Gambaran keseluruhan akan kemungkinan bentuk aisberg.

Aisberg merupakan sebuah ais air tawar yang terpisah daripada glasier salji atau dataran ais yang timbul di permukaan air.[1] Ia kemudian mungkin membeku dan menjadi pek ais atau tersangkut pada dasar laut di perairan cetek, menyebabkan hakisan ais.

Etimologi

Perkataan aisberg ialah perkataan pinjaman daripada bahasa Inggeris, iceberg yang merupakan sebahagian daripada perkataan pinjaman daripada bahasa Belanda iaitu ijsberg, yang bermaksud gunung ais.[2] Perkataan ini mempunyai akar yang sama dengan perkataan yang sama maknanya dalam bahasa-bahasa yang serumpun seperti isbjerg dalam bahasa Denmark, Eisberg dalam bahasa Jerman dan isberg dalam bahasa Sweden.

Aisberg di Cape York, Greenland.

Ciri

Bongkah-bongkah ais ini boleh mencapai ketinggian lebih 100 meter dari permukaan air serta dikira berjisim keseluruhannya seberat antara 100,000 hingga melebihi 10 juta tan metrik.

Aisberg yang terapung di permukaan laut cenderung diperhatikan lebih besar di pangkal atau dasarnya yang terbenam berbanding puncak yang kelihatan, hal ini kerana ais terhasil dari air tulen mempunyai ketumpatan nyaris menghampiri ketumpatan air laut iaitu 920 kg/m3 mendekati 1,025 kg/m3 selaras dengan prinsip keapungan Archimedes. Apabila sesebuah bongkah ais ini memecah hasil pencairan, bahagian bongkah yang lebih berat akan terbalik hasil tarikan graviti; tenaga potensi yang dilepaskan ini kuat sehingga adakalanya boleh menyebabkan gegaran di kawasan sekitarnya.[3]

Aisberg sering kelihatan berwarna putih kerana salji padat yang menghasilkan ia, ia adakalanya boleh kelihatan biru hasil pembiasan cahaya.[4] Walau bagaimanapun, mendapan dan bendasing seperti alga, sisa haiwan dan rumpai serta batuan yang terkumpul dari dasar laut beku semasa pembentukan aisberg boleh memberikan warna kepada bongkah yang terapung.[4][5]

Rujukan

  1. ^ Pelbagai definisi perkataan "Iceberg" URL dicapai pada 20 Disember 2006.
  2. ^ Online Etymology Dictionary. iceberg. URL dicapai pada29 Mac 2006.
  3. ^ Stephen Ornes (April 3, 2012). "Flipping Icebergs". ScienceNews for Students. Dicapai pada June 9, 2019.
  4. ^ a b Katherine Wright (January 5, 2018). "Icebergs Can Be Green, Black, Striped, Even Rainbow". Scientific American. Dicapai pada June 9, 2019.
  5. ^ Roach, Lettie. "Image of the Week - Super-cool colours of icebergs". EGU Blogs. European Geosciences Union. Dicapai pada 6 November 2020.

Pautan luar