biologi

Pandangan sisi bagi rangka

Anatomi

Rencana utama: Anatomi anjing
Tengkorak anjing

Anjing bela jinak telah dibiakbakakan selama beralaf-alaf untuk pelbagai tingkah laku, kemampuan deria, dan sifat fizikal.[17] Baka anjing moden menunjukkan lebih variasi dari segi saiz, penampilan, dan tingkah laku daripada mana-mana binatang bela jinak lain.[17] Anjing merupakan pemangsa dan pebangkai, dan seperti banyak mamalia pemangsa yang lain, anjing mempunyai otot sangat kuat, tulang pergelangan yang lakur, sistem kardiovaskular yang menyokong kedua-dua pemecutan dan daya ketahanan, dan gigi untuk penangkapan dan pengoyakan.

Saiz dan berat

Tinggi dan berat anjing sangat berlainan daripada yang lain. Anjing dewasa yang terkecil merupakan terier Yorkshire, yang berdiri hanya setinggi 6.3 cm (2.5 in) pada paras bahu, dengan panjang badan dan kepala sebanyak 9.5 cm (3.7 in), dan berukuran hanya seberat 113 g (4.0 oz). Anjing yang terbesar yang diketahui merupakan mastif Inggeris yang berukuran seberat 155.6 kg (343 lb) dan sepanjang 250 cm (98 in) dari hidung ke hujung ekor.[31] Anjing yang tertinggi ialah anjing besar Denmark yang berdiri setinggi 106.7 cm (42.0 in) pada paras bahu.[32]

Deria

Deria anjing merangkumi penglihatan, pendengaran, penghiduan, pengecapan, sentuhan, dan kepekaan terhadap medan magnet Bumi. Sebuah lagi kajian mencadangkan bahawa anjing dapat melihat medan magnet Bumi.[33][34][35]

Bulu

Rencana utama: Bulu anjing
Anjing menunjukan variasi luas bagi jenis, kepadatan, panjang, warna, dan komposisi bulu.

Bulu anjing bela jinak terdiri daripada dua keragaman: "dua lapis" yang umum dengan anjing (serta serigala) yang berasal daripada iklim lebih sejuk, yang diperbuat daripada rerambut pengawal kasar dan bulu halus lembut, atau "satu lapis", dengan bulu atas sahaja. Banyak baka mempunyai "takik", belang, atau "bintang" bulu putih sekali-sekala di dadanya atau di bahagian bawah.[36]

Berkenaan dengan penjagaan atau kesihatan bulu, bulu dapat dikekalkan atau terkesan oleh berbilang nutrien yang hadir dalam pemakanan anjing. Lihat Bulu anjing untuk maklumat lanjut.

Ekor

Terdapat banyak rupa bentuk berlainan untuk ekor anjing: lurus, lurus ke atas, sabit, melingkar, atau bergulung-gulung. Seperti banyak canid, salah satu fungsi utama ekor anjing adalah untuk mengkomunikasikan keadaan emosinya, yang mungkin penting untuk berbaik-baik sesama yang lain. Walau bagaimanapun, pada sesetengah anjing pemburu, mengikut tradisi, ekor dipotong untuk mengelakkan kecederaan.[37] Pada sesetengah baka, seperti anjing penuding Bourbonnais, anaknya dapat lahir dengan ekor pendek atau tanpa ekor langsung.[38]

Perbezaan daripada serigala

Anjing serigala Saarloos membawa lebih DNA serigala kelabu berbanding dengan mana-mana baka anjing lain.[39]

Sungguhpun ada hubungan genetik rapat antara kedua-duanya dan kemampuan untuk saling membiak, ada sebilangan ciri diagnosis untuk membezakan serigala kelabu daripada anjing bela jinak. Anjing bela jinak dapat dibezakan sejelasnya daripada serigala melalui elektroforesis gel kanji bagi fosfatase asid sel darah merah.[40] Bula-bula timpanum adalah besar, cembung, dan hampir seperti sfera pada serigala kelabu sementara bula-bula berkenaan pada anjing adalah lebih kecil, mampat, dan sedikit renyuk.[41] Berbanding dengan serigala yang sama saiz, anjing cenderung untuk mempunyai tengkorak 20% lebih kecil dan otak 30% lebih kecil.[42]:35 Gigi serigala kelabu juga lebih besar mengikut kadar daripada gigi anjing.[43] Anjing mempunyai dahi yang lebih berbentuk kubah dan lekukan kepala tersendiri di antara dahi dengan hidung.[44] Otot temporalis yang menutup rahang adalah lebih teguh pada serigala.[5]:{{{1}}} Serigala tidak mempunyai kuku embun pada tungkai belakangnya, melainkan ada percampuran dengan anjing yang mempunyainya.[45] Kebanyakan anjing tidak mempunyai kelenjar prakaudal yang berfungsi dan juga mendatangi estrus sebanyak dua kali setahun, tidak seperti serigala kelabu yang hanya melakukannya sekali setahun.[46] Yang dianggap sebagai anjing primitif seperti dingo dan basenji mengekalkan kitaran estrus tahunan.[47]

Anjing umumnya mempunyai mata perang dan serigala pula hampir sentiasa mempunyai mata ambar atau berwarna muda.[48] Kulit anjing bela jinak juga cenderung lebih tebal daripada kulit serigala, sehingga sesetengah suku kaum Inuit lebih memilih kulit anjing untuk kegunaan sebagai pakaian kerana ketahanan lebih tinggi terhadap kehausan dan kelusuhan pada musim sejuk teruk.[49] Saiz kaki anjing adalah setengah daripada saiz kaki serigala, dan ekornya pula cenderung menggulung ke atas, lagi satu trait yang tidak ditemukan pada serigala.[50] Anjing telah berkembang menjadi beratus-ratus baka berlainan dan menunjukkan variasi tingkah laku dan morfologi lebih banyak daripada mana-mana mamalia darat yang lain.[51] Sebagai contoh, ketinggian yang diukur ke paras kelasa berjulat daripada 15.2 cm (6.0 in) pada anjing Chihuahua hingga kira-kira 76 cm (2.49 ka) pada anjing pemburu serigala Ireland; warna berbeza-beza daripada putih melalui kelabu (biasanya dipanggil "biru") hingga hitam, dan warna perang pula daripada terang (sawo matang) hingga gelap ("merah" atau "coklat") dalam variasi berbagai-bagai pola; bulu anjing mungkin pendek atau panjang, kasar atau licin, lurus atau keriting.[52] Salin bulu adalah biasa pada kebanyakan baka.

Kesihatan

Rencana utama: Kesihatan anjing

Ada banyak tumbuhan rumah yang beracun terhadap anjing (dan mamalia lain), termasuk begonia, poinsetia, dan lidah buaya.[53]

Sesetengah baka anjing mudah dijangkiti penyakit baka tertentu seperti displasia siku atau pinggul, kebutaan, kepekakan, stenosis paru-paru, lelangit bercelah, dan tempurung lutut terkehel. Dua keadaan perubatan yang serius yang melibatkan anjing merupakan piometra, yang menjejaskan semua anjing betina tidak terkembiri tanpa mengira jenis dan umur, dan kembung, yang melibatkan baka-baka lebih besar atau anjing berdada dalam. Kedua-dua ini merupakan keadaan parah yang boleh membunuh dengan serta-merta. Anjing juga terdedah kepada parasit seperti pinjal, sengkenit, dan tungau, serta cacing kerawit, cacing pita, cacing gelang, dan cacing jantung (spesies cacing gelang yang hidup di dalam jantung anjing).

Sebilangan makanan manusia biasa dan makanan rumah yang dapat diinges adalah toksik terhadap anjing, termasuk coklat pejal (keracunan teobromina), bawang dan bawang putih (keracunan tiosulfat, sulfoksida, atau disulfida),[54] anggur dan kismis, kacang makadamia, xilitol,[55] serta pelbagai tumbuhan dan bahan lain yang boleh diinges.[56][57] Nikotina di dalam tembakau juga boleh menjadi berbahaya. Anjing boleh mendapatnya dengan mencari makanan di dalam tong sampah atau tempat abu rokok, lalu memakan cerut dan rokok. Antara tandanya ialah pemuntahan dalam amaun banyak (contohnya, daripada memakan puntung cerutu) atau cirit-birit. Tanda lain merupakan nyeri abdomen, kehilangan koordinasi, pitam, atau kematian.[58] Anjing terdedah kepada keracunan teobromina, biasanya daripada penelanan coklat. Sungguhpun metabolisme anjing berupaya mengurai struktur kimianya, teobromina adalah toksik terhadap anjing kerana prosesnya sangat perlahan sehingga sejumlah coklat yang kecil boleh membawa kepada kematian, terutamanya coklat gelap.

Anjing juga terdedah kepada sesetengah keadaan kesihatan sama seperti manusia, termasuk kencing manis, penyakit gigi dan jantung, gila babi, barah, hipotiroidisme, dan radang sendi.[59]

Jangka hayat

Anjing baka kacuk seperti terier ini diketahui berlari dengan lebih pantas dan hidup dengan lebih lama berbanding dengan induk baka tulennya (lihat Heterosis).

Pada tahun 2013, satu kajian menemukan bahawa anjing baka kacuk hidup pada purata selama 1.2 tahun lebih lama daripada anjing baka tulen, dan bahawa peningkatan berat badan dikorelasi secara negatif dengan kelanjutan usia (iaitu makin berat seseekor anjing, makin pendek jangka hayatnya).[60]

Jangka hayat biasa anjing berbeza-beza antara baka, tetapi untuk kebanyakannya kelanjutan usia median, iaitu umur setengah populasi anjing mati dan setengah lagi masih hidup, berjulat dari 10 hingga 13 tahun.[61][62][63][64] Individu anjing mungkin hidup jauh melebihi paras median bakanya.

Baka dengan jangka hayat terpendek (antara baka yang untuknya ada tinjauan soal selidik dengan saiz sampel munasabah) ialah dogue Bordeaux, dengan kelanjutan usia pada sekitar 5.2 tahun, tetapi sesetengah baka, termasuk bulterier kecil, anjing pemburu darah, dan anjing pemburu serigala Ireland hampir hidup singkat, dengan kelanjutan usia pada 6 hingga 7 tahun.[64]

Baka yang jangka hayatnya terpanjang, termasuk pudel mainan, spits Jepun, terier sempadan, dan spaniel Tibet, mempunyai kelanjutan usia median pada 14 hingga 15 tahun.[64] Kelanjutan usia median bagi anjing baka kacuk, diambil sebagai purata semua saiz, ialah satu tahun atau lebih setahun lebih lama daripada kelanjutan usia pada anjing baka tulen apabila semua baka dipuratakan.[62][63][64][65] Anjing yang dilaporkan hidup paling lama ialah "Bluey", seekor anjing lembu Australia yang mati pada tahun 1939 pada umur 29.5 tahun.[66][67]

Pembiakan

Rencana utama: Pembiakan anjing
Anjing betina yang menyusui anak baru lahirnya

Pada anjing bela jinak, kematangan seksual bermula pada umur sekitar enam hingga dua belas bulan untuk kedua-dua jantan dan betina,[17][68] tetapi ini boleh menjadi lewat sehingga dua tahun untuk sesetengah baka besar. Ini masanya anjing betina akan mengalami kitaran estrus pertamanya. Ia akan mengalami kitaran estrus berikutnya dua kali setahun, yang semasanya tubuh badan bersedia untuk kebuntingan. Di puncak kitaran ini, anjing betina akan mendatangi estrus, menjadi terbuka secara mental dan fizikal terhadap persanggamaan.[17] Oleh sebab ovum hidup dan boleh disenyawakan selama seminggu selepas pengovuman, ada kemungkinan bahawa lebih daripada seekor anjing jantan dapat membapai perinduk sama.[17]

Penyuburan biasanya berlaku pada 2–5 hari selepas pengovuman. 14–16 hari selepas pengovuman, embrio melekat pada dinding rahim dan selepas 7–8 hari lagi denyutan jantung boleh dikesan.[69][70]

Anjing membuntingkan perinduknya selama lebih kurang 58 hingga 68 hari selepas penyuburan,[17][71] dengan purata 63 hari, tetapi panjang kebuntingan boleh berlainan. Perinduk purata terdiri daripada enam ekor anak anjing,[72] tetapi bilangan ini boleh berlainan bergantung pada baka. Secara umumnya, anjing mainan membiakkan seekor sehingga empat ekor anak anjing dalam setiap perinduk, sementara baka lebih besar mungkin berpurata sebanyak dua belas ekor.

Sesetengah baka anjing mempunyai trait perolehan melalui pembiakbakaan terpilih yang bercampur tangan dengan pembiakan. Buldog Perancis jantan, contohnya, tidak berupaya menyetubuhi betinanya. Untuk banyak anjing daripada baka ini, betinanya mesti dipermanikan secara beradas untuk membiak.[73]

Peneuteran

Anjing jalang dari Sri Lanka yang menyusui anak anjing yang berkembang dengan sangat baik

Peneuteran merujuk pemandulan binatang, biasanya dengan pembuangan buah zakar pada jantan atau ovari dan rahim pada betina, untuk menghapuskan kebolehan untuk membiak dan mengurangkan dorongan seks. Oleh sebab populasi anjing berlebihan di sesetengah negara, banyak agensi kawalan haiwan, seperti Persatuan Pencegahan Kekejaman terhadap Haiwan Amerika Syarikat (ASPCA), menasihatkan bahawa anjing yang tidak diniatkan untuk pembiakan lanjutan patut dineuterkan, supaya mereka tidak akan memiliki anak anjing yang tidak diingini yang mungkin perlu dieutanasia.[74]

Menurut Humane Society of the United States, 3–4 juta ekor anjing dan kucing dieutanasia pada setiap tahun di Amerika Syarikat dan ada banyak lagi yang dikurung di dalam sangkar di tempat perlindungan haiwan berbanding dengan bilangan rumah. Pemandulan atau pengembirian anjing membantu dalam mengurangkan populasi berlebihan.[75] Persatuan perikemanusiaan tempatan, persatuan pencegahan kekejaman terhadap haiwan, dan pertubuhan perlindungan haiwan yang lain menggesa orang untuk meneuterkan binatang peliharaan mereka dan mengutamakan pengambilan binatang dari tempat perlindungan berbanding dengan pembelian binatang.

Peneuteran mengurangkan masalah yang disebabkan oleh kehiperseksualan, terutamanya pada anjing jantan.[76] Anjing betina yang mandul kurang kemungkinannya untuk menghidapi suatu bentuk barah yang menjejaskan kelenjar buah dada, ovari, dan organ pembiakan lain.[77] Walau bagaimanapun, peneuteran meningkatkan risiko kencing tidak terkawal pada anjing betina,[78] dan barah prostat pada anjing jantan,[79] serta osteosarkoma, hemangiosarkoma, pecahan ligamen krusiat, keobesan, dan kencing manis pada kedua-dua jantina.[80]

Kemurungan pembiakbakaan dalam

Salah satu amalan pembiakbakaan yang umum ialah pengawanan antara kerabat (contohnya antara adik beradik tiri dengan adik beradik sedarah).[81] Kemurungan pembiakbakaan dalam dianggap kebanyakannya disebabkan oleh ekspresi bagi mutasi resesif homozigot yang mudarat.[82] Penyilangan luaran antara individual tidak berkaitan, termasuk anjing daripada baka berlainan, menghasilkan penyelubungan bermanfaat bagi mutasi resesif mudarat pada zuriat.[83]

Dalam satu kajian terhadap tujuh baka anjing (anjing gunung Bern, anjing pemburu basset, terier batu tanda, spaniel Bretagne, anjing gembala Jerman, anjing Leonberg, dan terier putih Tanah Tinggi Barat), ada penemuan bahawa pembiakbakaan dalam mengurangkan saiz dan kemandirian perinduk.[84] Satu lagi analisis data terhadap 42,855 perinduk dachshund menemukan bahawa semakin pekali pembiakbakaan dalam meningkat, semakin saiz perinduk berkurang dan semakin peratusan anak anjing lahir mati meningkat, maka menandakan kemurungan pembiakbakaan dalam.[85] Dalam satu kajian terhadap perinduk boxer, 22% daripada jumlah anak anjing mati sebelum mencapai umur 7 minggu.[86] Lahir mati merupakan penyebab paling kerap bagi kematian, diikuti oleh jangkitan. Mortaliti yang disebabkan oleh jangkitan meningkat dengan ketara dengan peningkatan pembiakbakaan dalam.[86]

Kecerdasan, tingkah laku, dan komunikasi

Kecerdasan

Rencana utama: Kecerdasan anjing

Kecerdasan anjing ialah kebolehan anjing untuk mengamati maklumat dan mengekalkannya sebagai pengetahuan untuk kegunaan penyelesaian masalah. Anjing diketahui dapat belajar melalui pentakbiran. Satu kajian dengan Rico menunjukkan bahawa ia mengetahui label bagi lebih daripada 200 item berlainan. Ia mentakbirkan nama bagi item baharu dengan pembelajaran pengecualian dan sebetulnya mengutip item-item baharu berkenaan serta-merta dan juga 4 minggu selepas pendedahan pertama. Anjing mempunyai kemahiran ingatan lanjut. Satu kajian mendokumenkan kemampuan pembelajaran dan ingatan bagi seekor collie sempadan, "Chaser", yang mempelajari nama-namanya dan dapat melakukan perkaitan dengan arahan kata melebihi 1,000 patah perkataan.[halaman diperlukan] Anjing dapat membaca bahasa tubuh manusia, seperti gerak isyarat dan penudingan, dan bertindak balas dengan sesuai terhadapnya dan memahami arahan suara manusia, walaupun satu kajian dari tahun 2018 terhadap kebolehan kognisi anjing menemukan bahawa kemampuan anjing adalah tidak lebih luar biasa daripada yang pada binatang lain, seperti kuda, cimpanzi, atau kucing.[87]

Anjing menunjukkan teori minda dengan melibatkan diri dalam penipuan.[halaman diperlukan] Satu kajian uji kaji menunjukkan bukti meyakinkan bahawa dingo Australia dapat menjadi lebih cemerlang dalam penyelesaian masalah bukan sosial berbanding dengan anjing bela jinak, menandakan bahawa anjing bela jinak mungkin telah kehilangan kebanyakan kebolehan penyelesaian aslinya sejurus selepas menyertai manusia.[88] Sebuah lagi kajian menandakan bahawa selepas melalui pelatihan untuk menyelesaikan tugasan manipulasi mudah, anjing-anjing yang dihadapkan dengan versi yang tidak dapat diselesaikan bagi masalah sama memandang manusia, sementara serigala tersosial tidak berbuat demikian.[89] Anjing bela jinak moden menggunakan manusia untuk menyelesaikan masalah untuknya.[90][91]

Tingkah laku

Rencana utama: Tingkah laku anjing

Tingkah laku anjing merupakan gerak balas (tindakan atau ketiadaan tindakan) berkoordinasi dalaman bagi anjing bela jinak (individu atau kelompok) terhadap rangsangan dalaman dan/atau luaran.[92] Sebagai spesies bela jinak paling tua, dengan anggaran yang berjulat dari 9,000–30,000 tahun SM, minda anjing tidak dapat mengelak daripada pembentukan oleh pertembungan dengan manusia selama beralaf-alaf. Sebagai hasil daripada evolusi fizikal dan sosial ini, anjing, lebih daripada mana-mana spesies lain, telah memperoleh kebolehan untuk memahami manusia dan berkomunikasi dengan manusia, dan menjadi sesuai secara unik terhadap tingkah laku manusia.[18] Ahli sains tingkah laku telah membongkar set kebolehan sosial-kognitif yang mengejutkan pada anjing bela jinak. Kebolehan-kebolehan ini tidak dimiliki oleh kerabat kanin paling rapat anjing mahupun oleh mamalia lain yang sangat cerdas seperti beruk besar tetapi selari dengan sesetengah kemahiran sosial-kognitif pada anak manusia.[93]

Tidak seperti spesies bela jinak lain yang dipilih terutamanya untuk trait-trait berkaitan dengan penghasilan, anjing pada awalnya dipilih untuk tingkah lakunya.[94][95] Pada tahun 2016, satu kajian menemukan bahawa hanya ada 11 gen tetap yang menunjukkan variasi antara serigala dengan anjing. Variasi-variasi gen ini mungkin sekali bukan disebabkan oleh evolusi semula jadi, dan menandakan pemilihan terhadap kedua-dua morfologi dan tingkah laku semasa pembelajinakan anjing. Gen-gen ini ditunjukkan menjejaskan laluan sintesis katekolamina, dengan kebanyakan gen yang menjejaskan gerak balas lawan atau lari[95][96] (iaitu pemilihan untuk kejinakan), dan pemprosesan emosi.[95] Anjing umumnya menunjukkan ketakutan dan kelangsangan berkurang berbanding dengan serigala.[95][97] Sesetengah gen ini telah dihubungkaitkan dengan kelangsangan pada sesetengah baka anjing, menandakan kepentingan gen-gen ini dalam kedua-dua pembelajinakan awal dan kemudiannya dalam pembentukan baka.[95] Trait-trait kebolehsosialan tinggi dan kekurangan ketakutan pada anjing mungkin menyertakan pengubahsuaian genetik yang berkaitan dengan sindrom Williams-Beuren pada manusia, yang menyebabkan kehiperbolehsosialan sambil mengorbankan kebolehan penyelesaian masalah.[98][99][100]

Komunikasi

Rencana utama: Komunikasi anjing

Komunikasi anjing merupakan cara yang digunakan oleh anjing untuk menyampaikan maklumat kepada anjing lain, cara untuk memahami pesanan daripada manusia, dan cara yang digunakan oleh manusia untuk menterjemahkan maklumat yang dihantarkan oleh anjing.[101]:xii Tingkah laku komunikasi anjing termasuk renungan mata, ekspresi muka, penyuaraan, postur badan (termasuk pergerakan tubuh dan anggota), dan komunikasi pengecapan (bau, feromon, dan kecapan). Manusia berkomunikasi dengan anjing dengan menggunakan penyuaraan, isyarat tangan, dan postur badan.

Ekologi

Populasi

Pada tahun 2013, satu anggaran bagi populasi anjing global ialah 987 juta ekor.[102] Walau bagaimanapun, ada yang mengatakan bahawa "anjing sahabat baik manusia",[103] ini terutamanya merujuk ~20% anjing yang tinggal di negara-negara maju. Di dunia membangun, anjing umumnya lebih jalang atau dimiliki bersama oleh masyarakat semenatara anjing peliharaan adalah kurang umum.[49] Kebanyakan anjing ini melalui hidupnya sebagai pebangkai dan tidak pernah dimiliki oleh manusia, dengan salah satu kajian yang menunjukkan bahawa gerak balas paling umumnya apabila didekati oleh manusia ialah melarikan diri (52%) atau bergerak balas secara langsang (11%).[104] Hanya sedikit yang diketahui tentang anjing-anjing ini, atau anjing di negara-negara membangun yang jalang, terbiar, atau di dalam tempat perlindungan, oleh sebab sebahagian besar penyelidikan moden terhadap kognisi anjing tertumpu terhadap anjing peliharaan yang hidup di dalam rumah-rumah manusia.[105]

Pesaing dan pemangsa

Sungguhpun anjing merupakan karnivor darat paling banyak dan paling tersebar meluas, potensi bagi anjing jalang dan anjing bebas merantau untuk bersaing dengan karnivor-karnivor besar lain terbatas kerana perkaitan kuatnya dengan manusia.[7] Contohnya, sebuah ulasan bagi kajian dalam kesan persaingan bagi anjing terhadap karnivor simpatrik tidak menyebut mana-mana penyelidikan terhadap persaingan antara anjing dengan serigala.[106][107] Sungguhpun serigala diketahui membunuh anjing, serigala cenderung untuk hidup berpasangan atau dalam kawanan kecil di kawasan yang melibatkan penindasan serigala yang kerap, lalu memberi serigala kekurangan apabila menghadapi kawanan anjing besar.[106][108]

Serigala membunuh anjing bila-bila kedua-duanya ditemukan bersama.[109] Salah satu kajian melaporkan bahawa di Wisconsin pada tahun 1999, lebih banyak ganti rugi telah dibayar untuk kerugian oleh sebab serigala yang menewaskan anjing berbanding dengan serigala yang menewaskan binatang ternakan. Di Wisconsin, serigala akan kerap membunuh anjing pemburu, mungkin kerana anjing-anjing berkenaan berada di wilayah serigala.[109] Satu strategi telah dilaporkan di Rusia apabila salah seekor serigala mengumpan seekor anjing ke dalam semak samun sementara serigala kedua menunggu untuk menyerang hendap.[110] Dalam sesetengah kejadian, serigala telah memaparkan sifat ketidaktakutan yang tidak biasa akan manusia dan bangunan apabila menyerang anjing, sehingga serigala itu perlu dipukul atau dibunuh.[111] Sungguhpun bilangan anjing yang dibunuh pada setiap tahun adalah agak rendah, ini mencetuskan ketakutan akan serigala yang memasuki perkampungan dan perladangan untuk membunuh anjing, dan kehilangan anjing kepada serigala telah membawa kepada permintaan untuk peraturan pemburuan serigala yang lebih liberal.[106]

Koyote dan kucing besar juga telah diketahui menyerang anjing. Harimau bintang terutamanya diketahui berkecenderungan terhadap anjing, dan telah direkodkan membunuh dan memakan anjing tanpa mengira saiznya.[112] Harimau belang di Manchuria, di Indochina, di Indonesia, dan di Malaysia juga dilaporkan membunuh anjing.[113] Dubuk belang juga diketahui membunuh anjing di Turkmenistan, di India, dan di Kaukasus.[114]

Pemakanan

Anjing pengutip keemasan yang menggerogot kaki babi

Anjing telah diperihalkan sebagai karnivor[115][116] atau omnivor.[17][117][118][119] Berbanding dengan serigala, anjing mempunyai gen-gen yang terlibat dalam penghadaman kanji yang menyumbang kepada peningkatan kebolehan untuk hidup biak dengan pemakanan kaya kanji.[19] Berdasarkan metabolisme dan nutrisi, ramai orang mempertimbangkan anjing sebagai omnivor. Walau bagaimanapun, anjing bukan sebarang omnivor. Lebih seperti kucing dan kurang seperti omnivor lain, anjing hanya dapat menghasilkan asid hempedu dengan taurina dan tidak dapat menghasilkan vitamin D, yang didapatkan olehnya daripada daging binatang. Juga lebih seperti kucing, anjing memerlukan argenina untuk mengekalkan keseimbangan nitrogen. Keperluan nutrisi ini menempatkan anjing antara karnivor dengan omnivor.[120]

Kawasan taburan

Sebagai binatang bela jinak atau separa bela jinak, anjing hadir dalam hampir setiap masyarakat manusia. Pengecualian ketara termasuklah:

  • Peribumi Tasmania, yang terpisah dari Australia sebelum ketibaan dingo di benua itu
  • Orang Andaman, yang terasing apabila paras laut yang meningkat menutup jambatan darat ke Myanmar
  • Peribumi Tierra del Fuego, yang sebaliknya membelajinakkan anjing Tierra del Fuego, spesies canid berbeza
  • Pulau-pulau Pasifik tertentu yang peneroka lautannya tidak membawa anjing, atau di tempat-tempat berkenaan anjing mati selepas penerokaan awal, seperti yang ketaranya:
    Rencana utama: Baka anjing
    Baka anjing berlainan menunjukkan pelbagai variasi fenotip.

    Anjing bela jinak merupakan spesies pertama, dan satu-satu karnivor besar, yang diketahui telah dibelajinakkan. Khususnya sepanjang 200 tahun terakhir, anjing telah melalui perubahan fenotip laju dan dibentuk menjadi baka-baka anjing moden kini oleh sebab pemilihan buatan oleh manusia. Baka-baka ini dapat berbeza-beza dari segi saiz dan berat daripada pudel cawan teh 0.46 kg (1.0 lb) sehingga mastif besar 90 kg (200 lb). Variasi fenotip dapat menyertakan ketinggian yang diukur dari paras kelasa yang berjulat daripada 15.2 cm (6.0 in) pada anjing Chihuahua hingga 76 cm (30 in) pada anjing pemburu serigala Ireland; warna berbeza-beza daripada putih melalui kelabu (biasanya dipanggil "biru") hingga hitam, dan warna perang pula daripada terang (sawo matang) hingga gelap ("merah" atau "coklat") dalam variasi berbagai-bagai pola; bulu mungkin pendek atau panjang, kasar atau licin, lurus atau keriting.[52] Perkadaran tengkorak, tubuh, dan anggota berbeza-beza dengan ketara antara baka, dengan anjing yang memaparkan kepelbagaian fenotip lebih lebih daripada yang dapat ditemukan dalam seluruh peringkat karnivor. Sesetengah baka menunjukkan kemahiran menakjubkan dalam penggembalaan, pengutipan, pengesanan bau, dan pengawalan, yang menunjukkan kepelbagaian fungsi dan tingkah laku bagi anjing. Anjing pertama dibelajinakan daripada leluhur bersama bagi serigala serigala. Walau bagaimanapun, perubahan fenotip yang berbetulan dengan pencapahan genetik anjing–serigala tidak diketahui.[26]

    Peranan dengan manusia

    Gunnar Kaasen dan Balto, anjing yang mengetuai pasukan berganti-ganti terakhir untuk pengangkutan serum ke Nome 1925.

    Anjing bela jinak mewarisi tingkah laku yang kompleks, seperti perencatan gigitan, daripada leluhur serigalanya, yang mungkin merupakan pemburu kawanan dengan bahasa badan yang kompleks. Bentuk-bentuk kognisi dan komunikasi sosial yang canggih ini mungkin membentuk kebolehlatihan, sikap suka bermain, dan kebolehannya untuk menyesuaikan diri di dalam perumahan manusia dan situasi sosial, dan atribut-atribut ini telah memberi anjing hubungan dengan manusia yang membolehkannya menjadi spesies paling berjaya di planet ini kini.[128]:hlm. 95–136

    Nilai anjing kepada manusia pemburu-pemungut awal membawa kepada penyebaran cepat anjing dalam budaya dunia. Anjing memainkan banyak peranan untuk manusia, seperti pemburuan, penggembalaan, penarikan muatan, perlindungan, pembantu polis dan ketenteraan, teman, dan, lebih kini, pembantu individu kurang upaya. Pengaruh ini dalam kemasyarakatan manusia telah memberinya nama gelaran "sahabat baik manusia" di dunia Barat. Walau bagaimanapun, dalam sesetengah budaya, anjing juga merupakan sumber daging.[129][130]

    Peranan awal

    Serigala, dan keturunan anjingnya, sepatutnya memperoleh kebaikan jelas daripada kehidupannya di perkhemahan manusia — keselamatan lebih tinggi, bekalan makanan yang lebih boleh diharap, keperluan kalori rendah, dan lebih peluang untuk membiak.[131] Ia sepatutnya mendapat kebaikan daripada gaya jalan tegak manusia yang membolehkannya melihat wilayah yang lebih luas untuk melihat bakal pemangsa dan mangsa, serta penglihatan warna yang, sekurang-kurangnya pada siang hari, memberi manusia diskriminasi penglihatan lebih baik.[131] Anjing perkhemahan juga mendapat manfaat daripada penggunaan alat manusia, seperti melumpuhkan mangsa lebih besar dan mengawal api untuk tujuan-tujuan tertentu.[131]

    Manusia juga sepatutnya memperoleh kebaikan daripada anjing yang bergaul dengan mereka di dalam perkhemahan mereka.[132] Contohnya, anjing sepatutnya memperbaiki sanitasi dengan membersihkan sisa makanan.[132] Anjing mungkin membekalkan kehangatan, seperti dalam pepatah Orang Asli Australia "malam tiga ekor anjing" (satu malam sejuk luar biasa), dan ia mungkin menyedarkan perkhemahan tentang kehadiran pemangsa atau orang asing, dengan menggunakan pendengaran tajamnya untuk memberi amaran awal.[132]

    Ada cadangan bahawa manfaat paling ketara ialah penggunaan deria bau kuat anjing untuk membantu dalam pemburuan.[132] Perhubungan antara kehadiran anjing dengan kejayaan pemburuan kerap disebut sebagai sebab utama pembelajinakan serigala, dan satu kajian tentang pasukan pemburu dengan anjing dan tanpa anjing yang dijalankan pada tahun 2004 memberikan sokongan kuantitatif kepada hipotesis bahawa kebaikan pemburuan bekerjasama merupakan faktor penting dalam pembelajinakan serigala.[133]

    Kohabitasi anjing dengan manusia sepatutnya memperbaik peluang hidup untuk kumpulan manusia awal, dan pembelajinakan anjing mungkin merupakan salah satu daya kekunci yang membawa kepada kejayaan manusia.[134]

    Manusia emigran dari Siberia yang menyeberangi Selat Bering ke Amerika Utara kemungkinan ditemani oleh anjing mereka. Sungguhpun seorang pengarang[135] malah mencadangkan bahawa penggunaan anjing tarikan mungkin kritikal kepada kejayaan gelombang yang memasuki Amerika Utara lebih kurang 12,000 tahun lalu,[135] bukti arkeologi terawal bagi canid keanjingan di Amerika Utara bertarikh dari sekitar 9,400 tahun lalu.[128]:104[136] Anjing dahulu merupakan bahagian penting dalam hidup untuk populasi berbahasa Athabaska di Amerika Utara, dan dahulu merupakan satu-satu binatang bela jinak mereka. Anjing sebagai haiwan kawanan juga mungkin telah menyumbangkan perhijrahan suku-suku Apache dan Navajo pada 1,400 tahun lalu. Penggunaan anjing dalam budaya-budaya ini kerap kekal selepas pengenalan kuda ke Amerika Utara.[137]

    Sebagai binatang peliharaan

    Kolar anjing baldu hijau, bertarikh dari 1670 hingga 1690
    Husky Siberia merupakan haiwan pengangkut yang masih menikmati kehadiran manusia.
    Pasangan yang duduk di atas rumput dengan seekor buldog British peliharaan
    Seekor buldog British bersantai di taman.

    Anggaran menyatakan bahawa tiga suku daripada populasi anjing sedunia hidup di dunia membangun sebagai anjing jalang, anjing kampung, atau anjing komuniti sementara anjing peliharaan adalah kurang umum.[49]

    "Bentuk perikatan antara spesies paling meluas wujud antara manusia dengan anjing"[132] dan pemeliharaan anjing sebagai teman, terutamanya oleh golongan elit, mempunyai sejarah panjang.[138] (Sebagai contoh berkemungkinan, di tapak budaya Natuf Ain Mallaha di Israel, yang bertarikh kembali ke 12,000 SM, tinggalan seorang manusia tua dan seekor anak anjing berumur empat hingga lima bulan ditemukan dikebumikan bersama-sama).[139] Walau bagaimanapun, populasi anjing peliharaan meningkat dengan ketara selepas Perang Dunia Kedua sebaik pembandaran di pinggir bandar meningkat.[138] Pada tahun-tahun 1950-an dan 1960-an, anjing dipelihara di luar dengan lebih kerap daripada kini[140] (penggunaan pepatah Inggeris, "in the doghouse", yang bermaksud "di dalam rumah anjing", untuk menggambarkan penyingkiran daripada kumpulan, mengetarakan jarak antara rumah anjing dengan rumah) dan anjing masih memainkan peranan kefungsian, dengan bertindak sebagai pengawal, teman main kanak-kanak, atau teman jalan-jalan. Dari tahun 1980-an, ada perubahan dari segi peranan anjing peliharaan, seperti peranan anjing yang meningkat dalam sokongan emosi bagi manusia penjaganya.[141] Manusia dan anjing menjadi semakin bersepadu dan terbabit dalam kehidupan satu sama lain,[142] sehingga anjing peliharaan dengan giat membentuk pengalaman keluarga dan rumah.[143]

    Terdapat dua trend besar dalam penukaran status anjing peliharaan. Yang pertama merupakan "komodifikasi" anjing, yang membentuknya untuk mengakuri jangkaan manusia tentang keperibadian dan tingkah laku.[143] Yang kedua pula merupakan pelebaran konsep kekeluargaan dan rumah untuk menyertakan anjing sebagai anjing dalam rutin dan amalan harian.[143]

    Ada pelbagai bentuk barangan yang tersedia untuk mengubah anjing peliharaan kepada teman unggul.[144] Senarai barangan, perkhidmatan, dan tempat yang tersedia adalah besar: daripada minyak wangi anjing, couture, perabot, dan perumahan, hingga penjaga bulu anjing, ahli terapi, jurulatih, dan penjaga, kafe, spa, taman dan pantai anjing, dan hotel, penerbangan, serta perkuburan anjing.[144] Sementara pelatihan anjing sebagai kegiatan teratur dapat dikesan kembali ke abad ke-18, pada dekad-dekad terakhir kurun ke-20 kegiatan ini menjadi isu berprofil tinggi kerana banyak tingkah laku anjing biasa seperti menyalak, melompat ke atas, menggali, berguling di atas najis, bertarung, dan menanda-nanda dengan air kencing (yang dilakukan oleh anjing untuk menetapkan wilayah melalui bau) menjadi semakin bertentangan dengan peranan baru anjing sebagai peliharaan.[145] Buku, kelas, dan rancangan televisyen pelatihan anjing meningkat dengan mendadak sebaik proses komodifikasi anjing peliharaan berterusan.[146]

    Kebanyakan pemilik anjing kini menggambarkan binatang peliharaan mereka sebagai sebahagian daripada keluarga,[143] sungguhpun sedikit perasaan ambivalen tentang hubungan ini nyata dalam pengkonsepan semula popular bagi keluarga anjing–manusia sebagai kawanan.[143] Satu model kedominanan bagi hubungan anjing–manusia telah dipromosikan oleh sesetengah jurulatih anjing, seperti dalam rancangan televisyen Dog Whisperer. Walau bagaimanapun, "cubaan untuk mencapai status" sebagai ciri interaksi anjing–manusia telah dipertikaikan.[147] Anjing peliharaan memainkan peranan giat dalam kehidupan keluarga; contohnya, satu kajian terhadap perbualan dalam keluarga anjing–manusia menunjukkan cara ahli keluarga menggunakan anjing sebagai sumber, bercakap kepada anjing, atau bercakap melalui anjing, untuk mengantarai interaksi mereka antara satu sama lain.[148]

    Ahli keluarga manusia semakin menyertai kegiatan-kegiatan yang berpusatkan keperluan dan minat tertanggap bagi anjing, atau yang dalamnya anjing merupakan pasangan integral, seperti tarian anjing dan yoga anjing.[144]

    Menurut statistik terbitan Persatuan Pengilang Produk Haiwan Peliharaan Amerika Syarikat dalam Tinjauan Pemilik Haiwan Peliharaan Kebangsaan pada tahun-tahun 2009–2010, ada anggaran bahawa terdapat 77.5 juta orang dengan anjing peliharaan di Amerika Syarikat.[149] Tinjauan yang sama menunjukkan hampir 40% daripada rumah tangga Amerika Syarikat mempunyai sekurang-kurangnya seekor anjing; yang daripada jumlah itu 67% mempunyai seekor anjing, 25% mempunyai dua ekor anjing, dan hampir 9% mempunyai lebih daripada dua ekor anjing. Tiada keutamaan jantina yang kelihatan dalam pemilihan anjing sebagai binatang peliharaan, kerana data statistik mendedahkan bilangan sama rata untuk anjing peliharaan jantan dan betina. Sungguhpun sesetengah rancangan diadakan untuk mempromosikan pengambilan haiwan peliharaan, kurang daripada seperlima daripada anjing berpemilik datang dari tempat perlindungan.

    Kajian terkini yang menggunakan pengimejan resonans magnet (MRI) yang membandingkan manusia dengan anjing menunjukkan bahawa anjing mempunyai gerak balas sama terhadap suara dan menggunakan bahagian otak sama seperti manusia untuk berbuat demikian. Ini memberi anjing kebolehan untuk mengecam bunyi manusia yang beremosi, yang menjadikannya haiwan peliharaan sosial dengan ramah terhadap manusia.[150]

    Kerja

    Anjing telah hidup dan bekerja bersama manusia dalam pelbagai peranan. Sebagai tambahan kepada peranannya sebagai binatang teman, anjing telah dibiakbakakan untuk menggembala binatang ternakan (collie, anjing gembala biri-biri),[151][17] memburu (hound, anjing penuding),[42] dan mengawal rodensia (terier).[17] Jenis lain bagi anjing pekerja termasuklah anjing pencarian dan penyelamatan,[152] anjing penghidu yang dilatih untuk mengesan dadah haram[153] atau senjata kimia;[154] anjing pengawal; anjing yang membantu nelayan dengan penggunaan jaring; dan anjing yang menarik muatan.[17] Pada tahun 1957, Laika si anjing menjadi binatang pertama untuk dilancarkan ke orbit Bumi, di dalam Sputnik 2 milik Kesatuan Soviet; ia mati semasa penerbangan.[155][156]

    Pelbagai jenis anjing khidmat dan anjing pembantu, termasuk anjing pandu, anjing mendengar, anjing bantuan pergerakan, dan anjing khidmat psikiatri yang menyediakan bantuan kepada golongan kurang upaya.[157][158] Sesetengah anjing yang dimiliki oleh penghidap epilepsi telah ditunjukkan memberikan amaran kepada pemiliknya apabila pemilik menunjukkan gejala sawan yang mendatang, kadang-kadang jauh sebelum permulaan, lalu membolehkan penjaga mendapatkan keselamatan, ubat-ubatan, atau penjagaan perubatan.[159]

    Sukan dan pertunjukan

    Orang kerap menyertakan anjing mereka dalam pertandingan[160] seperti pertunjukan pengakuran baka atau sukan, termasuk pertandingan perlumbaan, penarikan kereta luncur salji, dan ketangkasan.

    Dalam pertunjukan pengakuran, yang juga dipanggil pertunjukan baka, hakim yang mengenali baka anjing tertentu menilai anjing baka tulen secara individu untuk keakuran dengan jenis baka rasminya seperti yang terperihal dalam piawaian baka. Oleh sebab piawaian baka hanya mengendalikan mutu luaran anjing yang boleh diperhatikan (seperti penampilan, pergerakan, dan sifat), mutu yang diuji secara terasing (seperti kebolehan atau kesihatan) bukan bahagian penghakiman dalam pertunjukan pengakuran.

    Sebagai makanan

    Rencana utama: Daging anjing

    Daging anjing dimakan di sesetengah negara Asia Timur, termasuk Korea, China,[129] dan Vietnam,[130] sebagai amalan sejak zaman purba.[161] Sebanyak 13–16 juta ekor anjing dianggarkan dibunuh dan dimakan di Asia pada setiap tahun.[162] Di China, perdebatan telah berlangsung mengenai pelarangan pemakanan daging anjing.[163] Walau bagaimanapun, ikutan dinasti Sui dan dinasti Tang pada alaf pertama, orang yang tinggal di dataran di China utara mula mengelak memakan anjing. Ini mungkin disebabkan oleh penyebaran agama Buddha dan Islam, dua agama yang melarang pemakanan binatang-binatang tertentu, termasuk anjing. Sebaik golongan kelas atasan menjauhi daging anjing, pemakanan anjing beransur-ansur menjadi tabu sosial, sungghupun populasi umum terus memakannya selama abad-abad yang berikut.[164] Dalam budaya lain, seperti budaya Polinesia dan Mexico pra-Columbus, daging anjing juga pernah dimakan dalam sejarah mereka. Walau bagaimanapun, kebudayaan Asia Barat, Asia Selatan, Afrika, dan Timur Tengah, umumnya menganggap pemakanan daging anjing sebagai tabu. Walau bagaimanapun, di sesetengah tempat, seperti di kawasan pedalaman Poland, lemak anjing dipercayai mempunyai ciri perubatan — contohnya, bagus untuk paru-paru.[165] Daging anjing juga dimakan di sesetengah bahagian Switzerland.[166] Penyokong pemakanan daging anjing telah berhujah bahawa pembezaan antara binatang ternakan dengan anjing merupakan kehipokritan Barat, dan bahawa tiada perbezaan dengan pemakanan daging binatang lain.[167][168][169][170]

    Di Korea, baka anjing utama yang dibesarkan untuk daging, nureongi (Bahasa Korea: 누렁이), berbeza daripada baka yang dibesarkan untuk peliharaan yang dipelihara oleh orang Korea di rumah.[171]

    Hidangan anjing Korea yang paling popular ialah gaejang-guk (juga dipanggil bosintang), rendidih pedas yang bertujuan untuk menyeimbangkan suhu badan pada musim panas. Pengikut adat ini mendakwa bahawa ini dilakukan untuk memastikan kesihatan baik dengan menyeimbangkan gi, atau tenaga penting tubuh, bagi si pemakan. Versi abad ke-19 bagi gaejang-guk menerangkan bahawa hidangan ini disediakan dengan mendidih daging anjing dengan daun bawang dan serbuk lada. Variasi hidangan ini mengandungi ayam dan pucuk buluh. Sementara hidangan ini masih popular di Korea untuk sebahagian penduduk, anjing tidak dimakan seperti lembu, ayam, dan babi oleh orang ramai.[171]

    Risiko kesihatan kepada manusia

    Pada tahun 2005, WHO melaporkan bahawa seramai 55,000 orang meninggal di Asia dan di Afrika disebabkan oleh rabies, penyakit yang untuknya anjing merupakan pembawa paling penting.[172]

    Dengan memetik satu kajian pada tahun 2008, Pusat Kawalan Penyakit Amerika Syarikat menganggarkan pada tahun 2015 bahawa 4.5 juta orang di Amerika Syarikat digigit oleh anjing pada setiap tahun.[173] Satu kajian pada tahun 2015 menganggarkan bahawa 1.8% daripada populasi Amerika Syarikat digigit pada setiap tahun.[174] Pada tahun-tahun 1980-an dan 1990-an, Amerika Syarikat mengalami purata 17 kematian setiap tahun, sementara sejak 2007, ini telah meningkat kepada purata 31.[175] 77% daripada gigitan anjing adalah daripada anjing peliharaan milik keluarga atau sahabat, dan 50% daripada semua serangan berlaku di hartanah pemilik sah bagi anjing berkenaan.[175]

    Satu kajian dari Colorado menemukan bahawa gigitan pada kanak-kanak kurang teruk daripada gigitan pada orang dewasa.[176] Insiden gigitan anjing di Amerika Syarikat ialah 12.9 setiap 10,000 orang penduduk, tetapi untuk anak lelaki berumur 5 hingga 9 tahun, kadar insiden ialah 60.7 setiap 10,000 orang. Sebagai tambahan, kanak-kanak lebih mudah digigit pada muka atau leher.[177] Cakar tajam yang disokong oleh otot berkuasa mampu menyebabkan kelukaan daging yang boleh membawa kepada jangkitan serius.[178]

    Di United Kingdom pada antara tahun 2003 dengan 2004, terdapat sebanyak 5,868 serangan anjing terhadap manusia, yang menyebabkan 5,770 hari kerja hilang berikutan cuti sakit.[179]

    Di Amerika Syarikat, kucing dan anjing merupakan faktor dalam lebih daripada 86,000 kecederaan setiap tahun.[180] Anggaran menyatakan bahawa lebih kurang 2% kecederaan berkaitan dengan anjing dirawat di hospital di United Kingdom merupakan kemalangan domestik. Kajian yang sama menemukan bahawa sementara keterlibatan anjing dalam kemalangan lalu lintas jalan raya susah untuk diberi kuantitinya, kemalangan jalan raya yang berkaitan dengan anjing yang melibatkan kecederaan lebih melibatkan kenderaan dua roda.[181]

    Telur Toxocara canis (cacing gelang anjing) di dalam tinja anjing dapat menyebabkan toksokariasis. Di Amerika Syarikat, sekitar 10,000 kes jangkitan Toxocara pada manusia dilaporkan pada setiap tahun, dan hampir 14% penduduk Amerika Syarikat terjangkit.[182] Di Great Britain, 24% sampel tanah yang diambil dari taman awam mengandungi telur T. canis.[183][tiada dalam ayat yang diberikan] Tinja anjing juga mengandungi cacing kerawit yang menyebabkan larva migrans kulit pada manusia.[184][185][186][187]

    Faedah kesihatan kepada manusia

    Anjing kecil yang baring di antara tangan
    Anak anjing Dobermann yang sedang dibelai

    Bukti saintifik dicampurkan sama ada anjing sebagai teman dapat menambah baik kesihatan fizikal dan keadaan psikologi manusia.[188] Kajian-kajian yang mencadangkan bahawa ada faedah kepada kesihatan fizikal dan keadaan psikologi[189] dikritik kerana tidak dikawal dengan baik,[190] dan penemuan bahawa "kesihatan orang tua yang berkaitan dengan tabiat kesihatan dan sokongan sosial mereka tetap bukan dengan memiliki atau berada bersama dengan binatang sebagai teman." Kajian-kajian lebih awal telah menunjukkan bahawa orang yang membela anjing dan kucing peliharaan menunjukkan kesihatan mental dan fizikal lebih baik daripada yang tidak memilikinya, lalu kurang berjumpa dengan doktor dan kurang memerlukan perubatan daripada bukan penjaga.[191]

    Satu terbitan dari tahun 2005 menyatakan bahawa "kajian baru-baru ini gagal menyokong penemuan-penemuan awal bahawa pemilikan binatang peliharaan berkaitan dengan penurunan risiko penyakit kardiovaskular, penggunaan khidmat pengamal perubatan umum, atau mana-mana faedah psikologi atau fizikal terhadap kesihatan untuk orang tua yang tinggal dalam komuniti. Walau bagaimanapun, penyelidikan telah menunjukkan pengurangan ketara ketidakhadiran di sekolah akibat penyakit dalam kalangan kanak-kanak yang tinggal bersama binatang peliharaan."[188] Dalam satu kajian, penjaga baharu melaporkan penurunan sangat ketara dalam masalah kesihatan kecil semasa bulan pertama ikutan pemerolehan binatang peliharaan, dan kesan ini kekal pada yang dengan anjing melalui pengakhiran kajian.[192]

    Sebagai tambahan, orang dengan anjing peliharaan mengamalkan lebih senaman fizikal berbanding dengan yang dengan kucing dan yang tanpa binatang peliharaan. Hasilnya menyediakan bukti bahawa pemeliharaan binatang peliharaan mungkin mendatangkan kesan positif terhadap kesihatan dan tingkah laku manusia, dan untuk penjaga anjing, kesan ini berlangsung lebih lama.[192] Penjagaan binatang peliharaan juga telah dikaitkan dengan peningkatan ketahanan daripada penyakit arteri koronari, dengan kemungkinan mati manusia penjaga akibat serangan jantung teruk berkurang dengan ketara dalam masa setahun berbanding dengan yang tidak memiliki anjing.[193]

    Faedah kesihatan daripada anjing juga merupakan hasil daripada sentuhan dengan anjing pada umumnya, dan bukan hanya daripada pemilikan anjing sebagai binatang peliharaan. Contohnya, apabila berada dalam kehadiran anjing peliharaan, orang menunjukkan pengurangan petanda kardiovaskular, tingkah laku, dan psikologi bagi kebimbangan.[194] Faedah kesihatan lain diperoleh daripada pendedahan kepada mikroorganisma perangsang imuniti, yang, menurut hipotesis kebersihan, dapat memberikan perlindungan daripada alahan dan penyakit autoimun. Faedah sentuhan dengan anjing juga termasuk sokongan sosial, kerana anjing bukan sahaja dapat menjadi teman dan memberikan sokongan sosial kepada dirinya, tetapi juga bertindak sebagai pemudah cara bagi interaksi sosial antara manusia.[195] Satu kajian menunjukkan bahawa pengguna kereta roda mengalami interaksi sosial lebih positif dengan orang asing apabila ditemani oleh anjing berbanding dengan yang tidak bertemankan anjing.[196] Pada tahun 2015, satu kajian menemukan bahawa para pemilik binatang peliharaan lebih cenderung untuk mengenali orang di kejiranan mereka berbandingan dengan yang bukan pemilik binatang haiwan.[197]

    Amalan penggunaan anjing dan binatang lain sebagai sebahagian daripada terapi wujud sejak hujung abad ke-18, apabila binatang diperkenalkan ke dalam institusi mental untuk membantu dalam mensosialkan pesakit gangguan mental.[198] Penyelidikan campur tangan dengan bantuan binatang menunjukkan bahawa terapi dengan bantuan binatang seperti anjing dapat meningkatkan tingkah laku sosial, seperti senyum dan tawa, dalam kalangan orang dengan penyakit Alzheimer.[199] Satu kajian menunjukkan bahawa kanak-kanak dengan ADHD dan gangguan tingkah laku yang menyertai rancangan pendidikan dengan anjing dan binatang lain menunjukkan kehadiran yang meningkat, objektif pengetahuan dan kemahiran yang meningkat, dan tingkah laku antisosial dan ganas yang menurun berbanding dengan yang tidak mengikuti rancangan dengan bantuan binatang.[200]

    Tempat perlindungan

    Setiap tahun, antara 6 dengan 8 juta ekor anjing dan kucing memasuki tempat perlindungan haiwan di Amerika Syarikat.[201] Persatuan Perikemanusiaan Amerika Syarikat (HSUS) menganggarkan bahawa kira-kira 3 hingga 4 juta ekor anjing dan kucing tersebut dieutanasia pada setiap tahun di Amerika Syarikat.[202] Walau bagaimanapun, peratusan anjing di tempat perlindungan haiwan Amerika Syarikat yang diambil pergi dari tempat perlindungan oleh pemilik baharunya yang sah telah meningkat sejak pertengahan tahun 1990-an daripada sekitar 25% hingga purata tahun 2012 sebanyak 40% dari tempat perlindungan yang melapor[203] (dan banyak tempat perlindungan melaporkan 60%–75%).[204]

    Gambaran budaya

    Anjing di Tasik Balaton, tergambar pada Harta Karun Seuso

    Anjing telah diperlihatkan dan diwakili dalam pelbagai cara oleh lain-lain budaya dan agama, sepanjang sejarah.

    Mitologi

    Di Mesopotamia purba, dari zaman Babilonia tua hingga zaman Babilonia Baru, anjing merupakan lambang bagi Ninisina, dewi penyembuhan dan perubatan,[205] dan para penyembahnya kerap mendedikasikan model-model kecil anjing duduk kepadanya.[205] Pada Asyur Baru dan zaman Babilonia Baru, anjing digunakan sebagai lambang perlindungan sakti.[205]

    Dalam mitologi, anjing kerap berkhidmat sebagai peliharaan atau anjing pengawal.[206] Kisah-kisah anjing yang menjaga pintu-pintu akhirat hadir dalam mitologi-mitologi Indo-Eropah[207][208] dan mungkin berasal daripada agama Proto-Indo-Eropah.[207][208] Dalam mitologi Yunani, Serberus merupakan anjing penjaga yang mempunyai tiga kepala yang menjaga pintu pagar Hades.[206] Dalam mitologi Norse, seekor anjing ganas yang mempunyai empat biji mata yang dipanggil Garmr menjaga Helheim.[206] Dalam mitologi Parsi, dua ekor anjing yang mempunyai empat biji mata menjaga Jambatan Chinvat.[206] Dalam mitologi Wales, Annwn dijaga oleh Cŵn Annwn.[206] Dalam mitologi Hindu, Yama, dewa kematian, mempunyai dua ekor anjing penjaga yang mempunyai empat biji mata yang dikatakan menjaga pintu neraka.[209]

    Dewa pemburu, Muthappan, dari rantau Malabar Utara di Kerala mempunyai seekor anjing pemburu sebagai tunggangannya. Anjing ditemukan di dalam dan dluar Kuil Muthappan dan persembahan di tempat keramat berbentuk patung kecil anjing gangsa.[210] Dalam mitologi Filipina, Kimat yang merupakan anjing peliharaan Tadaklan, dewa guruh, bertanggungjawab menghasilkan kilat.

    Peranan anjing dalam mitologi Cina termasuk kedudukan sebagai salah satu daripada dua belas ekor binatang yang secara berkitar mewakili tahun (anjing zodiak). Tiga daripada 88 buah buruj dalam astronomi Barat juga mewakili anjing: Anjing Besar (Canis Major, yang bintang paling cerahnya, Sirius, juga dipanggil Bintang Anjing), Anjing Kecil (Canis Minor), dan Anjing(-anjing) Pemburu (Canes Venatici).

    Sastera

    Dalam puisi epik karya Homeros, Odýsseia, semasa Odysseus yang menyamar akhirnya pulang ke rumah selepas 20 tahun, ia hanya dicam oleh anjing setianya, Argos, yang telah menanti kepulangannya.

    Agama

    Lukisan bagi Santo Dominikus dengan anjing yang menggonggong obor di sisinya

    Dalam agama Kristian, anjing mewakili kesetiaan.[206] Dalam mazhab Roman Katolik, ikonografi bagi Santo Dominikus menyertakan seekor anjing, selepas ibu kepada sang kudus memimpikan seekor anjing yang melompat dari rahimnya dan lalu mengandung selepas itu.[211] Oleh itu, Ordo Dominikan (bahasa Latin Gereja: Dominicanus) memaksudkan "anjing-anjing Tuhan" (bahasa Latin Gereja: domini canis).[211] Dalam cerita rakyat Kristian, grim gereja yang kerap menjelma sebagai anjing hitam untuk menjaga gereja-gereja Kristian dan pekarangan gereja daripada sakrilegium.[212]

    Hukum Yahudi tidak melarang pemeliharaan anjing dan binatang lain.[213] Hukum Yahudi menyeru agar orang Yahudi memberikan makanan kepada anjing (dan binatang lain yang dipelihara oleh mereka) sebelum kepada diri mereka, dan mengatur pemakanan untuk binatang-binatang tersebut sebelum memelihara binatang-binatang itu.[213]

    Pandangan terhadap anjing dalam Islam bercampur-campur. Sesetengah aliran pemikiran memandang anjing sebagai tidak suci,[206] tetapi Khaled Abou El Fadl menyatakan bahawa pandangan ini berdasarkan "mitologi Arab sebelum Islam" dan "tradisi yang dikenakan kaitan palsu dengan Nabi".[214] Maka, para ulama Sunni Maliki dan Hanafi mengizikan perdagangan dan pemeliharaan anjing peliharaan.[215]

    Di China, di Korea, dan di Jepun, anjing dipandang sebagai pelindung baik.[206]

    Seni

    Gambaran budaya terhadap anjing dalam seni menjangkau masa dari ribuan tahun dahulu semasa anjing digambarkan di dinding gua. Perwakilan anjing dalam seni menjadi lebih terhurai sebaik baka individual berubah ansur dan hubungan antara manusia dengan anjing berkembang. Babak perburuan adalah popular pada Zaman Pertengahan dan Zaman Pembaharuan. Anjing digambarkan untuk melambangkan panduan, perlindungan, kesetiaan, fideliti, kewaspadaan, dan kesayangan.[216]

    Pendidikan dan penghargaan

    American Kennel Club membuka semula sebuah muzium yang dipanggil "Museum of the Dog" ("Muzium Anjing") di Manhattan selepas pemindahan daya tarikan pelancong dari luar St. Louis.[217] Muzium ini mengandungi artifak purba, seni halus, dan peluang pendidikan kepada para pelawat.[217]

    Bekas hidang rhyton Yunani Purba yang berbentuk kepala anjing, dibuat oleh Brygos, awal abad ke-5 SM. Muzium Jérôme Carcopino, Jabatan Arkeologi, Aleria
    Anjing dengan ciri-ciri mastif, China, abad ke-4, Muzium Brooklyn

    Lihat juga

    Senarai